Kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong
25 April 2019

Setelah pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg, Menteri Pendidikan Dr.Maszlee Malik mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menjadi negeri pertama yang melaksanakan semula dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Dong Jiao Zong amat prihatin terhadap perkembangan ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:

Dasar PPSMI yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun 2003 telah mengundang kesan negatif terhadap pembelajaran ramai pelajar, di samping mengakibatkan pembaziran dana awam dan sumber pendidikan. Akhirnya kerajaan mengakui kegagalan, dan memansuhkan dasar ini pada tahun 2009. Kini, pelaksanaan semula dasar ini umpama mengulangi kesilapan lalu, menjadikan pelajar sebagai tikus makmal dan mengorbankan kebanyakan pelajar. Dong Jiao Zong dengan tegas membantah dasar yang tidak mendatangkan manfaat untuk pembangunan pendidikan negara ini.

Setelah Dr.Maszlee Malik mengumumkan bahawa Sarawak sebagai negeri pertama yang melaksanakan semula dasar PPSMI, apakah ia bermakna KPM juga akan melaksanakan dasar PPSMI di negeri yang lain seterusnya? Dong Jiao Zong menggesa agar KPM mengumumkan butiran terperinci dasar ini dengan segera, memandangkan dasar ini sememangnya memberi kesan yang amat mendalam terhadap pembangunan negara.

 

Keunggulan dan keberkesanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah diiktiraf oleh UNESCO dan seluruh dunia. Malahan di peringkat sekolah rendah sebagai pendidikan pencerahan, pelajar harus dibenarkan untuk menggunakan bahasa ibunda yang paling fasih untuk dirinya ketika menimba ilmu (termasuk sains dan matematik). Pendekatan ini adalah cara yang paling berkesan.

Justeru itu, atas prinsip asas pendidikan bahasa ibunda, Dong Jiao Zong membantah pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah, agar pembelajaran sains dan matematik tidak dipengaruhi kesan negatif, di samping suasana dan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahasa ibunda tidak dijejaskan.

Hakikatnya, menurut Akta Pendidikan 1996, bahasa pengantar untuk pelbagai aliran pendidikan adalah bahasa ibunda masing-masing. Justeru itu, pelaksanaan dasar PPSMI bukan sahaja melanggar Akta Pendidikan, malah menghakis teras pendidikan bahasa ibunda di sekolah.

Mengambil contoh sekolah rendah jenis kebangsaan cina, seandainya dasar PPSMI dilaksanakan, bukan sahaja waktu yang menggunakan bahasa Cina sebagai pengantar berkurang secara mendadak, malah dalam peperiksaan UPSR, hanya kertas bahasa Cina dan karangan bahasa Cina menggunakan bahasa Cina. Kertas yang selebihnya, termasuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik dan Sains kesemuanya menggunakan bahasa selain bahasa Cina sebagai bahasa pengantar. Situasi ini telah menjejaskan ciri-ciri sekolah rendah jenis kebangsaan cina.

Dong Jiao Zong menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk mempertingkatkan daya penguasaan bahasa Inggeris, tetapi bukan melalui dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sebaliknya mengambil pendekatan sejajar dengan teori pengajaran bahasa, iaitu memperbaiki dan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui mata pelajaran itu sendiri. Usaha ini hanya berkesan seandainya kita mengambil langkah yang tuntas dan menyeluruh. Bagi Dong Jiao Zong, untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar, matlamat, sukatan pelajaran, waktu pengajaran, bahan pengajaran, kaedah pengajaran, tenaga guru, kemudahan dan sebagainya dalam pengajaran bahasa Inggeris itu harus diperbaiki. Hanya dengan cara yang sejajar dengan teori pendidikan, barulah usaha ini menepati sasarannya.  

Dong Jiao Zong menyeru semua individu dan pertubuhan yang prihatin terhadap pendidikan bahasa ibunda, terutamanya kesemua pertubuhan Cina di Sarawak, juga persatuan lembaga pengurus sekolah rendah cina, alumni, persatuan ibu bapa dan guru, juga badan-badan yang berkenaan, supaya mempertahankan pendirian dengan tegas, agar teras pendidikan bahasa ibunda dipertahankan, lantas pelajar boleh mempelajari mata pelajaran sains dan matematik dengan bahasa ibunda, dan mencapai pembelajaran yang paling berkesan.