Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong:
28 Februari 2019
Pengiktirafan UEC: Kerajaan PH harus tunaikan janji dalam manifesto PRU

“Dalam isu pengiktirafan UEC, Dong Zong tidak tergesa-gesa, kami sanggup menunggu dengan kesabaran.” Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dipetik oleh media untuk berkata sedemikian, lantas mengundang salah faham dan pertikaian sesetengah pihak. Untuk perkara ini, kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong adalah seperti berikut:-  

Pertama, kenyataan Tan Tai Kim selaku Pengerusi Dong Zong harus dibaca dalam konteks penubuhan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Laporan jawatankuasa khas ini dijangka akan disempurnakan pada Jun atau Julai akan datang. Justeru itu, lebih masa harus diberikan kepada Kementerian Pendidikan sementara menunggu laporan tersebut disiapkan.

Barangkali Tan Tai Kim tidak memperincikan latar belakang dan konteks hujahnya, lantas mengundang salah tafsir daripada media. Hakikatnya, Tan Tai Kim telah memberi penjelasan melalui media, berhubung kekeliruan yang ditimbulkan lantaran kenyataan beliau. Apapun, persepsi awal telah terpahat. Moga-moga dengan penjelasan ini, segala syak wasangka dapat dikikis.

Kedua, Dong Jiao Zong menegaskan bahawa gesaan agar kerajaan mengiktiraf UEC secepat mungkin adalah pendirian kami selama ini. Lebih-lebih lagi, janji pengiktirafan UEC telah termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan secara hitam putih sebelum PRU14. Kerajaan baru ini bertanggungjawab untuk menunaikan janji politik secepat mungkin, agar dilihat berintegriti di mata rakyat.

Ketiga, Dong Jiao Zong menegaskan sekali lagi, seruan agar kerajaan PH menunaikan manifestonya adalah langkah yang wajar. Tidak timbul soal bahawa kami telah berganjak langkah. Kami akan menggunakan segala saluran yang wajar untuk memantau kerajaan baru ini, agar kerajaan menunaikan janjinya terhadap pendidikan bahasa Cina.