Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong
9 April 2019

Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad menyatakan bahawa kerajaan akan melaksanakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dong Zong dan Jiao Zong amat prihatin terhadap perkembangan ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:

  1. Ketika Tun Mahathir menyandang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2003, beliau telah melaksanakan dasar PPSMI tanpa mempedulikan bantahan daripada golongan etnik masing-masing. Walau bagaimanapun, dasar yang bercanggah dengan teori pendidikan bahasa ini telah berakhir dengan kegagalan. Bukan sahaja tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar tidak dipertingkatkan, malah mengundang kesan negatif terhadap pembelajaran sains dan matematik pelajar, umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

    Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan pada tahun 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui pada 23 Jun, bahawa keberkesanan dasar PPSMI tidak begitu menyerlah setelah enam tahun pelaksanaan. Kadar keberkesanannya hanya 2-3%, lantas kerajaan mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI pada Julai 2009. Justeru itu, Dong Jiao Zong amat kesal apabila Tun Mahathir mengungkit semula dasar PPSMI setelah menyandang jawatan perdana menteri buat kali kedua.  
  2. Keunggulan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), malah amalan yang lumrah di merata dunia. Lebih-lebih lagi mata pelajaran sains dan matematik, tidak mudah untuk ditelaah meskipun belajar dengan bahasa yang paling dikuasai, apatah lagi dengan bahasa yang agak asing untuk pelajar, sudah tentu keberkesanan pembelajarannya terjejas. Justeru itu, Dong Jiao Zong dengan tegas menolak dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, atas prinsip asas pendidikan bahasa ibunda, agar tidak terjejas pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini, dan juga suasana dan ciri-ciri sekolah jenis kebangsaan yang menjadikan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.

    3. Kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa teknologi, dan kepentingannya sebagai bahasa antarabangsa tidak dipertikaikan. Justeru itu, Dong Jiao Zong bersetuju bahawa usaha mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris harus dimulakan serta-merta, namun ia haruslah berdasarkan teori pendidikan bahasa, iaitu memperbaiki dan mempertingkatkan mata pelajaran itu sendiri secara menyeluruh – cara yang tepat dan berkesan. Untuk Dong Jiao Zong, penguasaan bahasa Inggeris pelajar boleh dipertingkatkan apabila matlamat pengajaran, sukatan pelajaran, waktu pengajaran, bahan pengajaran, kaedah pengajaran, tenaga guru, kemudahan dan sebagainya dalam pengajaran bahasa Inggeris itu diperbaiki.

    4. Jelas, pelaksanaan PPSMI dari tahun 2003 hingga 2009 telah dibuktikan gagal, malah menghakis dan meminggirkan kedudukan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu untuk semua golongan etnik. Justeru itu, Dong Jiao Zong menggesa kerajaan mengambil iktibar, dan jangan diulangi kesilapan itu sehingga kebanyakan pelajar dimangsakan. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong menyeru agar pertubuhan Cina seluruh negara dan badan-badan sekolah jenis kebangsaan cina berpendirian tegas untuk menolak dasar PPSMI, supaya ciri-ciri sekolah jenis kebangsaan cina dipertahankan, dan keberkesanan pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dijamin.