Dong Zong menolak pengkategorian antara “sekolah bantuan penuh” dengan “sekolah bantuan modal”

Sesetengah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) ingin memohon untuk menukar statusnya dari “sekolah bantuan modal” kepada “sekolah bantuan penuh”. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong berhubung isu ini:-

1. Tiada pengkategorian mahupun istilah “sekolah bantuan penuh” dan “sekolah bantuan modal”, sama ada dalam Akta Pendidikan 1957, Akta Pendidikan 1961, atau Akta Pendidikan 1996. Menurut Akta Pendidikan 1996, sekolah bantuan kerajaan berhak untuk mendapat sumbangan bantuan (grant-in-aid) dan sumbangan modal (capital grant), atau lebih dikenali sebagai peruntukan perbelanjaan mengurus dan peruntukan pembangunan. Tidak wujud konsep peruntukan penuh atau separuh. Tiada juga penetapan bahawa sumbangan bantuan atau sumbangan modal diperuntukkan berdasarkan pemilikan tanah sekolah.

  1. Menurut seksyen 53 (1) dan 53(3) Akta Pendidikan 1996, sekolah rendah jenis kebangsaan dan sekolah yang ditetapkan menteri harus memiliki lembaga pengelola. Tindakan menukar status “sekolah bantuan kerajaan” kepada “sekolah kerajaan” mungkin mengakibatkan lembaga pengelola kehilangan kuasa untuk mengurus sekolah.

    3. Kebanyakan tanah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) dan sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SRJKT) tidak dimiliki kerajaan persekutuan. Pengkategorian “sekolah bantuan penuh” dengan “sekolah bantuan modal” oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan sahaja umpama menggubal akta sendiri di luar akta, malah telah menafikan kedudukan dan hak SRJKC dan SRJKT, seterusnya membataskan ruang pembangunan kedua-dua jenis sekolah ini. Tindakan anggota masyarakat menggunakan tanah persendirian untuk tujuan pendidikan, menyumbang dengan pemupukan insan berbakat sepatutnya diiktiraf dan dipuji. Sekolah rendah dari semua aliran, sama ada tanah sekolah dimiliki kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, lembaga pengelola sekolah, mubaligh mahupun persendirian – kesemuanya sekolah yang berada di bawah sistem pendidikan negara. Kesemuanya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, dan harus diberi layanan yang sama rata.

    4. Sesetengah SRJKC yang tanahnya dimiliki kerajaan, juga mengutip derma daripada masyarakat Cina untuk projek pembinaan atau perluasan tapak sekolah. Begitu juga, terdapat SRJKC di kampung baru Cina yang tanahnya dimiliki kerajaan, tetapi tidak pernah diperuntukkan “bantuan penuh” oleh kerajaan.
  2. Dong Zong dengan tegas memohon agar kerajaan membatalkan Garis Panduan Pembinaan Bangunan Tambahan/Gantian tahun 1998, membatalkan pengkategorian “sekolah bantuan penuh” dan “sekolah bantuan modal”, juga memperbetulkan kesilapan untuk menyamakan “sekolah kerajaan” dengan “sekolah bantuan penuh”, dan “sekolah bantuan kerajaan” dengan “sekolah bantuan modal.”

    6. Kami menyeru agar pendidik Cina memberi perhatian terhadap isu ini. Lembaga Pengelola Sekolah yang membuat keputusan untuk memohon agar statusnya ditukar kepada “sekolah bantuan penuh” harus menghentikan langkahnya dengan serta-merta. Mereka harus berinteraksi dengan pertubuhan pendidikan seperti Dong Jiao Zong sebelum membuat keputusan yang wajar.