Kenyataan Media Dong Zong
Dong Zong Menyambut Positif Peruntukan Belanjawan Buat Kali Pertama Untuk SMPC

 

1. Dalam belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH), Kementerian Pendidikan adalah penerima peruntukan terbesar, iaitu RM60.2 bilion, atau 19.1% daripada jumlahnya. Jelas, kerajaan PH sedar akan kepentingan untuk mempertingkatkan daya saing negara dan kualiti rakyatnya melalui pelaburan dalam pendidikan. Kami menyambut secara positif usaha kerajaan PH. Bagaimanapun, persoalan sejauh manakah pelaburan dalam pendidikan menerusi peruntukan dana dapat memperbaiki kualiti pendidikan negara, dan mencapai matlamat yang diharapkan, ia bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan kerajaan.

2. Kami amat menghargai dan memuji langkah kerajaan pusat untuk memperuntukkan RM12 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dalam belanjawan, buat kali pertama dalam sejarah. Meskipun RM12 juta ini bukanlah angka yang besar jikalau dibandingkan dengan kos perbelanjaan yang tinggi di semua SMPC, namun kami tetap menghargai kesudian kerajaan untuk memperuntukkan dana kepada SMPC dalam keadaan fiskal negara yang agak sukar buat masa kini. Kami berharap permulaan yang baik ini adalah langkah pertama ke arah menginstitusikan peruntukan dana pada masa depan. Pada masa yang sama, kami berharap angka peruntukan untuk SMPC boleh dipertingkatkan apabila keadaan fiskal negara mengizinkan pada masa depan.

3. Pengumuman peruntukan kali ini memperlihatkan tekad kerajaan PH untuk melaksanakan dasar yang lebih adil kepada sekolah pelbagai aliran. Kami berharap kerajaan PH akan berpegang kepada pendirian yang sama untuk menginstitusikan peruntukan dana yang lebih adil kepada sekolah pelbagai aliran. Pada masa yang sama, kami menggesa agar pihak berkenaan mengaturkan pertemuan antara Dong Zong dengan pegawai KPM, untuk membincangkan butiran terperinci berkenaan peruntukan dan kaedah pengagihannya.

4. Dalam belanjawan tahunan yang lalu, peruntukan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) tidak menentu, ada kalanya diperuntukkan, ada kalanya tidak. Ada kalanya peruntukan diperolehi setelah berkali-kali dirundingi komuniti Cina. Justeru itu, kami berharap peruntukan RM15 juta untuk SMJK dalam belanjawan kerajaan kali ini bakal dijadikan amalan seterusnya, sebagai permulaan untuk menginstitusikan peruntukan kepada SMJK.

5. Kerajaan PH amat memandang berat terhadap pendidikan vokasional. Ia dapat diperlihatkan melalui peruntukan RM30 juta untuk Dana Wibawa Pendidikan TVET, dan RM20 juta untuk meningkatkan daya saing belia melalui Program Bootcamp berkaitan TVET. Kami menyeru agar masyarakat Cina mengambil berat perkembangan ini.

6. Selain itu, sebagai belanjawan pertama kerajaan PH, kami berpandangan bahawa ada ruang untuk diperbaiki dari segi peruntukan kepada pendidikan. Misalnya, peruntukan RM210 juta untuk memperkasa pendidikan serta program peningkatan modal insan bumiputera, sesungguhnya ia adalah perlu dan tidak dipertikaikan, namun kerajaan tidak memberi peruntukan yang setimpal untuk komuniti yang juga memerlukannya. Maka berlaku pengagihan sumber yang kurang wajar. Sementara itu, kami mengalu-alukan langkah pengecualian cukai ke atas semua sumbangan kepada tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan institut pendidikan tinggi (IPT) yang berdaftar dengan kementerian. Namun, apa yang kurang sempurna, derma atau sumbangan kepada institusi pendidikan yang bukan berorientasikan keuntungan, misalnya SMPC perlu dipohon secara berasingan jikalau mahu dikecualikan cukai.