Peperiksaan Bersepadu Menengah Rendah dan Tinggi diasingkan, setelah pelbagai faktor dipertimbangkan
Kenyataan Dong Jiao Zong
3 Julai 2020
Memandangkan situasi penularan wabak Covid-19 semakin reda dan terkawal, pelajar yang akan menduduki peperiksaan tahun ini telah kembali ke sekolah lebih awal pada 24 Jun, dan persekolahan tingkatan yang lain akan pulih sepenuhnya pada 15 Julai. Kementerian Pendidikan telah membuat penjadualan semula dengan pemindaan tarikh peperiksaan SPM ke 6 Januari 2021 hingga 9 Februari 2021.
Lantaran daripada itu, Jawatankuasa Peperiksaan Bersepadu Sekolah Menengah Persendirian Cina telah mengadakan mesyuarat untuk menetapkan tarikh yang bersesuaian bagi Peperiksaan Bersepadu Menengah Rendah dan Menengah Tinggi. Jawatankuasa ini telah meneliti dengan rapi pelbagai langkah penyelesaian, juga kesan-kesannya, dengan mengambil kira faktor-faktor seperti sejauh manakah sukatan telah dihabiskan, keselamatan calon dan pengawas peperiksaan, operasi sekolah, tempoh pembelajaran pelajar, jaminan kualiti peperiksaan bersepadu dan keperluan lanjutan pelajaran dan sebagainya, di samping meminimumkan kesan tarikh peperiksaan terhadap pembelajaran pada tahun depan.
Maka Dong Jiao Zong mengumumkan, mesyuarat telah sebulat suara memutuskan:
Pertama, tarikh peperiksaan bersepadu menengah tinggi untuk tahun 2020 dipinda kepada 2 hingga 8 Disember 2020;
Kedua, tarikh peperiksaan bersepadu menengah rendah untuk tahun 2020 dipinda kepada 28 hingga 31 Disember 2020.
Dong Jiao Zong ingin menegaskan bahawa Peperiksaan Bersepadu adalah peperiksaan yang berpiawaian, menekankan kestabilan, kredibiliti dan “comparable”, malah diadakan secara berturut-turut sejak 45 tahun yang lalu. Kredibiliti dan martabat akademiknya akan kami pertahankan dengan sikap yang cermat dan profesional.