Kenyataan Media Dong Zong

8 Jun 2018
Kelas Komputer Percuma Untuk SJKC

Dalam satu surat rasmi daripada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 17 April 2018, sekolah tidak dibenarkan untuk melaksanakan kelas komputer pada waktu persekolahan. Walau bagaimanapun, kelas komputer boleh dilaksanakan di luar waktu persekolahan. Yang berikut adalah kenyataan Dong Zong berhubung isu ini:

  1. Dalam surat rasmi KPM tersebut, pelaksanaan kelas komputer dengan kutipan yuran adalah bercanggahan dengan ketetapan dan panduan surat pekeliling. Kami ingin menegaskan bahawa kami menyokong larangan KPM untuk melaksanakan kelas komputer dengan kutipan yuran pada waktu persekolahan. Pendidikan sekolah rendah di negara kita adalah pendidikan wajib yang percuma.  
  1. Kami menegaskan bahawa sekolah jenis kebangsaan cina adalah juga sebahagian daripada pendidikan percuma yang ditawarkan negara. Kesemua kurikulum dalam waktu persekolahan adalah percuma. KPM harus bertanggungjawab untuk menawarkan tenaga guru dan kurikulum bagi waktu persekolahan, dan bukan dikendalikan syarikat swasta. Kesemua kurikulum sepanjang waktu persekolahan wajib diikuti semua pelajar, dan tiada mana-mana pihak yang boleh memaksa pelajar untuk membayar yuran bagi pembelajaran yang tidak dijadualkan dalam kurikulum. Melaksanakan kelas komputer dalam waktu persekolahan, dan mengaturkan pelajar yang tidak membayar yuran untuk mengulangkaji di kelas mahupun perpustakaan, bukan sahaja tidak mematuhi penetapan kurikulum, malah tidak adil untuk pelajar berkenaan. Seandainya kelas komputer mahu dilaksanakan, maka ia haruslah dijadualkan di luar waktu persekolahan, dan menjadi sesi yang boleh dipilih secara bebas oleh pelajar, sama ada untuk mengikutinya atau tidak.
  1. Dong Zong menganggap pendidikan komputer di sekolah adalah tanggungjawab kerajaan. Kami menggesa agar KPM merancang semula pendidikan komputer, membuka kelas komputer untuk SJKC secara percuma, dengan bahasa cina sebagai pengantar, dilengkapi dengan kurikulum yang formal dan sesuai, tenaga pengajar, kemudahan dan pemeliharaan.  
  1. KPM harus memperbetulkan amalan yang tidak adil terhadap SJKC sebelum ini, malah memacu pembangunan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), dan mengaplikasikan informasi dan teknologi komunikasi (ICT) dalam pengajaran, pembelajaran dan sistem pentadbiran sekolah. Sukatan kurikulum berkenaan harus diperbaiki, agar pembelajaran lebih berkesan. Malah, peranti ICT seperti komputer harus dibekalkan kepada SJKC secara mencukupi, disusuli dengan kelas komputer, tenaga pengajar, bahan pengajaran, sistem pentadbiran sekolah yang dikomputerisasikan, bantuan teknikal dan sebagainya.
  1. Kami menyeru agar Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menggunakan kuasanya untuk menangguhkan perintah bertarikh 17 April, yang dikeluarkan melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Atas kepentingan pelajar dan suara ibu bapa, penangguhan ini membolehkan pihak sekolah diberikan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan masalah kelas komputer berbayar dengan sebaiknya.