2021年1月16日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
16 Januari 2021
Meminta KPM Membatalkan Borang Soal Selidik
Menolak Mod Pengajaran dan Pembelajaran Unit Tulisan Jawi Sedia Ada
- Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) mengedarkan borang soal selidik kepada para ibu bapa murid Tahun 4 untuk menentukan samada pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi dilaksanakan pada tahun ini. Pada hakikatnya, kajian soal selidik yang dijalankan oleh KPM pada tahun 2020 menunjukkan sebanyak 97.3% iaitu 1262 buah daripada 1297 buah SJKC di seluruh negara membantah pelaksanaan unit tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, maka pendirian SJKC terhadap isu tersebut adalah amat jelas sekali. Masyarakat Cina juga beberapa kali menyatakan bahawa tidak setuju dengan pengedaran semula borang soal selidik dan pelaksanaan tersebut yang tidak wajar diteruskan. Sehubungan dengan itu, Dong Jiao Zong menggesa KPM membatalkan pengedaran borang soal selidik tersebut. Kami juga menyeru semua lembaga pengelola SJKC, persatuan ibu bapa dan guru serta para ibu bapa berpendirian tegas untuk menolak mod pengajaran dan pembelajaran unit tulisan Jawi sedia ada.
- Pada masa yang sama, kajian yang dijalankan oleh Dong Zong pada tahun lepas juga menunjukkan sebanyak 1275 buah SJKC (98.23%) membantah pelaksanaan unit tulisan Jawi, dan ini sama dengan hasil kajian KPM. Fakta ini jelas mencerminkan hasrat para ibu bapa. Sekiranya KPM sekali lagi mengedarkan borang soal selidik, ini hanya mengulangi perkara yang sama, malah membazirkan sumber-sumber pentadbiran dan memecahbelahkan masyarakat berbilang etnik negara kita, serta menimbulkan rasa kurang senang dan gelisah.
- Dong Jiao Zong meminta KPM menangguhkan pelaksanaan unit tulisan Jawi yang banyak menimbulkan pertikaian dan menghentikan pengedaran borang soal selidik dengan segera. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong juga menyeru semua lembaga pengelola SJKC, persatuan ibu bapa dan guru serta para ibu mengikuti perkembangan isu ini, menolak mod pengajaran dan pembelajaran unit tulisan Jawi dan berpegang kepada pendekatan kepelbagaian dalam memperkenalkan seni kaligrafi pelbagai etnik yang mencerminkan keadaan sebenar masyarakat majmuk negara kita.
- Pendidikan merupakan perkara yang bersangkut-paut dengan orang ramai dan penting untuk masa hadapan negara kita. Oleh itu, Dong Jiao Zong menegaskan sekali bahawa KPM harus memperkasakan penyertaan rakyat dan segera berjumpa dengan pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk pertubuhan-pertubuhan pendidikan dan kebudayaan masyarakat Cina dan India serta pertubuhan-pertubuhan di Sabah dan Sarawak. Ini bagi menubuhkan suatu jawatankuasa kepelbagaian bahasa dan budaya untuk memastikan suara rakyat dapat disampaikan, menjalin kerjasama di antara kerajaan dan rakyat, membolehkan pelbagai pihak terlibat dalam proses membuat keputusan serta membincang dan memantau dasar-dasar pendidikan negara kita.
2020年12月29日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
29 Disember, 2020
Masalah Kekurangan Guru berlaku Lagi Di SJKC
Menyeru KPM Cari Penyelesaian Segera
Baru-baru ini SJKC menghadapi masalah kekurangan guru lagi, Dong Jiao Zong menganggap isu kekurangan guru sudah lama mengganggu barisan hadapan SJKC dan membawa kesan buruk kepada hak para pelajar. Kami berpendapat sudah tiba masanya pihak KPM mengetepikan kaedah dahulu yang kurang berkesan dan menunjukkan keikhlasannya dengan memulakan satu formula dan jadual waktu yang efektif untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru dengan sebaik-baiknya.
