Dong Zong menggesa agar Chong Sin Woon berhujah berdasarkan fakta
Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata “Tiada dasar daripada kerajaan untuk menghalang pembinaan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC).” Dong Zong menganggap kenyataan ini sekadar menipu diri sendiri ketika kita berdepan dengan masalah pembinaan SJKC. Dong Zong menggesa agar Chong Sin Woon mengumumkan secara hitam putih prosedur bagaimana SJKC ditambah bina secara sistematik, untuk membuktikan kesahihan kenyataannya. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-
1. Kami menegaskan bahawa Dong Zong bersama pertubuhan Cina yang lain sering menyerahkan memorandum kepada kerajaan, memohon agar kerajaan menambah bina SJKC mengikut populasi komuniti dan keperluan pendidikan. Selain itu, suara rakyat yang memohon agar kerajaan menambah bina SJKC, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan, juga rintangan yang dihadapi, telah diberi liputan yang meluas oleh media. Namun demikian, seringkali kerajaan meluluskan pembinaan atau perpindahan SJKC ketika pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, malah tidak menanggung sepenuhnya kos dan tanah sekolah yang diperlukan, dan projek ini siap setelah sekian lama tergendala. Hakikatnya, kerajaan tidak mempunyai dasar yang menyeluruh untuk membina SJKC secara sistematik, sebaliknya pembinaan SJKC diganti dengan “perpindahan sekolah kurang murid”. Kenyataan Chong Sin Woon memperlihatkan kejahilannya dalam isu “masalah yang didepani SJKC”, pada masa yang sama telah memutar belitkan fakta. Dengan kata lain, Timbalan Menteri Pendidikan ini tidak berhujah berdasarkan fakta.
2. Menurut hujah Chong Sin Woon, kononnya “Tiada dasar daripada kerajaan untuk menghalang pembinaan SJKC”, mengapa banyak “SJKC kurang murid” yang dipindahkan ke kawasan yang padat populasinya, dan berlakunya perjuangan SJK(C) Damansara (untuk mengekalkan sekolah mereka) selama 8 tahun?
3. Lantaran daripada dasar mono-lingualisme-kulturalisme kerajaan dalam pendidikan, pembinaan SJKC berdepan dengan pelbagai rintangan, sehingga munculnya laungan slogan berbunyi, “Jangan lagi SJKC dikurangkan walaupun sebuah”. Komuniti Cina, LPS, PIBG, alumni SJKC bermatian-matian mempertahankan kewujudan “SJKC kurang murid”, agar diri mereka tidak dilihat sebagai “pengkhianat bangsa” andainya sekolahnya terpaksa ditutup. Ini kerana seandainya mana-mana SJKC ditutup, ia bermakna hilangnya permit pendaftaran sebuah SJKC, yang mengakibatkan pengurangan bilangan SJKC.
4. Memandangkan kenyataan “Tiada dasar menghalang pembinaan SJKC daripada kerajaan” ini terkeluar dari bibir Chong Sin Woon, maka beliau bertanggungjawab untuk membuktikan kesahihan kenyataannya. Kami menyeru agar timbalan menteri pendidikan ini mengumumkan secara bertulis, tentang mekanisme dasar dan prosedur pembinaan SJKC secara bersistematik, termasuk bagaimana tanah rizab untuk sekolah, peruntukan pembinaan sekolah diagihkan kepada SJKC, juga bagaimana SJKC dimasukkan dalam Rancangan Malaysia setiap lima tahun, belanjawan tahunan, Pelan Pembangunan Pendidikan, projek pembinaan sekolah dan panduan perancangan sekolah.