Dong Zong gesa KPM memperkasa sistem latihan guru bahasa Cina sekolah menengah
Dong Zong menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya memperkasa sistem latihan guru bahasa Cina untuk sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK), agar masalah kekurangan tenaga guru bahasa Cina diselesaikan serta-merta. Pada masa yang sama, isu seperti graduan bahasa Cina dengan pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dihantar ke sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh harus dielakkan.
18 daripada 22 orang graduan dengan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan dari UPSI telah dihantar KPM ke sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-
- Dong Zong berpandangan bahawa program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan yang ditawarkan UPSI, menyediakan graduannya untuk mengajar mata pelajaran bahasa Cina di SMK dan SMJK pada masa depan, kerana latihan akademiknya dikendalikan dengan pendekatan bahasa pertama. Sebagaimana yang kita maklum, tahap mata pelajaran bahasa Cina di sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh jauh berbeza dengan SMK dan SMJK kerana pelajar di sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh tidak pernah mengambil mata pelajaran bahasa Cina. Justeru itu, andainya graduan UPSI dihantar untuk mengajar di sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh, mereka hanya boleh mengajar pelajar bukan Cina dengan kaedah bahasa kedua. Kaedah pengajaran yang dipelajari graduan UPSI ini gagal digunakan untuk mengajar, dan ia boleh mengakibatkan penyalahgunaan sumber pendidikan.
- Penghantaran tidak berdasarkan keperluan realiti ini bukan sahaja bercanggah dengan matlamat penubuhan program bahasa Cina dengan pendidikan, malah bercanggah dengan teori pengajaran bahasa. Jelas, pegawai tidak profesional kerana tidak mengendalikan hal ehwal pendidikan berdasarkan teori pendidikan. Langkah ini bercanggah dengan hasrat KPM untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Bagaimana rakyat Malaysia diyakinkan bahawa negara kita mampu mencapai wawasan sebagai pusat pendidikan antarabangsa?
- Dong Zong menggesa agar KPM memperkasa sistem latihan guru untuk SMK dan SK, membuat penilaian semula dan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga guru bahasa Cina di SJK dan SK dengan segera, agar tidak memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap pelajar. Kepentingan semua pelajar harus dijamin, dan isu seperti penghantaran graduan UPSI ke sekolah vokasional dan sekolah menengah berasrama penuh harus dielakkan pada masa depan.