Kenyataan media Dong Jiao Zong berhubung isu tiada lagi pengecualian peperiksaan HSK untuk pemegang UEC sebelum melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di China.
14 Mei 2020
Pertama, bahasa Cina adalah bahasa pengantar utama dalam pendidikan bahasa ibunda yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian cina Malaysia, dengan pelajarnya menduduki peperiksaan bersepadu (UEC). Pada tahun 2004, dengan notis daripada Kementerian Pendidikan China, Kedutaan China di Malaysia telah mengecualikan calon UEC daripada mengambil Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK, Chinese Proficiency Test) sebagai syarat untuk melanjutkan pengajian di China. Sejak tahun 2004, hasrat pemegang UEC untuk melanjutkan pengajian di China semakin tinggi, kerana mereka boleh berbuat demikian tanpa perlu mengambil peperiksaan HSK.
Kedua, sejak September tahun lalu, sesetengah pemegang UEC memberi maklum balas bahawa sebahagian kecil institusi pengajian tinggi China meminta agar mereka menduduki peperiksaan HSK. Dong Jiao Zong dengan segera menghubungi institusi pengajian berkenaan, dan pejabat berkenaan di Kedutaan China di Malaysia, menyediakan maklumat yang diperlukan untuk memohon agar masalah diselesaikan. Kedutaan China di Malaysia juga memberi sokongan sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah ini.
Ketiga, baru-baru ini, Dong Jiao Zong menerima khabar daripada pejabat Kebudayaan Kedutaan China di Malaysia, iaitu China telah mengeluarkan dokumen pengesahan bertarikh 13 Mei 2020 bahawa 63 sekolah di Malaysia, iaitu lepasan daripada 60 buah SMPC ditambah dengan dua buah sekolah cawangan, juga Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan yang memiliki UEC – dikecualikan daripada mengambil peperiksaan HSK. Lepasan sekolah-sekolah tersebut boleh menggunakan salinan dokumen itu untuk memohon kemasukan tanpa perlu menduduki peperiksaan HSK. Dokumen tersebut mengesahkan bahawa notis pengecualian HSK bersyarat daripada Kementerian Pendidikan China untuk pelajar asing masih berkuatkuasa. Pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pejabat Kebudayaan, Kedutaan China di Malaysia yang mempermudahkan segala urusan ini.