Dong Jiao Zong menghormati keputusan Dr.Maszlee untuk letak jawatan:
Menaruh harapan agar menteri baru meneruskan kesinambungan reformasi
3 Januari 2020
Dong Jiao Zong menghormati keputusan Dr.Maszlee Malik untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan, sungguhpun terperanjat dengan tindakan mengejut ini. Dong Jiao Zong berharap agar peletakan jawatan ini tidak memberi kesan kepada reformasi yang dimulakan kementerian pendidikan sejak tahun kebelakangan.
Sesungguhnya, reformasi dasar pendidikan bukan isu bagaimana seseorang boleh mara seratus langkah ke depan, tetapi bagaimana seratus orang mengorak selangkah ke depan. Kami berharap calon baru menggalas tugas ini sebagai Menteri Pendidikan untuk seluruh rakyat, peka kepada dasar, bersedia untuk berdialog dengan pertubuhan pelbagai kaum, agar keberkesanan dipertingkatkan sepanjang proses menyelesaikan masalah.
Moga-moga Menteri Pendidikan baru akan mempertimbangkan untuk menjadikan Lembaga Pengurus Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina dan Tamil) sebagai unit penentu dasar pengajaran tulisan jawi, pada masa yang sama memperkenalkan tulisan jawi berdasarkan prinsip kepelbagaian budaya, agar polemik ini diredakan secepat mungkin.
Dalam konteks Malaysia sebagai masyarakat majmuk, Menteri Pendidikan menggalas harapan daripada komuniti yang berbeza, dan perlu menyelaras sesama mereka. Kementerian Pendidikan antara portfolio yang paling mencabar dalam kabinet. Dr.Maszlee Malik telah mencuba sedaya upaya untuk mengambil langkah reformasi pendidikan sepanjang beliau menerajui kementerian ini, termasuk memberi kuasa autonomi kepada universiti, memansuhkan peperiksaan tahap satu, program Sifar Murid Cicir, membanteras rasuah, mempromosi budaya membaca dan sebagainya. Kesemua langkah ini wajar diberi pengiktirafan.
Tidak kurang ahli akademik yang beridealisme terpaksa bertembung dengan realiti politik apabila menceburi bidang ini. Setelah melalui liku-liku sepanjang tempoh lebih 20 bulan ini, kami berharap agar Dr.Maszlee Malik terus mencurahkan keringatnya untuk membangunkan negara, dengan memanfaatkan pengalamannya di luar bidang akademik ini. Moga-moga pengganti beliau boleh mewarisi dasar yang baik sepanjang beliau menerajui kementerian ini, mengatasi keterbatasan dan tekanan sedia ada, dan bersama kita menuju ke arah Malaysia yang lebih inklusif sebagaimana yang diidam-idamkan.