Kenyataan Media Dong Zong
22 September 2018
Penghargaan kepada MOF kerana pengecualian cukai untuk Tabung Pembangunan Pendidikan Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia
Pernah dua kali Dong Zong mengutus surat kepada Kementerian Kewangan, menyeru agar dana yang dikutip atas nama Tabung Pembangunan Pendidikan untuk “Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia”, dikecualikan cukainya, yang dianggarkan bernilai RM853,000. Akhirnya kami menerima maklum balas positif daripada Kementerian Kewangan. Yang berikut adalah kenyataan media kami:-
- Untuk melaksanakan reformasi pendidikan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) secara berkesan, agar kesinambungan pembangunan SMPC Malaysia terjamin, kami telah menubuhkan Kumpulan Gerak Khas “Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia” pada tahun 2016. Kami mengumpulkan ahli akademik dan pengamal pendidikan bahasa cina, untuk mengkaji secara menyeluruh “Kerangka Pembaharuan SMPC” yang dibentangkan pada tahun 2005.
Satu kajian yang menyeluruh tentang SMPC Malaysia telah dijalankan, mengumpul pandangan daripada pengelola SMPC, pengetua, guru, pelajar, ibu bapa, lepasan SMPC dan mereka yang prihatin terhadap pendidikan bahasa cina. “Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia” telah dirangka berdasarkan pandangan responden tersebut, untuk melakar wawasan dan halatuju pembangunan SMPC 10 tahun akan datang. Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia akan dibentangkan kepada umum secara rasmi pada 12 Ogos 2018. Dari segi perbelanjaan, untuk memastikan perancangan Pelan Induk Pendidikan SMPC Malaysia dilaksanakan secara berkesan, kami telah mengerah tenaga massa untuk kutipan dana pada tahun 2017, menyasarkan RM5 juta sebagai matlamatnya. Kami telah berjaya mengutip lebih RM5 juta pada 30 September 2017. Namun, dana untuk tabung pembangunan pendidikan yang melebihi RM5 juta ini berdepan dengan pencukaian yang dianggarkan berjumlah RM853,000. Dong Zong ialah satu badan pendidikan non-profit, lebih-lebih lagi, dana yang diperolehi melalui kutipan derma ini digunakan untuk tujuan pendidikan. Justeru itu, surplus atau dana kutipan derma seharusnya dikecualikan cukai oleh kerajaan, sebagai galakan agar lebih banyak pertubuhan masyarakat menyumbang untuk pendidikan negara.
Dua pucuk surat rasmi telah diutus kepada Menteri Kewangan, pada 23 Mac dan 8 Jun tahun ini, memohon agar anggaran cukai sejumlah RM853,000 ini dikecualikan. Pada 12 September, kami menerima surat daripada Kementerian Kewangan yang bertarikh 24 Ogos, menyatakan secara jelas bahawa permohonan pengecualian cukai tersebut telah diluluskan. Kami merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan atas keterbukaannya. Untuk kami, inilah kerajaan pilihan rakyat yang mendengar suara rakyat dan mengambil langkah proaktif untuk memberi galakan, agar masyarakat memberi sumbangan kepada bidang pendidikan.
- Selain itu, antara usul yang diluluskan dalam mesyuarat ke-91 Dong Zong bersama ahlinya di peringkat negeri, adalah “menggesa agar kerajaan mengecualikan cukai secara automatik terhadap surplus dan kutipan derma oleh badan pendidikan non-profit atau pertubuhan sosial, juga pendermanya, sebagai galakan agar lebih banyak badan sosial menyumbang untuk bidang pendidikan negara.”
Ingin kami nyatakan, bahawa tidak kurang badan pendidikan non-profit atau pertubuhan sosial yang menderma dan menyumbang, untuk mengatasi kekurangan daripada kerajaan dalam bidang pendidikan. Ramai bakat yang berpotensi dipupuk. Penglibatan badan dan pertubuhan secara sukarela ini telah menyumbang kepada negara. Kerajaan sepatutnya memberi peruntukan, sebagai galakan dan sokongan agar badan dan pertubuhan sedemikian boleh mempertingkatkan gerak kerjanya.
Kami berharap agar kerajaan mengambil langkah proaktif dari segi penggubalan dasar. Dengan kata lain, dasar pengecualian cukai terhadap penderma dan unit yang dimanfaatkan bagi tujuan pembangunan pendidikan harus digubal.