Tolak DLP di SRJKC, Dong Zong pertahan bahasa ibunda sebagai pengantar

Menurut laporan media, sesetengah Jabatan Pendidikan Negeri memilih Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) yang memenuhi syarat kelayakan bahasa Melayunya untuk menghadiri taklimat Dual Language Programme (DLP). SRJKC tersebut diberi pilihan sama ada untuk menyertai DLP atau tidak. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-

1.Dong Zong menegaskan bahawa SRJKC tidak sesuai untuk DLP. Ini kerana antara ciri-ciri utama SRJKC adalah bahasa Cina sebagai pengantarnya. Jikalau SRJKC menyertai DLP, sudah tentu ia akan mengubah ciri-ciri SRJKC ini, dan mengakibatkan pengurangan waktu pengajaran menggunakan bahasa Cina, lantas identiti SRJKC terjejas. Justeru itu, kami menyeru agar Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Alumni di SRJKC lebih berwaspada ketika meneliti isu ini. Ketiga-tiga institusi tersebut harus mempertahankan bahasa Cina sebagai pengantar untuk subjek ilmu di SRJKC, dan SRJKC tidak harus menyertai DLP.

  1. Pada masa yang sama, Dong Zong menyeru agar LPS, PIBG dan alumni SRJKC mempertahankan pendirian agar mata pelajaran sains dan matematik diajar dengan bahasa Cina di SRJKC. Pendirian ini selari dengan teori pendidikan bahawa pembelajaran dan penguasaan sains dan matematik paling berkesan dengan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, pada masa yang sama, sistem pendidikan dengan bahasa ibunda setiap etnik terpelihara di tanahair ini.
  2. Dong Zong ingin menyatakan bahawa KPM belum membuat penilaian terhadap 300 buah sekolah yang kini terlibat dalam DLP. Tindakan meluaskan pelaksanaan DLP kepada sekolah aliran lain sebelum kelebihan dan kelemahannya dikenalpasti, tidak memberi keyakinan kepada umum.
  3. Untuk memastikan identiti SRJKC tidak terjejas, Dong Zong menggesa pihak berkenaan membatalkan pelaksanaan DLP di SRJKC. Pada masa yang sama, kami menyeru agar LPS, PIBG dan Alumni dari SRJKC yang memenuhi syarat kelayakan dan diundang untuk menyertai DLP, lebih berwaspada dan teguh mempertahankan pendirian untuk menolak pelaksanaan DLP. (tamat)