Kenyataan Media Dong Zong
Pendirian Dong Zong Konsisten: Menginstitusikan Pembinaan Sekolah Pelbagai Aliran

2 Julai 2018

Menurut Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, beliau bersama Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah mengadakan taklimat pada 10 Oktober 2017, untuk menerangkan kepada Pengerusi Dong Zong dan Jiao Zong tentang kedudukan geografi dan kewajaran di sebalik pembinaan dan perpindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang bakal dilaksanakan. Menurut Wee, Dong Zong tidak membantah lokasi yang terpilih ketika itu, namun Dong Zong mempertikaikannya pula dalam satu kenyataan media pada 29 Jun. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:

  1. Dalam isu pembinaan SJKC, Dong Zong menegaskan bahawa kami berpegang kepada prinsip dan pendirian menginstitusikan pembinaan SJKC. Ketika berdepan sama ada dengan mantan kerajaan Barisan Nasional mahupun kerajaan Pakatan Harapan, kami tetap berpegang kepada pendirian yang sama, iaitu pembinaan SJKC haruslah mengikut formula pembinaan sekolah rendah kebangsaan – pembinaan sekolah pelbagai aliran termasuk SJKC haruslah untuk menampung keperluannya. Tanah dan kosnya pula harus ditanggung kerajaan sepenuhnya.
  1. Ketika bertemu dengan Presiden MCA Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong pada 10 Oktober 2017, pimpinan Dong Zong telah menyerah satu memorandum berkaitan dengan pendidikan bahasa cina, menyentuh isu-isu yang terdesak untuk diselesaikan, termasuk menggesa agar kerajaan meluluskan permohonan Dong Zong untuk membina sebuah sekolah menengah persendirian cina (affiliated school); menginstitusikan pembinaan sekolah jenis kebangsaan cina, peruntukan yang adil kepada sekolah jenis kebangsaan cina, mengiktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC) dan menginstitusikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian cina. 

Pada 12 November 2017, ketika berucap dalam jamuan malam anjuran Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Pulau Pinang, pengerusi Dong Zong telah menyatakan pandangan dalam isu pemilihan lokasi pembinaan dan perpindahan “10 (bina) + 6 (pindah)”sekolah (Projek 10+6). Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat Dong Zong yang diadakan pada 18 November 2017, “projek 10+6” juga dibincangkan, dan diputuskan agar dikenalpasti oleh Persatuan Lembaga Pengurus negeri masing-masing berkenaan lokasi dan bilangan sekolah yang tepat dan perlu untuk dibina. Dalam satu temubual media pada 21 Januari 2018, pengerusi Dong Zong berkata, kesemua 16 buah sekolah yang diluluskan pembinaan dan perpindahan kebanyakannya terletak di kawasan yang baru dimulakan pembangunannya beberapa tahun kebelakangan. Sebaliknya, menurut siasatan Dong Zong, kawasan yang memerlukan pembinaan SJKC tidak berada dalam senarai projek 10+6 yang diumumkan.  

Daripada maklumat di atas, tuduhan Datuk Seri Wee Ka Siong bahawa “Dong Zong tidak membantah lokasi pembinaan dan perpindahan sekolah sebermulanya” adalah tidak berasas. Kami memohon agar Wee Ka Siong lebih berhati-hati dan menyemak fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.

  1. Selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, setiausaha jawatankuasa pembinaan 5 SJKC dan perpindahan 2 SJKC di Johor, Datuk Tan Cher Puk berkata, wakil rakyat Pakatan Harapan harus meluluskan peruntukan secepat mungkin, terutamanya RM20 juta yang diperlukan di peringkat awal, untuk memastikan proses pembinaan dan perpindahan SJKC disempurnakan dengan lancar. Kenyataan ini mengundang kekeliruan, apakah upacara pecah tanah sebelum hari pengundian PRU14 diadakan tanpa peruntukan kerajaan? Sejak pengumuman projek 10+6 pada 26 Oktober 2017, sehinggalah parlimen dibubarkan pada 7 April 2018, adakah kerajaan ketika itu meluluskan secara rasmi peruntukan yang diperlukan untuk pembinaan dan perpindahan SJKC? Mengapa kerajaan pada ketika itu tidak memperuntukkan tanah sekolah untuk projek 10+6 ini, sebaliknya menuntut agak pemaju perumahan menderma tanah untuk pembinaan sekolah? 

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula 8 buah SJKC daripada projek “10+6” ini. Tujuan dan hasrat Dong Zong adalah menggesa agar penilaian semula KPM bukan sahaja menjernihkan kekeliruan di atas, malah memohon agar kerajaan memilih lokasi pembinaan sekolah di kawasan yang padat penduduknya, dan juga terdesak keperluannya untuk membina SJKC. 

  1. Dong Zong menyeru agar parti pemerintah dan parti pembangkang mengetepikan perselisihan antara satu sama lain, untuk menyelesaikan masalah ini atas prinsip menghormati pendidikan bahasa ibunda dan memenuhi keperluan pendidikan masyarakat. Sejajar dengan pertukaran kerajaan baru, kami menaruh harapan agar kerajaan baru memperlihatkan tekad untuk melaksanakan pembaharuan, dan menunjukkan keikhlasan dengan melayan sekolah pelbagai aliran secara adil. Mentaliti kerajaan lama untuk menjadikan sistem pendidikan kepada satu aliran sahaja harus dikikis. Kami mencadangkan agar kerajaan mengambil sikap yang lebih telus dan terbuka, menubuhkan satu jawatankuasa yang merangkumi parti pemerintah dan pembangkang, pertubuhan pendidikan berkenaan dan ahli akademik untuk meneliti dasar pembinaan dan perpindahan SJKC dan SJKT dari sudut keperluan pendidikan dan profesional pendidikan, agar masalah ini diselesaikan secara tuntas.