Kami juga amat tidak puas hati dengan statistik sumber guru dan guru sandaran yang dipaparkan oleh KPM yang tidak sepadan dengan situasi sebenar. Ini juga menyebabkan masalah kekurangan guru tetap berlaku pada awal setiap tahun persekolahan baharu. Maka Dong Jiao Zong menyeru KPM membetulkan dan mengemaskinikan informasi dan data yang sedia ada, di samping mengemukakan formulasi serta langkah-langkah jangka pendek dan pajang untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan berkesan.
Berhubung dengan masalah kekurangan guru SJKC, kami berpendapat Kementerian Pendidikan harus mempercepatkan dan menyiapkan segala
urusan penempatan guru baharu dan guru sandaran ke sekolah-sekolah berkenaan dalam jangka pendek. Ini termasuk 681 orang pelajar yang tamat pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) sejak bulan Jun 2020 dan 21 orang guru sandaran yang diambil dan lulus temu duga
untuk memastikan mereka dapat melaporkan diri di sekolah sebelum sesi persekolahan baharu bermula pada 20 Januari 2021 agar pembelajaran
murid-murid dan urusan pentadbiran sekolah tidak terjejas. Selain itu, Kementerian Pendidikan harus mengagihkan peruntukan yang cukup untuk
pelantikan guru-guru sandaran semua aliran sekolah dengan segera dan mempercepatkan urusan kelulusan pengambilan guru-guru sandaran untuk mengelakkan lembaga pengelola sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru menanggung gaji guru-guru sandaran.
Dari segi jangka masa panjang, Kementerian Pendidikan perlu membuat kajian semula dan penambahbaikan dalam beberapa aspek seperti data
statistik guru, latihan, temu duga, pelantikan dan penempatan guru tetap dan guru sandaran. Ini termasuk mewujudkan mekanisme penjejakan kekurangan guru yang berkesan dan mengkaji sumber-sumber untuk mendapatkan tenaga perguruan, memperluaskan saluran institut latihan perguruan
kerajaan, iaitu membuka permohonan program latihan perguruan kepada para graduan universiti awam dan swasta tempatan agar dapat meningkatkan
sumber-sumber tenaga perguruan bagi memenuhi bilangan pelajar latihan perguruan yang diperlukan.
Akhir kata, kami menyeru KPM menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyelesaikan isu kekurangan guru di SJKC dalam waktu dekat dan mengundang Dong Jiao Zong dan semua pihak dan pertubuhan yang berkaitan dengan Pendidikan Cina untuk menyemak semula sistem dan mekanisme latihan perguruan SJKC serta merumuskan satu penyelesaian yang menyeluruh agar mutu pengajaran di SJKC dapat dipelihara dan dijamin.
2020年12月21日 | Kenyataan Media
Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
21 Disember 2020
Buku Rujukan Kepelbagaian Tulisan Tidak Menyelesaikan Keraguan Pelbagai Pihak
Pengajaran Tulisan Jawi Harus Ditangguhkan
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan II YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon mencadangkan untuk menggunakan “Buku Rujukan Kepelbagaian Tulisan” yang merangkumi pengenalan tulisan pelbagai kelompok etnik, termasuk tulisan kelompok etnik di Sabah dan Sarawak sebagai langkah untuk mengkaji semula isu tulisan Jawi dengan mengembalikan pengenalan pelbagai tulisan yang pernah ada dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di SJKC dan SJKT. Dong Jiao Zong berpandangan buku rujukan tambahan tersebut tidak dapat menghilangkan keraguan pelbagai pihak terhadap kandungan buku teks sedia ada, dan Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya menangguhkan pelaksanaan tulisan Jawi kerana ini merupakan fokus utama kajian pertikaian mengenai isu pengajaran tulisan Jawi.
Cadangan Timbalan Menteri tersebut selaras dengan pendirian Dong Jiao Zong dan pertubuhan-pertubuhan Cina, iaitu meneruskan pengenalan tulisan dan kaligrafi pelbagai kelompok etnik dengan pendekatan kepelbagaian dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun Lima di SJKC dan SJKT untuk mencerminkan keadaan kepelbagaian masyarakat majmuk negara kita dan mengeratkan interaksi budaya antara kelompok etnik.
