Silibus SMPC selari dengan konteks masyarakat berbilang
Dong Zong: Tiada alasan kerajaan tidak iktiraf UEC

 

Ketika menjawab soalan ahli parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh telah menyenaraikan lima alasan mengapa kementeriannya tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan memasuki universiti awam. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:  

1.Dong Zong menegaskan bahawa silibus Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dirangka berdasarkan realiti negara kita sebagai masyarakat majmuk, selain piawaian pendidikan menengah antarabangsa. Silibus SMPC, termasuk mata pelajaran Sejarah, mematuhi prinsip yang digariskan kurikulum standard negara. Sepanjang proses merangka kurikulum standard, kami menjadikan kurikulum standard Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai blue print, menekankan lokaliti dan keterangkuman kepelbagaian dalam kandungannya, malah mengambil kira pandangan sejarah dalam dan luar negara. Kami memandang berat pemupukan semangat patriotisme, menekankan pendidikan moral, intelektual, jasmani dan kesenian. Kesemua ini selari dengan konteks negara kita sebagai masyarakat majmuk.

Ingin kami memperingatkan semua pihak agar memandang serius fakta ini, iaitu penggubalan silibus Sejarah sekolah kebangsaan menengah dan rendah yang bercanggahan dengan konteks negara sebagai masyarakat majmuk. Kandungan yang berat sebelah, mengutamakan etnik atau agama tertentu, pandangan sejarah dari perspektif tunggal yang sempit, kesemua ini menuntut pembetulan serta-merta daripada kerajaan dan KPM. Justeru itu, kami ingin menyatakan bahawa kami tidak akan menerima suntingan silibus sejarah SMPC dengan rujukan kepada kandungan SPM, sebagai syarat sampingan pengiktirafan UEC oleh kerajaan.

2. Pada tahun 2015, Dong Zong telah bertemu dengan Menteri Pendidikan ketika itu, iaitu Mahdzir Haji Khalid. Menteri Pendidikan berjanji untuk mengaturkan pertemuan antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Dong Zong untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC. Kami juga pernah mengutus surat kepada Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi, memohon agar mesyuarat di atas diadakan, namun tidak dibalas surat itu sehingga hari ini. Kami menggesa agar kerajaan mengambil sikap yang positif untuk memanggil mesyuarat ini serta-merta, dan jangan dilengah-lengahkan, malah tidak lagi balas-membalas tanpa bersemuka, sama ada di ruang media mahupun parlimen dalam isu pengiktirafan UEC.

3. Menurut Surat Pekeliling Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta bertarikh 19 Mac 2004, kelulusan Sijil UEC diiktiraf sebagai kelayakan masuk ke IPTS, tetapi tidak boleh diterima untuk kemasukan ke IPTA, termasuk Kolej Tuanku Abdul Rahman (dinaik taraf kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman pada tahun 2013) dan program-program IPTS yang difrancaiskan daripada IPTA. Namun demikian, di laman rasmi Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, UEC telah disenaraikan sebagai salah satu syarat kelayakan kemasukannya. Justeru itu, kami menggesa agar Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman memberi penjelasan berhubung isu ini secepat mungkin.

4. Ringkasnya, reaksi kerajaan dalam isu pengiktirafan UEC memperlihatkan sikap yang tidak berhati-hati dengan fakta, tidak bertitik tolak dari perspektif akademik, sebaliknya menggunakan bahasa dan taktik politik untuk berdepan dengan isu ini. Akhirnya kita menyaksikan hujah yang berdolak-dalik sebagai alasan tidak mengiktiraf UEC, dan ditambah dengan syarat-syarat sampingan, sehingga rakyat hilang yakin terhadap kerajaan. Jelas, kerajaan tidak ikhlas untuk mengiktiraf UEC, sebaliknya sekadar memperlekehkan tuntutan masyarakat ini, dan tindakan ini amat mengecewakan.