Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
22 Jun 2021

Gembira Dengan Pengambilan Guru Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Guru. Menyeru KPM Mengkaji Semula Sistem Latihan Perguruan.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan akan mengambil sebanyak 18,702 orang guru gred DG41 secara “one off” untuk mengatasi masalah kekurangan guru. Dong Jiao Zong mengalu-alukan pengumuman ini dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

1. Dong Jiao Zong berkata, masalah kekurangan guru di sekolah rendah dan menengah sudah lama wujud dan ini tentu tidak kondusif kepada pembangunan pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) hendaklah memandang serius akan masalah ini dan mencari formula penyelesaian yang sempurna. Berhubung dengan pengumuman pengambilan 18,702 orang guru berkelayakan universiti dan bergred DG41 yang akan diiklankan pada 7 Julai dan ditugaskan untuk mengajar di sekolah rendah dan menengah mulai Oktober ini, maka Dong Jiao Zong mengalu-alukan pengumuman itu kerana usaha KPM tersebut akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan guru yang serius di sekolah-sekolah dalam jangka masa yang pendek ini. Pada masa ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) masih kekurangan kira-kira 700 orang guru manakala sekolah menengah pula kekurangan kira-kira 100 orang guru Bahasa Cina. Sehubungan dengan itu, Dong Jiao Zong menyeru anak-anak Cina yang berminat dalam pendidikan mengambil sikap proaktif untuk memohon menjadi guru sekolah rendah dan menengah supaya dapat membantu mengisi kekosongan jawatan guru berkenaan.

2. Demi memastikan kelancaran program pengambilan guru kali ini, terutamanya peruntukan bilangan jawatan yang mencukupi untuk mengisi kekosongan jawatan guru di SJKC dan guru Bahasa Cina di sekolah menengah, maka Dong Jiao Zong telah menyampaikan beberapa cadangan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon. Cadangan-cadangan tersebut termasuklah memohon pihak KPM segera mengumumkan perincian pengambilan guru, seperti kaedah dan syarat permohonan, bilangan guru yang akan diambil mengikut jenis mata pelajaran di SK, SJKC, SJKT dan sekolah menengah. Ini akan membolehkan pelbagai pihak memahami keadaan sebenar dan membantu KPM menjalankan kerja-kerja pengambilan guru. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong juga memaklumkan masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh SJKC dan sekolah menengah kepada Timbalan Menteri Pendidikan dan membincangkan formula yang berkaitan agar dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru dengan berkesan. Antaranya termasuklah membuka permohonan pengambilan guru kepada para graduan universiti swasta tempatan dan universiti luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai graduan universiti menyertai barisan guru. KPM hendaklah juga melaksanakan program latihan susulan dengan baik supaya para guru pelatih bukan jurusan pendidikan dapat mengikuti kursus latihan profesional untuk memastikan mereka mencapai tahap kualiti pengajaran yang profesional.

3. Mengikut penjelasan Menteri Pendidikan pada sidang media beberapa hari yang lalu, sebab-sebab kekurangan guru di sekolah rendah dan menengah adalah merangkumi pengurangan pengambilan guru di institut pendidikan guru mulai tahun 2016, kekurangan calon yang membuat permohonan, jawatan guru dan jurusan pengajian guru yang tidak sepadan. Ini menyebabkan KPM menghadapi masalah untuk menempatkan guru di sekolah. Dong Jiao Zong berpendapat penjelasan tersebut menunjukkan sistem latihan perguruan mempunyai beberapa kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbetulkan agar masalah kekurangan guru tidak menjadi lebih serius lagi. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru KPM mengkaji semula sistem latihan perguruan sedia ada secara menyeluruh, terutamakan pengiraan keperluan guru yang tepat mengikut setiap mata pelajaran di semua aliran sekolah dan menjalankan perancangan latihan perguruan yang menyeluruh. Ini termasuk melatih bilangan guru yang mencukupi, merangka mekanisme yang berkesan berkenaan penempatan guru untuk memastikan guru pelatih yang tamat pengajian dapat ditempatkan di sekolah dengan segera. Pada masa yang sama, KPM juga harus mengkaji semula kejadian beberapa mata pelajaran yang kekurangan permohonan dan sistem pengambilan gurunya supaya lebih banyak orang yang berminat dalam pendidikan diambil untuk dilatih di institut pendidikan guru untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru.

4. Mengikut berita daripada KPM, kerja-kerja pengambilan calon lulusan UEC dan Sijil Menengah Agama (SMA)/Sijil Menengah Ugama (SMU) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) akan dijalankan serentak dalam masa terdekat ini selepas keputusan SPM diumumkan. PISMP tersebut menyediakan 20 tempat kepada lulusan UEC seperti tahun-tahun sebelumnya untuk dilatih menjadi guru Bahasa Cina di SJKC. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru KPM segera mengumumkan perincian pengambilan calon PISMP lulusan UEC agar memudahkan kerja-kerja publisiti supaya dapat menggalakkan lebih banyak lulusan UEC yang memenuhi syarat-syarat kelayakan mengemukakan permohonan dan menyertai barisan guru di SJKC.