Kenyataan Media Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
13 November 2018

 

Ketika menjawab soalan ahli dewan di parlimen, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, seandainya sekolah bantuan kerajaan tidak mampu menampung kos operasi penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur, maka sekolah tersebut boleh memohon untuk menukar statusnya kepada sekolah kerajaan, agar kesemua kos itu ditanggung oleh kerajaan. Dong Zong dan Jiao Zong kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan. Yang berikut adalah kenyataan Dong Jiao Zong:

1. Untuk selama ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menamakan sekolah yang tanahnya dimiliki kerajaan persekutuan sebagai “sekolah bantuan penuh”, dan sekolah yang tanahnya bukan dimiliki kerajaan persekutuan sebagai “sekolah bantuan modal”. Kedua-dua kata nama ini direkacipta oleh pegawai KPM di luar kerangka perundangan. Ia adalah tidak adil untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Conforming (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan) dan lain-lain, dan ia menghakis kuasa autonomi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS).

2.Kami ingin menegaskan bahawa tiada istilah “Sekolah Bantuan Penuh” dan “Sekolah Bantuan Modal” dalam Ordinan Pelajaran 1957, Akta Pelajaran 1961 mahupun Akta Pendidikan 1996. Menurut Akta Pendidikan 1996, terdapat tiga jenis sekolah dalam sistem pendidikan negara kita, iaitu sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah swasta. Sekolah bantuan kerajaan layak untuk mendapat sumbangan bantuan/grant-in-aid dan sumbangan modal/capital grant, atau lebih dikenali sebagai peruntukan perbelanjaan mengurus dan peruntukan perbelanjaan pembangunan. Sumbangan modal adalah peruntukan kepada sekolah daripada wang awam, untuk kegunaan bangunan sekolah, penyelenggaraan, atau pengubahsuaian bangunan asal, membekalkan perabot dan infrastruktur untuk bangunan sekolah yang baru dibina, diselenggara atau diubahsuai, dan kegunaan lain-lain yang ditetapkan. Sumbangan bantuan pula adalah peruntukan dana kepada sekolah daripada wang awam selain daripada sumbangan modal. Justeru itu, kerajaan bertanggungjawab untuk memperuntukkan sumbangan bantuan dan sumbangan modal kepada sekolah bantuan kerajaan, dan tidak sepatutnya berdolak-dalik, termasuk menggunakan alasan hak milik tanah sekolah untuk mengehadkan peruntukan dana kepada sekolah bantuan kerajaan.

3. Konsep “Sekolah Bantuan Penuh” dan “Sekolah Bantuan Modal” adalah dasar yang dilaksanakan mantan kerajaan Barisan Nasional (BN). Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selepas PRU 14, seharusnya menampilkan diri dengan idealisme yang berbeza daripada BN. PH harus memperbetulkan dasar yang tidak sesuai, dan bertindak lebih adil dan saksama kepada sekolah pelbagai aliran, untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat dan negara. Kerajaan harus memastikan layanan yang sama rata kepada sekolah kerajaan mahupun sekolah bantuan kerajaan. Kerajaan bertanggungjawab untuk memperuntukkan dana untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang mencukupi, dan tidak harus mengambil kesempatan atas isu peruntukan dana sebagai cubaan untuk menukar status sekolah daripada sekolah bantuan kerajaan kepada sekolah kerajaan. Sama ada tanah sekolah daripada pelbagai aliran ini dimiliki kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, Lembaga Pengelola Sekolah, gereja mahupun swasta, kesemuanya sekolah yang berada dalam sistem pendidikan negara. Kerajaan harus melayan mereka dengan saksama, membangunkan mereka, memuji dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan pendidikan negara dan melahirkan bakat.

4. Menurut Akta Pendidikan 1996, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC, SJKT), Sekolah Mubaligh, Sekolah Conforming dan sebagainya harus mempunyai Lembaga Pengelola Sekolah. Akta ini juga menetapkan bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk menampung kos perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Kerajaan PH harus memikul tanggungjawab ini dengan ikhlas, membangunkan sekolah ini dengan peruntukan yang adil dan wajar. PH tidak harus meneruskan dasar BN untuk membahagikan sekolah kepada “sekolah bantuan penuh” dan “sekolah bantuan modal”, dan menjadikan “sekolah bantuan kerajaan” kepada “sekolah kerajaan”.

5.Kami menyeru semua LPS SJKC, Sekolah Conforming dan sebagainya, agar tidak memohon untuk menjadikan “sekolah bantuan kerajaan” kepada “sekolah kerajaan”, agar kuasa autonomi LPS tidak dihakis, dan ciri-ciri keistimewaan sekolah tidak luntur.