Tinjauan soal selidik Dong Jiao Zong menunjukkan hampir keseluruhan ibu bapa murid-murid SJKC membantah pengajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat. Di antara 1,298 buah SJKC, sebanyak 1,275 buah (98.23%) SJKC membantah pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi tersebut dan hanya 23 buah SJKC sahaja yang bersetuju. Kami berharap KPM menangguhkan pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi tersebut sebelum melaksanakan buku rujukan tambahan yang disebutkan di atas, dan bukan melakukan kajian menyeluruh selepas pelaksanaan sukatan baharu Tahun 4, 5 dan 6. Jika tidak, ia hanya akan memperhebat konflik dalaman di sekolah, menimbulkan perpecahan di antara ibu bapa dan PIBG, dan menghakis kuasa lembaga pengelola. KPM harus menyenaraikan lembaga pengelola SJKC sebagai penentu keputusan dan menghormati kuasa lembaga pengelola SJKC seperti yang ditetapkan oleh Akta Pendidikan 1996.
Keraguan masyarakat awam mengenai isu pengajaran tulisan Jawi menunjukkan bahawa kepercayaan masyarakat mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap dasar-dasar kerajaan. Untuk mengelakkan berlakunya kesilapan seperti dasar-dasar terdahulu, kami berharap pihak berkuasa memanggil pertubuhan-pertubuhan pendidikan masyarakat Cina dan India untuk menubuhkan jawatankuasa kepelbagaian bahasa agar pihak-pihak yang berkepentingan dapat bersama-sama terlibat dalam proses membuat keputusan, perbincangan dan pemantauan.
2020年12月9日 | Kenyataan Media
Kenyataan media Dong Zong
9 Disember 2020
Pendirian terhadap tulisan Jawi tidak berubah ,
DJZ mengalu-alukan pandangan dan nasihat semua pihak
Kami ingin menegaskan bahawa laporan media Sinar Harian pada 8hb Disember 2020 baru-baru ini mengenai temu ramah bersama Pengerusi Dong Zong, Encik Tan Tai Kim yang bertajuk “Perlu ikut prinsip kepelbagaian budaya, kata Dong Zong” wujudnya kandungan yang akan mencetuskan kekeliruan sesetengah pihak disebabkan penggunaan perkataan yang agak kurang tepat dalam artikel tersebut.
Sebenarnya artikel Sinar Harian tersebut amat menyeluruh dan tepat, kecuali hanya wujudnya penggunaan perkataan yang kurang tepat dalam perenggang pertama laporan tersebut, dan mengakibatkan kekeliruan atau salah tafsir sesetengah pihak termasuk bekas Menteri Pendidikan YB Maszlee Malik.
Pendirian Dong Zong mengenai isu tulisan Jawi tidak pernah berubah malah kami berharap masyarakat awam dapat mengikuti dan memahami pendirian kami dengan teliti. Isi kandungan temu ramah Encik Tan Tai Kim dalam Sinar Harian adalah berdasarkan dan sejajar dengan kenyataan bersama Dong Jiao Zong (DJZ) sebelum ini iaitu DJZ tidak bersetuju dengan cara pengajaran Tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan tidak pernah membantah sebarang tulisan mana-mana kaum termasuk tulisan Jawi, tetapi ia harus berlandaskan konsep kepelbagaian. Kami menyeru agar Kementerian Pendidikan Malaysia merujuk kepada unit tulisan kaligrafi berbilang kaum dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 yang dilaksanakan sejak tahun 2015 kerana unit sedemikian dianggap bersesuaian dengan keadaan kepelbagaian negara kita.
Pendirian tersebut juga selaras dengan kenyataan bersama yang dibuat oleh DJZ serta wakil masyarakat Cina dan India pada 15hb Januari 2020 selepas perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika itu. Kami ingin menegaskan bahawa tidak kira sama ada kerajaan Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional, pendirian DJZ terhadap tulisan Jawi adalah konsisten.
Kami berharap masyarakat awam merujuk kepada kenyataan ini untuk memahami pendirian DJZ terhadap isu tulisan Jawi dengan jelas dan tepat. Akhir sekali, kami mengalu-alukan cadangan dan nasihat daripada pelbagai pihak sebagai tunjuk ajar untuk kami pada masa hadapan.
