Kenyataan Media Dong Zong
1 September 2018
Meraikan Kepelbagaian Tunggak Perpaduan

Media cetak bahasa Cina melaporkan wawancara The Malaysian Insight (TMI) bersama Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad, menyentuh isu Sekolah Wawasan yang mencungkil pertikaian. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:

  1. Menurut Sin Chew Daily yang menyiarkan semula laporan TMI, “PM Tun Mahathir mengungkit semula dasar Sekolah Wawasan, yakin dengan idea bahawa meletakkan semua pelajar di bawah satu bumbung membantu untuk mencapai matlamat perpaduan kaum”; “Pernah saya mencadangkan agar sekolah daripada tiga aliran ditempatkan bersama, tetapi ditolak pejuang pendidikan yang ekstrem”. 

Untuk menjawab kenyataan PM, kami menganggap, hubungan etnik negara belum mencapai keharmonian sepenuhnya menjelang ulangtahun kemerdekaan ke-61. Ramai politikus menuding jari kepada kewujudan sekolah pelbagai aliran, sementara sesetengah mempercayai hujah sebegini tanpa berfikir panjang. Hakikatnya, punca sebenar keharmonian kaum tidak tercapai adalah kerana kegagalan kerajaan lalu untuk melaksanakan dasar keadilan, keterbukaan dan kepelbagaian, sehingga berlaku polarisasi kaum pada hari ini.

Dong Zong berpandangan bahawa terdapat pelbagai kaedah untuk memupuk perpaduan, termasuk pentadbiran kerajaan, khususnya dari segi perundangan, dasar dan pelaksanaan langkah-langkah; meraih pemikiran dan wacana yang terbuka, progresif dan kepelbagaian; memberi layanan yang adil kepada semua etnik dalam semua bidang; menghormati dan menyokong kepelbagaian dalam bahasa, budaya, aliran pendidikan, anutan agama; tidak mendiskriminasi, menindas atau meminggirkan sesuatu golongan; malah membuang fahaman dan ideologi yang sempit dan ketinggalan zaman.

  1. Kami ingin menyatakan bahawa program Sekolah Wawasan sebenarnya sedang melaksanakan “ultimate objective” atas nama “perpaduan rakyat”. Sekolah Wawasan adalah sejenis “sekolah peralihan”, untuk mengumpulkan sekolah daripada tiga aliran berbeza di bawah program Sekolah Wawasan, dan kemudiannya menyeragamkan bahasa pengantar kepada satu bahasa, iaitu bahasa kebangsaan (bahasa Melayu).

Kritikan kami terhadap Sekolah Wawasan bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi kita perlu mengimbas latar belakang sejarah dan konsepnya untuk memahami motif yang tersembunyi di sebalik program ini.

Pada 26 Ogos 1995, Menteri Pendidikan ketika itu, Najib Razak mengumumkan bahawa Sekolah Wawasan akan dibina di seluruh negara, di bawah Rancangan Malaysia ketujuh (tahun 1996-2000), iaitu menempatkan sekolah yang berlainan aliran, Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)  dalam kawasan yang sama. Pada Disember 1995, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengemukakan kertas bertajuk “Sekolah Wawasan: Konsep dan Pelaksanaan” dalam satu mesyuarat. Ini kali pertama KPM mengetengahkan nama “Sekolah Wawasan”.

Perkara 4.2 dalam kertas “Sekolah Wawasan: Konsep dan Pelaksanaan” menyatakan:

“4.2 Dalam usaha mencapai matlamat perpaduan negara, pendidikan memainkan peranan yang amat penting. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berteraskan Penyata Razak 1956 jelas menegaskan tujuan dasar pendidikan sebagai alat perpaduan bagi rakyat negara ini, khususnya di kalangan kanak-kanak sekolah. Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang seragam bagi semua jenis sekolah dilihat sebagai satu ciri yang paling penting dan perlu dilaksanakan sepenuhnya secara beransur-ansur.”

Sehingga awal tahun 2000, barulah kandungan kertas “Sekolah Wawasan: Konsep dan Pelaksanaan” yang dirangka KPM terdedah kepada umum. Pada 25 Julai 2000, Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) mengumumkan usul yang diluluskan dalam mesyuarat, iaitu 14 buah parti komponen BN sebulat suara bersetuju dengan pembinaan Sekolah Wawasan. Kerajaan BN telah membina lima buah Sekolah Wawasan. Bagaimanapun, lantaran daripada bantahan masyarakat, cubaan kerajaan untuk merealisasikan “ultimate objective” yang terkandung dalam Penyata Razak 1956 secara beransur-ansur, iaitu “melaksanakan dasar pendidikan satu aliran yang seragam”, dan “penghapusan sekolah pelbagai aliran” telah digagalkan.

