Kenyataan media Dong Zong:
Silibus buku teks Sejarah SMPC selari dengan halatuju arus pendidikan Sejarah antarabangsa
12 Disember 2017
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon, tidak salah Kementerian Pendidikan Malaysia meminta agar nisbah kandungan sejarah tempatan ditambah dalam buku teks Sejarah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), sebagai salah satu syarat pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), “Ini kerana tiada negara yang mengaji sejarah negara asing lebih banyak berbanding negara sendirinya”. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
- Nisbah kandungan sejarah tempatan dengan sejarah dunia dalam buku teks Sejarah menengah rendah SMPC sekarang adalah 53.73% (dalam negara) berbanding 46.27% (luar negara), bukan “(kandungan sejarah dalam negara) tidak sampai satu pertiga” sebagaimana yang didakwa Chong Sin Woon.
- Untuk bahagian menengah tinggi, terdapat tiga jilid buku teks Sejarah SMPC, iaitu Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, Sejarah China (akan ditukar kepada Sejarah Asia Timur pada tahun 2020) dan Sejarah Dunia. Buku teks Sejarah SMPC disunting mengikut prinsip yang selari dengan halatuju aliran pendidikan Sejarah antarabangsa, dengan silibus menengah rendah mengutamakan sejarah tempatan dalam negara, dilanjutkan kepada sejarah serantau dan dunia dalam silibus menengah tinggi, agar pelajar dipupuk kesedaran tempatan dan pandangan antarabangsa.
Jikalau diambil contoh dari silibus buku teks Sejarah negara lain, silibus sejarah Singapura merangkumi sejarah Asia Tenggara, Sejarah India dan China, malah setengah daripada kandungannya adalah sejarah negara asing; silibus buku teks Sejarah China pula terbahagi kepada enam tema, dengan tiga tema utamanya sejarah kuno, sejarah moden dan sejarah kontemporari dunia; di Australia, buku teks Sejarah sekolah rendah mengutamakan sejarah negara, sementara sejarah negara asing dan sejarah dunia hampir memenuhi 100% kandungan silibus Sejarah sekolah menengah.
- Hakikatnya, analisis pakar akademik pada tahun 2011 mendapati silibus Sejarah untuk SPM hanya mengandungi kira-kira 20% sejarah negara asing dan sejarah dunia. Penggubalan silibus dengan nisbah ini telah menongkah arus pendidikan Sejarah antarabangsa. Justeru itu, untuk Dong Zong, permintaan kerajaan untuk meminda kandungan buku teks sejarah SMPC tidak boleh diterima, kerana ia tidak mengambil kira faktor profesional pendidikan sejarah, malah menongkah arus perkembangan dunia.