Kenyataan Media Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
3 September 2018
Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 anjuran kerajaan telah meluluskan beberapa resolusi, termasuk “merombak sistem pendidikan sedia ada berdasarkan falsafah pendidikan kebangsaan, untuk membina sistem pendidikan satu aliran”. Dong Zong dan Jiao Zong terkejut dan tidak berpuas hati dengan perkembangan ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:
1. Untuk sekian lama, Pakatan Harapan (PH) mengecam dasar pendidikan yang tidak adil oleh mantan kerajaan, malah berjanji akan berlaku adil kepada semua aliran pendidikan seandainya menjadi kerajaan. Justeru itu, setelah PH memerintah, masyarakat Cina secara umumnya, termasuk Dong Zong dan Jiao Zong menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan baru ini. Kami berharap pendidikan bahasa cina diberikan ruang perkembangan yang lebih besar, dan diberi layanan yang sama rata. Namun demikian, Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 yang dianjurkan kerajaan telah meluluskan resolusi untuk membina sistem pendidikan satu aliran. Dong Zong dan Jiao Zong amat terkejut dan tidak berpuas hati dengan perkembangan ini. Lebih-lebih lagi, beberapa hari yang lalu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir mengungkit semula agenda untuk membina Sekolah Wawasan yang cuba menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semua aliran sekolah. Kini diluluskan pula resolusi untuk membina sistem pendidikan satu aliran, seolah-olah menyahut apa yang disarankan Tun. Fenomena ini agak menggusarkan. Kerajaan baru seharusnya menolak dasar pendidikan satu aliran oleh mantan kerajaan, untuk menunjukkan bahawa pertukaran kerajaan persekutuan buat kali pertama dalam sejarah selepas 61 tahun merdeka sedang meluncurkan Malaysia di landasan ke arah positif, kepelbagaian, keterbukaan dan progresif.
2. Dong Zong dan Jiao Zong menegaskan bahawa negara kita adalah masyarakat berbilang kaum dan budaya. Sistem pendidikan pelbagai aliran telah diamalkan sejak kemerdekaan, malah tiga jenis aliran sekolah telah didirikan pada peringkat pendidikan sekolah rendah, dengan bahasa Melayu, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar masing-masing. Hakikatnya, ini adalah hak yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan untuk semua golongan etnik. Justeru itu, pendidikan satu aliran bukan sahaja mengingkari semangat kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan, malah telah mencabul hak asasi setiap golongan etnik. Kami tidak akan berkompromi dalam isu ini.
3. Jikalau diimbas sejarah, kewujudan sekolah pelbagai aliran telah menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran negara, dengan memupuk bakat-bakat untuk negara. Ia bukan sahaja aset istimewa yang dimiliki negara kita, malah menjadikan Malaysia mempunyai kelebihan ketika bersaing di peringkat global. Justeru itu, kerajaan baru seharusnya memperkasa dan mempertahankan pembangunan sistem pendidikan pelbagai aliran untuk kebaikan kepada negara. Resolusi yang diusulkan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 adalah sesuatu yang terhasil daripada mentaliti ketinggalan zaman, ketika “matlamat akhir” digariskan pada tahun 1950-an. Mentaliti perkauman ekstrem yang sempit dan ketinggalan zaman ini harus dikecam dan dicegah, agar tidak menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara, yang sudah semestinya tidak menguntungkan pembangunan negara.
4. Ketika menyampaikan perutusan hari kemerdekaan, perdana menteri berjanji, kerajaan baru akan bertindak adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Hakikatnya, ia juga hasrat rakyat jelata. Oleh itu, Dong Zong dan Jiao Zong berharap agar perdana menteri melaksanakan apa yang diperkatakan, dengan menunaikan janji tersebut, termasuk menunaikan janjinya terhadap pendidikan bahasa Cina dalam manifesto pilihan raya umum secepat mungkin, agar integritinya terangkat. Pada masa yang sama, Dong Zong dan Jiao Zong menggesa agar kerajaan menggubal satu dasar yang adil untuk pendidikan pelbagai aliran, dengan mentaliti yang baru dan terbuka. Nilai dan sumbangan sekolah pelbagai aliran harus diiktiraf, dan masalah di mana pendidikan bahasa Cina tidak menerima layanan adil harus diselesaikan secara tuntas.