  1. Dong Zong menegaskan, kami sudi dan tegas untuk menyokong sebarang usaha dalam menyatupadukan rakyat dan integrasi pelajar dari sekolah pelbagai aliran, dengan syarat kerajaan memberi hak dan kebajikan secara adil kepada semua golongan etnik, dan menyokong pembangunan sekolah pelbagai aliran dengan sikap adil dan terbuka.

Namun, seandainya mana-mana pihak, termasuk kerajaan Pakatan Harapan ingin melaksanakan agenda tersembunyi untuk menyeragamkan semua aliran sekolah kepada satu, misalnya Program Sekolah Wawasan yang merealisasikan “ultimate objective” dalam Penyata Razak 1956, atas nama memupuk integrasi pelajar antara sekolah pelbagai aliran, kami akan tampil untuk menyatakan bantahan yang keras.

Dong Zong ingin menegaskan, bahawa kami tidak menolak perpaduan rakyat. Kami tidak berniat untuk mengasing-asingkan pelajar daripada pelbagai etnik. Kami tidak menolak integrasi pelajar, tetapi kami menolak kerana program Sekolah Wawasan dipergunakan untuk merealisasikan “ultimate objective”.

  1. Hakikatnya, pada 28 Julai 1985, KPM mengemukakan “Program Sekolah Integrasi”, malah mengumumkan pelaksanaannya pada tahun 1986. Program ini cuba menempatkan SK, SJKC dan SJKT bersama di bawah satu bumbung atas nama perpaduan. Program yang mahu menyeragamkan bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran dengan bahasa kebangsaan ini adalah pendahulu kepada program Sekolah Wawasan.

Lantaran daripada bantahan komuniti cina, KPM telah berunding dengan Dong Jiao Zong pada 7 November 1985. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantikan Program Sekolah Integrasi dengan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Di bawah RIMUP, sekolah daripada pelbagai aliran akan menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai perwakilan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar, guru penolong kanan, dan guru. Jawatankuasa ini melibatkan diri secara sukarela dalam lapan aktiviti khas di luar waktu persekolahan (larian rentas desa, racewalking, bola sepak, bola keranjang, bola jaring, bola baling, hari sukan kanak-kanak, pembersihan kawasan sekolah), namun tidak boleh campur tangan dalam hal bahasa pengantar, kurikulum, pentadbiran, agama dan akademik sekolah masing-masing dalam apa bentuk pun, dan tidak menjejaskan ciri-ciri dan martabat sekolah terlibat. Semua sekolah dimanfaatkan bersama melalui peningkatan kerjasama. Pada tahun 1986, Buku Panduan Rancangan Integrasi Murid-murid Untuk Perpaduan diterbitkan KPM. 55 buah sekolah rendah dipilih ke dalam 18 kumpulan untuk eksperimen program ini pada awal tahun 1986.

Hakikatnya, RIMUP dilaksanakan untuk beberapa tahun di sekolah terbabit, dan mencapai kesan yang agak baik. Namun ia diketepikan oleh KPM kemudiannya. Pada tahun 2010, KPM mengetengahkan semula RIMUP. Aktiviti silang budaya dianjurkan oleh sekolah rendah pelbagai aliran yang terbabit, untuk mempertingkatkan integrasi antara pelajar. Ia memberi kesan tertentu, tetapi pihak yang berkenaan tidak menyokong dengan bersungguh-sungguh, terutamanya dari segi sokongan dana kos perbelanjaan.

Kami ingin menyatakan bahawa seandainya pihak berkenaan menyokong pembangunan sekolah pelbagai aliran, maka kami akan menyokong aktiviti untuk memperkukuhkan perpaduan pelajar antara sekolah dari pelbagai aliran, terutamanya Buku Panduan Rancangan Integrasi Murid-murid Untuk Perpaduan 1986 yang telah dipersetujui kedua-dua pihak Dong Jiao Zong dan KPM.

Kami menyeru agar kerajaan memandang berat bajet yang diperuntukkan, membekalkan dana yang mencukupi untuk menjayakan RIMUP.