Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong
29 Januari 2019
Dong Jiao Zong seru agar UEC dan Ijazah Undang-Undang Universiti dijadikan terus syarat kelayakan menduduki CLPE
Mulai tahun 2021, selain memiliki ijazah undang-undang yang diiktiraf Majlis Peguam Malaysia, pemegang UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) diwajibkan untuk memiliki sekurang-kurangnya dua kepujian dalam STPM/A-Level, sebagai kelayakan untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (atau Certificate in Legal Practice, singkatan: CLP).
Berhubung perkara ini, kenyataan Dong Jiao Zong adalah seperti berikut:-
Pertama, pada 23 September 2005, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) memutuskan bahawa UEC tidak akan diiktiraf sebagai salah satu syarat kelayakan untuk menduduki CLPE. Tetapi, sama ada sebelum atau selepas keputusan itu dibuat, terdapat ramai pemegang UEC yang telah berjaya menduduki CLPE dan memperolehi CLP, lalu menjadi peguam yang bertauliah.
Sehingga November 2017, apabila LPQB melaksanakan keputusan yang diumumkan, ia mengundang penentangan daripada masyarakat. Lantas pada Disember 2017, LPQB mengumumkan pengiktirafan UEC, memberi lampu hijau kepada lulusan UEC untuk menduduki CLPE.
Namun demikian, pada Jun 2018, LPQB menetapkan syarat bahawa lulusan SMPC perlu memiliki UEC, dan sekurang-kurangnya dua kepujian dalam STPM atau A-Level, sebagai kelayakan untuk menduduki CLPE. Sekali lagi, keputusan ini mengundang pertikaian.
Kedua, Dong Zong berpandangan bahawa LPQB seharusnya membenarkan lepasan SMPC untuk terus menggunakan UEC dan ijazah sarjana muda undang-undang di universiti sebagai kelayakan menduduki CLPE, dan bukannya menambah syarat kelayakan seperti mengambil peperiksaan STPM atau A-Level.
Ketiga, menurut laporan, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching telah membincangkan isu ini dengan Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, juga Peguam Negara, Tommy Thomas. Manakala Presiden Majlis Peguam, George Varughese juga memaklumkan bahawa LPQB akan membincangkan isu ini dalam mesyuarat Dong Zong pada 6 Mac akan datang. Justeru itu, Dong Jiao Zong berharap pihak yang berkenaan akan mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan isu ini.