Bagaimana UEC dikaitkan dengan kedaulatan negara?
Dong Zong tuntut penjelasan P.Kamalanathan
Pada 29 Mac 2016, Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan menyatakan bahawa salah satu faktor kerajaan persekutuan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah isu kedaulatan negara. Dong Zong menyifatkan kenyataan P.Kamalanathan ini sebagai “tidak masuk akal”, menuntut agar P.Kamalanathan menjelaskan secara terbuka, apakah kenyataan timbalan menteri pendidikan ini mencerminkan dasar kerajaan, atau pendirian individu? Kami memandang berat kenyataan ini, dan menuntut penjelasan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
1. Sebagaimana yang kita maklum, universiti awam tempatan kini menerima kemasukan pelajar dengan kelayakan peperiksaan Cambridge. Mengapa peperiksaan yang diadakan rakyat Malaysia ditolak, sedangkan peperiksaan yang diadakan negara asing diiktiraf sebagai kelayakan untuk masuk ke universiti awam tempatan? Kami terkejut dan tidak menerima kenyataan P.Kamalanathan. Jelas, ini adalah amalan “double standard” dengan dasar yang mendiskriminasi.
2. Kami menegaskan bahawa bukan sahaja UEC diiktiraf oleh universiti utama di dunia, malah lepasan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dan pemegang UEC telah memberi sumbangan kepada negara. Kenyataan mengaitkan pengiktirafan UEC dengan kedaulatan negara adalah tidak masuk akal, kerana kedua-duanya tiada kaitan langsung.
3. Pada hemat Dong Zong, kenyataan P.Kamalanathan sebagai timbalan menteri pendidikan dalam parlimen telah mengelirukan orang ramai. Timbalan Menteri pendidikan ini harus menerangkan secara jelas, apakah kaitan pengiktirafan UEC dengan isu kedaulatan negara, dan apakah kenyataan itu mencerminkan dasar kerajaan, atau sekadar pendirian individunya? Andainya P.Kamalanathan gagal memberi penjelasan yang munasabah, kami menuntut agar P.Kamalanathan menarik balik kenyataan beliau, dan memohon maaf secara terbuka.