Kabinet digesa panggil mesyuarat untuk bincangkan pengiktirafan UEC
Pada 4 Mei 2016, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, “Dari sudut kesaksamaan pendidikan, tiba masanya kerajaan mengkaji isu pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu).” Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
1. Ketika lawatan ke cawangan Sin Chew Daily di Kuching, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiba masanya kerajaan mengkaji isu pengiktirafan UEC. Untuk itu, Dong Zong berasa gembira kerana akhirnya kerajaan memandang positif hak saksama pendidikan bahasa ibunda dan nilai UEC.
2. Dong Zong berpandangan bahawa tawaran peluang pendidikan yang saksama bukan retorik pilihan raya semata-mata. Kami lebih mengambil berat sama ada kerajaan ikhlas dan bertekad untuk melaksanakannya. Untuk itu, kami berpandangan bahawa kerajaan harus mengkaji semula dasar pendidikan yang mono-lingualisme-kulturalisme, untuk membentuk suasana pendidikan yang meraikan kepelbagaian – lebih demokrasi, terbuka, sama rata dan saling menghormati.
3. Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, menurut minit mesyuarat kabinet, UEC tidak diiktiraf kerana ia bertentangan dengan kedaulatan negara. Kami berpandangan bahawa kerajaan tidak harus mengeluarkan kenyataan yang saling bercanggah, dengan satu pihak membicarakan tawaran peluang pendidikan yang samarata, satu pihak lagi pula mendakwa pengiktirafan UEC bertentangan dengan kedaulatan negara.
4. Pimpinan Dong Zong pernah bertemu dengan Menteri Pendidikan di parlimen pada tahun lalu. Menteri Pendidikan berjanji untuk mengaturkan pertemuan antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Dong Zong untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC. Malangnya, tiada perkembangan lanjut disusuli. Dong Zong menggesa agar Timbalan Perdana Menteri bertitik tolak “dari sudut kesamarataan pendidikan”, mengaturkan pertemuan tiga pihak tersebut untuk mengkaji isu pengiktirafan UEC dari perspektif pendidikan dan akademik, tanpa menjejaskan kesempurnaan silibus UEC.