Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
24 November 2018


Dalam Belanjawan 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya memperuntukkan RM5.5 juta (perbelanjaan pembangunan) kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR), membatalkan perbelanjaan mengurus antara RM30 juta hingga RM60 juta yang diperuntukkan beberapa tahun kebelakangan. Langkah ini mungkin menyebabkan KUTAR terpaksa menaikkan yurannya, memberi kesan langsung kepada penuntut dari keluarga kelas menengah rendah dari segi pendapatan. Dong Zong dan Jiao Zong amat berprihatin terhadap perkembangan ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:-

1. Sebagai institusi pendidikan tinggi yang tidak berorientasikan keuntungan, KUTAR telah menawarkan pendidikan tinggi dengan kualiti yang baik dan harga yang mampu ditampung, khususnya kepada penuntut yang berasal daripada keluarga golongan menengah rendah. Graduan KUTAR telah menyumbang kepada negara dalam pelbagai bidang. Namun demikian, kerajaan baru hanya memperuntukkan RM5.5 juta kepada KUTAR dalam Belanjawan 2019 untuk perbelanjaan pembangunan, malah membatalkan peruntukan untuk perbelanjaan mengurus yang diperuntukkan kepada KUTAR pada tahun-tahun kebelakangan, antara RM30 juta hingga RM60 juta. Langkah ini mungkin menyebabkan KUTAR terpaksa menaikkan yurannya, untuk menampung kos perbelanjaan mengurus yang semakin meningkat. Situasi sedemikian bukan sahaja memberi kesan kepada pembangunan KUTAR, malah juga pembangunan pendidikan negara secara menyeluruhnya.

2. Sejak beberapa dekad kebelakangan, kita menyaksikan bagaimana KUTAR yang bermula dengan Kolej TAR telah memupuk ramai bakat untuk negara, tanpa mengira parti dan etnik. Justeru itu, kami menggesa agar kerajaan baru mengikis prejudis politik, mengambil dasar yang lebih terbuka untuk memberi peruntukan kepada KUTAR untuk perbelanjaan mengurus, supaya lebih ramai penuntut dimanfaatkan dan terus memacu pembangunan pendidikan negara.

3. Dong Jiao Zong ingin menegaskan bahawa pendidikan tidak harus dikaitkan dengan politik, terutamanya pada zaman globalisasi ekonomi pada hari ini. Kita berdepan dengan cabaran dan tekanan daripada persaingan antarabangsa lantaran ledakan teknologi maklumat. Bakat yang unggul adalah aset yang diperlukan negara. Justeru itu, kerajaan seharusnya meninjau dari perspektif yang lebih makro ketika menilai pembangunan pendidikan tinggi, termasuk menghulurkan bantuan dana untuk institusi pendidikan yang bukan berorientasikan keuntungan, agar membantu untuk melahirkan lebih bakat yang memenuhi keperluan pembangunan ekonomi negara dan sosial. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong menyeru agar pihak pengurusan KUTAR membuka pintunya, termasuk menjemput perwakilan pertubuhan Cina agar turut dirangkumi dalam pimpinan pentadbiran. Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan kerjasama dengan pertubuhan Cina, tetapi juga untuk pembangunan yang lebih baik bagi pihak KUTAR.

4. Selain itu, Dong Jiao Zong mengalu-alukan kenyataan kerajaan untuk mempertimbangkan peruntukan kepada kolej yang tidak berorientasikan keuntungan, iaitu Kolej Universiti Han Chiang, Kolej Universiti Selatan, dan Kolej Universiti New Era. Langkah ini memperlihatkan keterbukaan dan sikap progresif kerajaan baru, pada masa yang sama kami berharap agar peruntukan dana kepada institusi pendidikan masyarakat Cina dapat diinstitusikan secepat mungkin.