Kenyataan Media Dong Zong
Pemegang UEC layak mengambil peperiksaan CLP
Dong Zong berpuas hati dengan keputusan LPQB
20 Disember 2017

 

Dong Zong dimaklumkan dari beberapa saluran maklumat bahawa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) akan terus memberi lampu hijau kepada pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (Certificate in Legal Practice, CLP). Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:

 

  1. Dong Zong telah mengutus surat kepada Majlis Peguam Malaysia dan LPQB, masing-masing pada 23 dan 30 November tahun ini, memohon agar pihak berkenaan menjelaskan mengapa kelayakan menduduki peperiksaan CLP dengan UEC dan SPM dibatalkan. Pimpinan Dong Zong telah bertemu dengan Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese pada 8 Disember, malah menyerahkan maklumat berhubung pemegang UEC yang menduduki peperiksaan CLP, untuk memberi gambaran realiti kepada beliau.

Memandangkan ramai lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) telah menduduki peperiksaan CLP, dengan kelayakan UEC, SPM dan LLB (Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang), malah telah berjaya menjadi peguam yang bertauliah, Dong Zong berharap Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese dapat memanjangkan permintaan kami kepada LPQB, agar mereka menarik balik keputusan mereka, lantas menerima semula UEC sebagai kelayakan untuk menduduki peperiksaan CLP.

  1. Menurut George Varughese selaku Presiden Majlis Peguam Malaysia, sebelum 23 September 2005, pelajar UEC yang menduduki peperiksaan CLP wajib memiliki kelayakan SPM atau STPM, dan LLB. Untuk menyeragamkan kelayakan menduduki peperiksaan CLP, LPQB telah membuat penyelarasan, iaitu dengan syarat, pemegang UEC, ditambah dengan dua kepujian dalam STPM/A-Level; atau, pemegang SPM, ditambah dengan dua kepujian dalam STPM/A-level.

    Selaku Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese juga adalah anggota LPQB. Dalam sesi interaksi pada 8 Disember, beliau berjanji kepada Dong Zong bahawa beliau akan menyampaikan pandangan untuk menangguhkan keputusan pembatalan kelayakan UEC menduduki peperiksaan CLP (pada tahun 2005) dalam mesyuarat LPQB pada 19 Disember.
  2. Pada masa yang sama, Dong Zong telah mengutus surat kepada semua pengetua SMPC pada 22 November, memohon bantuan untuk mengumpul dan menyerahkan maklumat tentang lepasan SMPC yang mengambil kursus dalam jurusan undang-undang. Selain itu, Dong Zong telah mengadakan sesi interaksi, melibatkan peguam, ibu bapa dan penuntut yang terkesan agar maklumat yang berkenaan dikumpul untuk dibawa runding dengan pihak berkenaan. Di samping itu, Dong Zong telah menyerah memorandum kepada LPQB pada 18 Disember, sambil melampirkan maklumat tentang standard UEC, memohon agar LPQB membatalkan keputusan tersebut.

Sehingga kini, maklumat yang dikumpul Dong Zong menunjukkan sejumlah 33 pemegang UEC telah berjaya menduduki peperiksaan CLP, dan 16 orang daripadanya adalah peguam bertauliah. Sekurang-kurangnya 143 orang lepasan SMPC sedang mengambil kursus dalam jurusan undang-undang, atau bersedia untuk mengambil peperiksaan CLP.

Dong Zong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada George Varughese selaku Presiden Majlis Peguam Malaysia, kerana membantu untuk memanjangkan pandangan Dong Zong dalam mesyuarat LPQB pada 19 Disember. Kami juga berterima kasih kepada SMPC, peguam, penuntut jurusan undang-undang, alumni, ibu bapa dan mereka yang memberi maklumat, pandangan dan bantuan kepada Dong Zong sepanjang proses ini. Kami akan terus berhubung dengan LPQB dan Majlis Peguam Malaysia untuk mengikuti perkembangan isu ini.