2020年11月25日 | Kenyataan Media
Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
25 November 2020
Menyeru Kerajaan Menubuh Jawatankuasa Perbincangan dan Pemantauan Peruntukan Pendidikan dan Meneruskan Peruntukan Kepada SMPC dan 3 Buah IPT Bukan Untung
Setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf pelbagai aliran sekolah dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini, Dong Jiao Zong berpendapat ini adalah kali pertama KPM mengagih peruntukan berasaskan jumlah sekolah dan bukan seperti kaedah dahulu yang memberikan peruntukan sebanyak RM50 juta tanpa mengambil kira bilangan sekolah setiap aliran (termasuk SJKC, SJKT, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Mubaligh). Ini menunjukkan kerajaan mendengar pandangan dan cadangan pertubuhan-pertubuhan masyarakat. Namun, Dong Jiao Zong berpendapat mekanisme pengagihan peruntukan yang diumumkan oleh KPM tersebut masih ada kelemahan dan masalah yang perlu diperbaiki. Oleh itu, kami menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada pihak KPM dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat untuk membincang mekanisme tersebut dan menjalankan kerja-kerja pemantauan yang berkaitan.
Mengikut pengumuman menteri, daripada jumlah RM800 juta tersebut, asas perkiraan bagi pengagihan peruntukan itu adalah berdasarkan purata daripada peruntukan RM620 juta bagi semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan iaitu sebanyak RM60,648 bagi setiap sekolah untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah, manakala siling peruntukan bagi sekolah bantuan kerajaan dikira berdasarkan 90 peratus daripada purata itu, didarabkan dengan bilangan 1,930 sekolah. Ini bermakna wujudnya layanan yang tidak saksama di antara sekolah bantuan kerajaan dan sekolah kerajaan dalam aspek peruntukan. Dong Jiao Zong berpendapat tidak kira sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, kesemuanya terletak dibawah kawal selia KPM dan kerajaan harus memberi layanan yang saksama kepada mereka dan tidak menganaktirikan mereka. Oleh itu, kami berpendapat masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam mekanisme pengagihan peruntukan KPM dengan menghasilkan satu mekanisme yang lebih berkesan dan telus dalam pengumuman berkala berkenaan perincian peruntukan sekolah, termasuk mengambil kira bilangan murid supaya sekolah-sekolah yang besar mendapat peruntukan tambahan.
Selain daripada peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah, kerajaan juga harus mengumumkan peruntukan untuk pembinaan sekolah baru dan penempatan semula sekolah serta peruntukan utiliti seperti bayaran bil air, elektrik dan pembentungan. Kerajaan mempunyai tanggangjawab untuk menyediakan tanah sekolah dan peruntukan yang mencukupi untuk menyiapkan pembinaan SJKC yang masih belum siap dibina dengan segera agar sekolah-sekolah tersebut dapat beroperasi secepat mungkin, ini termasuk pembinaan 10 buah SJKC baharu dan penempatan semula 6 buah SJKC yang diluluskan oleh kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu. Di samping itu, kerajaan harus menanggung bil utiliti semua sekolah bantuan kerajaan dan bukan hanya memberi peruntukan maksimum RM5 ribu Ringgit kepada sekolah bantuan kerajaan di mana sekolah-sekolah tersebut terpaksa menyelesaikan baki yang tidak mencukupi dengan sendiri. Ini adalah tidak adil kepada sekolah bantuan kerajaan.
Kerajaan pernah memberi peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan tiga buah institutsi pengajian tinggi (IPT) bukan untung di belanjawan tahun 2019 dan 2020. Tetapi sehingga kini kerajaan masih tidak menyatakan pendiriannya sama ada meneruskan peruntukan kepada SMPC dan IPT bukan untung tersebut. Oleh itu, Dong Jiao Zong berasa kecewa dan berpendapat SMPC dan tiga buah IPT (Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Selatan dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang) tersebut merupakan institusi pendidikan bukan untung yang melahirkan modal insan dan bakat untuk pembangunan negara kita. Maka Dong Jiao Zong menyeru kerajaan meneruskan dasar yang memanfaatkan rakyat dan meneruskan peruntukan kepada SMPC dan tiga buah IPT bukan untung berkenaan.