Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong
7 Oktober 2019


Hujah pelampau boleh jejaskan keharmonian

 

Baru-baru ini, Kongres Maruah Melayu yang diadakan telah meluluskan beberapa resolusi. Selain sesetengah resolusi yang bercanggah dengan konteks kepelbagaian bahasa, budaya, agama dan pendidikan di Malaysia, kongres ini juga sarat dengan kenyataan perkauman yang ekstrem, termasuklah cadangan untuk memansuhkan aliran pendidikan yang pelbagai, menggunakan tulisan jawi dalam semua urusan rasmi, kontrak sosial akan digantung seandainya hak keistimewaan Melayu dicabar, dan lain-lain lagi. Dong Jiao Zong amat kesal dengan kenyataan sedemikian, dan mengecam tindakan Kongres yang sengaja menjejaskan keharmonian masyarakat. Kenyataan media Dong Jiao Zong adalah seperti berikut:

1. Sejak zaman kemerdekaan, rakyat negara yang terdiri daripada pelbagai etnik telah mencurahkan keringat mereka untuk membangunkan tanahair ini, mendukung falsafah bersatu dalam kepelbagaian, sehingga tercapainya kemajuan dan kemakmuran sedia ada. Malah, kepelbagaian kaum, bahasa, agama dan budaya adalah kebanggaan rakyat Malaysia, yang harus dipertahankan. Amat dikesali apabila sesetengah politikus dan ekstremis perkauman cuba untuk menjejaskan keharmonian negara demi kepentingan diri. Bahkan sesetengah institusi mengambil kesempatan untuk menjadikan keadaan semakin tegang, misalnya Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengadakan “Kongres Maruah Melayu” yang sarat dengan hujah ekstrem dan sempit. Tindakan ini adalah selangkah ke belakang, dan tidak mendatangkan manfaat untuk pembangunan negara. Kongres ini lebih cenderung untuk mencungkil syak wasangka dan salah faham antara kaum, lantas mencetuskan perpecahan dan permusuhan untuk mencapai motif politik masing-masing, dan bukannya bertujuan untuk mengkaji masalah masyarakat Melayu sebagaimana yang didakwa.

2. Sebagai institusi pengajian tinggi awam, keempat-empat universiti tersebut sewajarnya menumpukan usahanya dalam bidang akademik dan penyelidikan, agar mengorak langkah ke depan sejajar dengan zaman Revolusi Industri 4.0. Penuntut seharusnya dipersiapkan dengan daya saing, agar memberi sumbangan kepada pembangunan negara, malah menghormati perbezaan antara kaum, dan memelihara keharmonian sesama rakyat. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa universiti tidak seharusnya menjadi alat politik, termasuk menganjurkan perhimpunan yang berbaur sentimen perkauman dan agama. Bukan sahaja ia mencetuskan rasa dendam antara kaum, malah memusnahkan asas dan pembinaan negara.

3. Sejak beberapa tahun kebelakangan, banyak masalah timbul sama ada dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, agama, bahkan hal sara hidup rakyat. Malah, kita terjerumus dalam kekecohan, dan diselubungi ancaman fahaman perkauman pelampau. Apa yang mencetuskan ketidakpuasan, kerajaan tidak mengambil langkah segera untuk menghentikannya. Meskipun selepas pertukaran kerajaan persekutuan, kerajaan baru yang menekankan kesamarataan rakyat dan keharmonian agama, tidak menampilkan tekad politik untuk pembaharuan dalam hal menentang pelampau perkauman dan agama. Ia telah bercanggah dengan janji Malaysia Baharu. Kehadiran Perdana Menteri bersama beberapa orang menteri dalam Kongres Maruah Melayu bukan sahaja membentuk tanggapan bahawa kerajaan menyokong tindakan menghasut sentimen perkauman, malah memberangsangkan golongan pelampau. Situasi sedemikian akan merobek hubungan kaum dalam masyarakat yang berbilang.

4.Dong Jiao Zong menyeru agar kerajaan berdepan dengan realiti bahawa negara kita terdiri daripada berbilang etnik. Kerajaan seharusnya mentadbir negara ini dengan pendekatan sederhana, agar memanfaatkan rakyat dan pembangunan negara. Justeru itu, Dong Jiao Zong menggesa agar kerajaan mengasingkan dirinya daripada sebarang perhimpunan yang meniup sentimen perkauman dan permusuhan agama, malah mengambil tindakan yang tegas untuk menghentikan segala kenyataan dan tingkahlaku pelampau perkauman yang semakin hari semakin bermaharajalela.