Dong Jiao Zong seru agar masyarakat Cina tidak dikelirukan

Kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong
6 Disember 2019

Baru-baru ini, tersebarnya satu jemputan di media sosial atas nama “Jawatankuasa Jawi” , mengundang Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor untuk menghantar wakilnya ke sidang media pada 15 Disember 2019. Sidang media tersebut bertujuan untuk menolak keputusan memasukkan tulisan Jawi ke dalam sukatan pelajaran sekolah jenis kebangsaan Cina. Sementara itu, “Jawatankuasa Jawi” ini melemparkan tuduhan bahawa “Dong Zong telah berkompromi kerana hanya memperjuangkan hak Lembaga Pengelola Sekolah untuk membuat keputusan mengenai isu Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina, dan ia membuka ruang untuk diambil kesempatan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menembusi sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.” Yang berikut adalah kenyataan media Dong Jiao Zong untuk menyanggah tuduhan yang tidak berasas dan mengelirukan ini. 

1. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa mesyuarat bersama Dong Jiao Zong dan Pertubuhan Cina pada 24 November 2019 telah mencapai persetujuan sebagaimana yang berikut:

a. Mesyuarat amat prihatin terhadap perkembangan isu tulisan Jawi. Kami berpandangan bahawa kedudukan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) tidak dihormati. Kami ingin menyatakan ketidakpuasan kerana LPS tidak dimasukkan sebagai pihak yang membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak dalam hal pengenalan tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina.

b. Dong Jiao Zong akan menyerahkan memorandum untuk memohon agar KPM menjadikan LPS sebagai pihak yang terlibat untuk membuat keputusan dalam hal ini kerana ini adalah bidang kuasa yang diperuntukkan kepada LPS.

c. Dong Jiao Zong menggesa agar LPS setiap negeri mengadakan mesyuarat untuk menolak pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi.

2. Jelas, ketiga-tiga perkara yang dipersetujui ini telah dilaporkan oleh media. Namun demikian, “Jawatankuasa Jawi” tetap melontarkan tuduhan yang tidak berasas untuk tujuan mengelirukan. Sepanjang empat bulan ini, tujuh pertubuhan yang diketuai Dong Jiao Zong telah mengadakan rundingan bersama KPM, sehingga akhirnya KPM bersetuju untuk membuat pindaan pada dasar tersebut. Tuduhan “Jawatankuasa Jawi” amat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali.

3. Dong Zong, Jiao Zong, Hua Zong, Merdeka University Berhad, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Malaysian Chinese Language Council dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia telah mencapai persetujuan dalam tiga perkara di atas. Kami telah menyatakan pendirian kami dengan jelas, iaitu sementara mempertahankan hak LPS, LPS harus dikerah untuk mengadakan mesyuarat, agar pengenalan tulisan Jawi ditolak. Dalam isu jawi, kami menyeru agar LPS membezakan antara yang benar dengan yang batil, tidak menyebarkan maklumat yang salah sehingga mengeliru dan memecah-belahkan.