Kenyataan Media Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
23 November 2018
Dong Jiao Zong kesal dengan keputusan tidak meratifikasi ICERD
Menurut kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri, kerajaan telah mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD (Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum). Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:-
1. ICERD diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1965, berkuatkuasa secara rasmi kemudian pada tahun 1969. Sehingga Januari 2018, terdapat 179 buah negara yang telah meratifikasi ICERD, antara konvensyen antarabangsa yang luas pengiktirafannya. Hanya 14 buah negara yang belum meratifikasi ICERD, dan negara kita salah satu daripadanya. Matlamat ICERD termasuklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi, lantas memupuk persefahaman antara kaum, menghapuskan segala tindak-tanduk menghasut dendam dan diskriminasi kaum, menjamin hak asasi semua orang tanpa mengira kaum, warna kulit atau bangsa, mengambil langkah untuk menghapuskan prejudis kaum, memupuk toleransi dan saling bermaafan antara kaum atau etnik.
2. Dong Jiao Zong kesal dengan pengumuman kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD. Kami berpendirian bahawa kerajaan sepatutnya meratifikasi konvensyen ini, kerana ia sejajar dengan perkembangan hak asasi antarabangsa, memperlihatkan kita turut berada dalam landasan trend hak asasi sedunia. Langkah ini membantu untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tahap hak asasi manusia negara kita. Justeru itu, Dong Jiao Zong menyeru agar kerajaan meratifikasi konvensyen ini, menampilkan tekad dan keikhlasan Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang adil, berintegriti, dengan pentadbiran yang baik dan berpaksikan rule of law.
3. Bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa ratifikasi ICERD mengundang salah faham, titik buta dan pertikaian daripada ramai pihak, maka Dong Jiao Zong bertanggapan bahawa kerajaan harus lebih proaktif untuk merungkaikan kesangsian dan salah faham masyarakat, berkomunikasi dan mendengar pandangan pelbagai pihak, agar muafakat boleh disepakati. Langkah ini dapat mengelakkan keadaan di mana tindakan murni ini diputarbelitkan.
4. Manifesto kerajaan Pakatan Harapan menjanjikan penubuhan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat, sebagai wadah untuk menguruskan hal ehwal perpaduan rakyat dan menghapuskan konflik kaum. Dong Jiao Zong mencadangkan agar majlis ini ditubuhkan secepat mungkin, agar isu ratifikasi ICERD boleh dibawa untuk dibincang di dalamnya. Ia akan menemukan masyarakat dengan persefahaman, lantas Malaysia menjurus ke arah kesamarataan dan keharmonian.