Dong Jiao Zong sanggah kenyataan Muhyiddin:
Silibus SMPC serasi dengan konteks negara kita
Ketika diwawancara media bahasa Cina, mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, kini sebagai Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dong Zong bersikap ekstrem dalam isu pengiktirafan UEC, tidak berganjak untuk meminda kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Malah, beliau menuduh bahawa mata pelajaran sejarah SMPC kurang menerapkan nilai kebangsaan, tidak memenuhi matlamat negara, lantas UEC tidak diiktiraf sehingga hari ini. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Jiao Zong:
1.Dong Jiao Zong ingin menyatakan bahawa sama ada sebelum atau selepas hampir 60 tahun merdeka, kepelbagaian etnik, budaya dan agama telah menjadi wajah semulajadi negara kita. Ciri-ciri keistimewaan agama, budaya, dan bahasa masing-masing adalah aset berharga, membentuk Malaysia yang diperkayakan dengan kepelbagaian. Mana-mana individu atau pertubuhan yang cuba menafikan fakta bahawa negara kita dibina pelbagai golongan etnik, atau memusnahkan pembangunan masyarakat majmuk di negara kita, adalah penghalang perpaduan dan kemajuan negara.
2.Dong Jiao Zong menegaskan bahawa kurikulum SMPC digubal berdasarkan situasi negara kita sebagai masyarakat majmuk, dan piawaian pendidikan menengah di peringkat antarabangsa. Kurikulum SMPC, termasuk mata pelajaran Sejarah selaras dengan kurikulum standard negara, malah menerapkan unsur lokaliti dan kepelbagaian dalam kandungannya, di samping mengambil kira perspektif pandangan dalam dan luar negara. Pemupukan semangat patriotisme diutamakan, ditekankan juga pendidikan moral, intelek, jasmani dan kesenian, sebagai tawaran pendidikan yang memenuhi keperluan negara kita sebagai masyarakat yang berbilang.
Jikalau diimbas penggubalan kurikulum Sejarah sekolah kebangsaan sama ada menengah mahupun rendah beberapa tahun kebelakangan, didapati sesetengah kandungan bercanggah dengan realiti negara kita sebagai masyarakat majmuk. Ia memperlihatkan kandungan yang berat sebelah, mengutamakan etnik dan agama tertentu, dengan pandangan sejarah dari perspektif tunggal dan sempit, menuntut pembetulan kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia serta-merta. Justeru itu, tuduhan bahawa Dong Jiao Zong bersikap ekstrem dan silibus Sejarah SMPC bertentangan dengan konteks negara adalah satu fitnah, juga tuduhan yang bercanggah dengan realiti, malah telah memutar belitkan fakta.
Pada hemat kami, Muhyiddin Yassin selaku mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, sering membuat kenyataan tanpa mengambil kira konteks Malaysia sebagai masyarakat berbilang ketika menyandang jawatannya. Hakikatnya, ia memperlihatkan beliau sebagai seorang pendukung dan pelaksana dasar pendidikan mono-lingualisme-kulturalisme, yang menghalang pembangunan sebuah masyarakat berbilang budaya. Lantas, ia bukan sesuatu di luar dugaan apabila beliau mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal seperti “Dong Jiao Zong bersikap ekstrem dalam isu pengiktirafan UEC”, “Dong Zong tidak berganjak dalam isu pemindaan kurikulum SMPC” dan sebagainya.
3.Dong Jiao Zong ingin menegaskan bahawa UEC bukan sahaja diiktiraf banyak universiti utama dan terunggul di dunia, malah SMPC telah melahirkan ramai bakat yang memberi sumbangan kepada negara. Di dalam negara, andainya benar apa yang diperkatakan oleh Muhyiddin berhubung silibus UEC, iaitu bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan, mengapa pula beliau membenarkan lepasan SMPC untuk melanjutkan pengajian di maktab perguruan tempatan ketika beliau menerajui KPM, sebagaimana yang ditekankan dalam wawancara? Jelas, kenyataan Muhyiddin yang berdolak-dalik menunjukkan bahawa keengganan kerajaan mengiktiraf UEC tiada kaitan dengan penolakan Dong Jiao Zong untuk meminda silibus SMPC, atau silibus UEC bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan. Dong Jiao Zong menyeru agar semua pihak menilai dari perspektif pendidikan dan akademik, dan bukan sudut politik ketika membincangkan isu pengiktirafan UEC.
4.Dong Jiao Zong menegaskan bahawa usaha untuk memperjuangkan pengiktirafan UEC adalah hasrat masyarakat Cina sekian lama, agar bakat terus dipupuk dan mereka yang berbakat tidak meninggalkan tanahair, lantas menyumbang kepada kemajuan, kemakmuran negara dan perpaduan. Kami akan terus bersikap sederhana untuk memperjuangkan pengiktirafan UEC dengan fakta. Kami tidak akan berganjak semata-mata untuk pengiktirafan UEC, sehingga tidak lagi berpegang kepada pendirian untuk mempertahankan pendidikan bahasa ibunda.
5.Dong Jiao Zong menyeru agar parti pemerintah dan pembangkang memahami hasrat masyarakat Cina memperjuangkan pengiktirafan UEC sekian lama, dan berdialog dengan Dong Jiao Zong dengan keikhlasan, agar isu pendidikan ini boleh diselesaikan dengan cepat. Langkah PRU semakin dekat, parti pemerintah dan pembangkang seharusnya membina satu suasana pendidikan yang demokrasi, terbuka, sama rata dan menghormati kepelbagaian. Malah dalam PRU akan datang, parti pemerintah dan pembangkang seharusnya menyatakan dengan jelas dalam manifesto mereka sama ada mereka menyokong pengiktirafan UEC.