Kenyataan Media Dong Zong
Dong Zong Menolak Pengkategorian Sekolah Bantuan Penuh/Modal
Menurut Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Teo Nie Ching, SJKC Chung Ching (cawangan) perlu memohon untuk menukar statusnya kepada sekolah kerajaan, agar KPM boleh menguruskan permohonannya untuk beroperasi secara pentadbiran berasingan, sebagai SJKC Chung Ching II. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong berhubung perkara ini.
1. SJKC Chung Ching (cawangan) diluluskan pembinaannya oleh mantan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum pada tahun 1999. Setelah mengharungi pelbagai kesulitan sepanjang proses pembinaannya, akhirnya ia dibuka secara rasmi pada tahun 2013. Namun, terdapat jarak antara bangunan induk SJKC Chung Ching dengan cawangannya. Maka Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) berharap agar SJKC Chung Ching diluluskan permohonannya untuk menjadi SJKC Chung Ching II dengan pentadbiran berasingan, iaitu mempunyai pentadbir, guru besar dan guru-guru sendiri.
2. Menurut Akta Pendidikan 1996, terdapat tiga jenis sekolah dalam sistem pendidikan negara kita, iaitu Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta. Pengkategorian tiga jenis sekolah ini tiada kaitan langsung dengan milikan tanah sekolah. Ingin kami tegaskan, bahawa Sekolah Kerajaan bukan Sekolah Bantuan Penuh, dan Sekolah Bantuan Kerajaan bukan Sekolah Bantuan Modal.
3.LPS SJKC Chung Ching memohon agar cawangan sekolah ditukar statusnya kepada SJKC Chung Ching II. Hal ini tiada kaitan dengan hak milik tanah sekolah, atau status sebagai “sekolah bantuan penuh/sekolah bantuan modal”. Kami ingin menegaskan bahawa langkah menjadikan hak milik tanah sekolah untuk membezakan antara “sekolah bantuan penuh” dengan “sekolah bantuan modal”, adalah langkah yang ditetapkan pegawai pendidikan sendiri, dan bercanggah dengan perundangan. Justeru itu, Teo Nie Ching tidak seharusnya menggunakan piawaian yang bercanggah dengan perundangan ini untuk menyulitkan permohonan SJKC Chung Ching, yang mahu menjadikan cawangannya kepada sekolah kedua. Hakikatnya, pengalaman lalu menyaksikan sesetengah SJKC yang mempunyai bangunan induk dan cawangan, diluluskan permohonannya untuk menjadi sekolah kedua. Dong Zong menggesa agar timbalan menteri lebih bersungguh-sungguh untuk mengendalikan permohonan tersebut, agar SJKC Chung Ching cawangan diluluskan sebagai SJKC Chung Ching II.