Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (dirujuk sebagai “Dong Zong”) ditubuhkan pada 22 Ogos 1954. Keahliannya terdiri daripada 13 persatuan lembaga pengurus sekolah atau persatuan lembaga pengurus dan guru-guru sekolah Cina Malaysia. Ahli-ahli persatuan gabungan ini adalah semua pertubuhan sah yang didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan 1966. Ahli-ahli mereka kebanyakannya terdiri daripada lembaga pengurus dari Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sebahagian juga merangkumi lembaga pengurus Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK).
Masyarakat Cina menubuh, mengurus dan menyelenggarakan sekolah-sekolah berkenaan melalui lembaga pengurus sekolah. Ahli-ahli lembaga pengurus sekolah Cina terdiri daripada pengurus/pengelola sekolah yang dipilih melalui pemilihan dalaman atau wakil pertubuhan lain, lazimnya mereka adalah individu atau wakil persatuan tempatan yang prihatin terhadap pendidikan Cina.
Sejak penubuhannya pada tahun 1954, Dong Zong berusaha gigih untuk memperjuangkan pendidikan bahasa ibunda, menuntut keadilan dan kesaksamaan di antara semua kaum. Dong Zong bekerjasama rapat dengan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dalam memperjuangkan pendidikan Cina. Kedua-dua pertubuhan atau dikenali sebagai “Dong Jiao Zong” merupakan peneraju dalam Gerakan Pendidikan Cina yang sering membantah dasar-dasar yang tidak saksama. Setelah berjuang dan tabah menempuh pelbagai ujian selama setengah abad, Dong Jiao Zong disanjungi dengan imej dan prestasi yang cemerlang dan telah diiktiraf sebagai jurucakap dan peneraju dalam Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia.
Logo
Logo Dong Zong terdiri daripada dua elemen grafik, iaitu lambang dan aksara standard. Obor dengan reka bentuk grafik melambangkan symbol kaum, kesinambungan, kedamaian, keharmonian, dan semangat perpaduan. Ia menyatakan kepentingan mendalam warisan semangat budaya Dong Zong. Aksara standard terdiri daripada “Dong Zong” dalam aksara Cina tradisional dan English. Ia melambangkan pembangunan stabil, melangkaui zaman moden dan menuju masa hadapan yang cerah.
Kombinasi warna ungu, merah, jingga dan kuning dalam logo melambangkan semangat bertumpu pada masa depan indah, bimbingan visi, misi mutlak, dan merealisasikan nilai teras Dong Zong.
Visi
Menerajui pendidikan Cina di Malaysia ke arah pembangunan mampan.
Misi
Mempertahankan dan membangunkan pendidikan Cina, dan berjuang untuk kedudukan yang saksama.
Nilai Teras
Bersatu padu, Kesetiaan, Bertanggungjawab dan Maju ke Hadapan
Objektif
- Menyatupadukan ahli-ahli, mempertahankan dan membangunkan pendidikan Cina di Malaysia.
- Mengkaji dan menggerakkan semua aspek berkenaan dengan pembangunan dan pembaharuan system pendidikan sekolah Cina di Malaysia, antaranya kurikulum, peperiksaan, guru, dana pendidikan dan sebagainya.
- Memperkukuh dan mengeratkan hubungan antara pengurus/pengelola sekolah-sekolah Cina di Malaysia.
- Mengeratkan hubungan masyarakat Cina di Malaysia dalam usaha menambah baik dan memperkasa pendidikan Cina.
- Mewakili lembaga pengurus sekolah-sekolah Cina di Malaysia untuk berunding dengan kerajaan mengenai semua aspek yang melibatkan hal ehwal pendidikan dan sekolah-sekolah Cina.
- Menyelaras kerjasama antara pengurus dengan guru sekolah-sekolah Cina di Malaysia.
- Memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum.
Ahli Persatuan–Persatuan
Ahli-ahli Dong Zong terdiri daripada persatuan lembaga pengurus sekolah Cina atau persatuan lembaga pengurus dan guru sekolah Cina dari 11 buah negeri dan 2 buah Wilayah (Sarawak dan Sabah):
- Perlis
- Kedah
- Pulau Pinang
- Perak
- Kelantan
- Terengganu
- Pahang
- Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya
- Negeri Sembilan
- Melaka
- Johor
- Sarawak
- Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan