Kenyataan Media Dong Zong
29 Jun 2018
SJKC harus dibina mengikut keperluan
Kerajaan harus tanggung semua kosnya
Menurut pengumuman Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik, daripada 16 buah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang diluluskan pembinaan dan perpindahan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelumnya, enam buah sekolah yang berada di dalam senarai perpindahan sudah dimulakan pembinaannya; dua buah sekolah dalam senarai pembinaan yang telah dimulakan pembinaan akan diteruskan. Lapan buah sekolah selebihnya yang berada dalam senarai pembinaan, akan dikaji semula berdasarkan keperluan, keadaan fiskal, faktor ketelusan dan sebagainya. Berhubung perkara ini, kenyataan media Dong Zong adalah seperti berikut:-
- Sesungguhnya, 16 buah sekolah dalam senarai pembinaan dan perpindahan yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional sebelumnya, amat sukar difahami prinsip dan ukuran penentuan lokasinya. Sesetengah kawasan yang penuh sesak dengan pelajar, didesak bertahun-tahun agar dibina sekolah di situ, tidak berada dalam senarai. Sebaliknya, sesetengah lokasi yang dipilih, berada dalam kawasan yang bakal dibangunkan kemudiannya. Keadaan sedemikian bercanggah dengan prinsip untuk meredakan masalah keterdesakan keperluan. Beberapa lokasi yang diluluskan mantan kerajaan BN dipertikaikan, misalnya kawasan perumahan baru yang jarang penduduknya (misalnya SJKC Lee Loy Seng di Ijok), kawasan yang mempunyai beberapa buah SJKC berdekatan dengan populasi pelajar antara 400 hingga 600 (misalnya Kota Seriemas di Negeri Sembilan). Tidak ditolak kemungkinan lokasi tersebut dipilih atas pertimbangan politik untuk meraih undi.
2.Kami menggesa agar kerajaan boleh menunaikan manifesto pilihan raya umum, iaitu melaksanakan dasar yang adil kepada semua aliran sekolah, sementara menilai semula projek pembinaan dan perpindahan SJKC berkenaan.
- Kami menegaskan bahawa kerajaan seharusnya bertindak adil ketika mengendalikan isu pembinaan dan perpindahan sekolah pelbagai aliran pendidikan; dan menggubal dasar berkenaan secara saksama mengikut keperluan pendidikan.
Kami memohon agar kerajaan menginstitusikan pembinaan sekolah pelbagai aliran, merujuk kepada formula pembinaan sekolah kebangsaan, dengan kos pembinaan dan tanah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Selain itu, kerajaan seharusnya menyatakan dengan jelas pengagihan tanah simpanan untuk sekolah kepada semua aliran pendidikan, malah memformulakan ukuran penambahbinaan sekolah mengikut prinsip perancangan komuniti, struktur populasi dan keperluan. Kerajaan harus memberi arahan kepada kementerian berkenaan mengikut panduan yang dirangka Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, agar sekolah pelbagai aliran boleh dibina secara berkesan. (tamat)