Sesi interaksi diadakan untuk mengkaji isu pengiktirafan UEC
Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) telah mengadakan satu mesyuarat meja bulat berhubung kontroversi “Pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu)”, menyatakan bantahan terhadap pengiktirafan UEC, di samping melontarkan beberapa tuduhan yang tidak berasas dan tidak masuk akal. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
- Kami ingin menegaskan, bahawa kewujudan sekolah pelbagai aliran dijamin Akta Pendidikan. Ibu bapa berhak memilih mana-mana aliran sekolah untuk anak mereka, dan tiada sesiapapun boleh mengaitkan keputusan ini dengan soal “kesetiaan kepada negara”. Sesungguhnya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pada masa yang sama, menjamin hak setiap kaum untuk belajar, menggunakan dan memperkembangkan bahasa masing-masing. Tiada sesiapa dibenarkan mencabul hak yang dipersetujui bersama ketika semua golongan etnik memperjuangkan kemerdekaan negara. Dari zaman sebelum merdeka hinggalah sekarang, kesemua aliran sekolah membangun bersama. Pengiktirafan UEC tidak menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, malah tidak bercanggah dengan prinsip dan semangat perlembagaan negara.
Kami ingin menyatakan bahawa Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) memiliki kedudukan yang sah dari sisi perundangan dalam Akta Pendidikan sedia ada. Perkara ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak. Akta Pendidikan memperuntukkan hak dan kebebasan kepada ibu bapa dan anak untuk memilih aliran pendidikan, termasuk aliran pendidikan SMPC. Perkara ini juga tidak boleh dipertikai, dinafikan atau dicabul oleh mana-mana pihak. Pola pembangunan pendidikan global memperlihatkan kecenderungan ke arah kepelbagaian, agar negara terus maju ke depan. Negara akan menjadi mundur jikalau terus dibelenggu pemikiran dan hujah yang tertutup, sempit dan mono-lingualisme-kulturalisme.
- Amat dikesali, sesetengah pertubuhan dan individu langsung tidak memahami SMPC dan UEC, lantas melontarkan tuduhan yang tidak berasas dan tidak masuk akal terhadap SMPC dan UEC, bertitik tolak dari pemikiran dan hujah yang sempit dan ekstrem. Sudah tentu ianya bukan cara yang rasional untuk kita berdepan dengan isu pengiktirafan UEC.
- Kami ingin menegaskan bahawa silibus SMPC dirangka berdasarkan keperluan realiti dalam konteks negara kita sebagai masyarakat majmuk. Di samping itu, kami merujuk kepada piawaian pendidikan menengah antarabangsa, malah mematuhi prinsip yang digariskan kurikulum standard negara. Sepanjang proses merangka kurikulum standard, kami menjadikan kurikulum standard Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai blue print, menekankan lokaliti dan keterangkuman kepelbagaian dari semangatnya, memupuk semangat patriotisme dan memperluaskan pandangan antarabangsa pelajar dari segi kandungannya. Pendidikan moral, intelektual, jasmani dan kesenian ditekankan, untuk membentuk pelajar yang serba boleh.
Pada masa yang sama, bahasa Melayu dijadikan sebagai mata pelajaran teras untuk sekian lama. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dihormati. Justeru itu, mana-mana tuduhan bahawa Dong Zong ekstrem dan silibus SMPC tidak selari dengan konteks negara adalah kenyataan yang memutarbelitkan fakta.
- Untuk meningkatkan pemahaman terhadap SMPC dan UEC, Dong Zong bersama beberapa pertubuhan pendidikan utama akan mengadakan satu sesi interaksi untuk membincangkan isu UEC. Pakar akademik, badan pendidikan, pertubuhan Cina, perwakilan dari parti pemerintah dan pembangkang akan diundang untuk menyertai sesi interaksi antara etnik ini, bertukar-tukar pendapat berasaskan fakta, dan memberi pandangan yang lebih objektif terhadap isu UEC. Dengan perbincangan dan interaksi yang rasional, kami yakin ia dapat mengesahkan dan menyerlahkan nilai akademik UEC, juga sumbangannya terhadap negara.