Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

9 Januari 2020

 

Dong Jiao Zong menyambut baik usaha proaktif Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Waytha Moorthy Ponnusamy yang mengadakan sesi dialog yang dijalankan pada 7hb Januari bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan demi mencari jalan penyelesaian isu pengenalan tulisan Jawi.

 

  1. Pada 1 Januari tahun ini, pengerusi Dong Zong dan setiausaha agung Jiao Zong menerima mesej daripada pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Eddie Heng Hong Chai untuk bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Waytha Moorthy Ponnusamy untuk membincangkan isu pengenalan tulisan Jawi. Oleh kerana mesej tersebut tidak menyatakan dengan spesifik bahawa perjumpaan tersebut adalah atas inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan lain, maka Dong Jiao Zong menganggapkan mesyuarat itu adalah salah satu tindakan susulan Kongres Jawi Kebangsaan anjuran Majlis Bahasa Cina Malaysia dan SEKAT (Seni Khat Action Team) yang diadakan pada 29 Disember 2019. Pada masa itu Dong Jiao Zong sedang menguruskan kerja-kerja susulan ekoran daripada larangan penganjuran Persidangan Persatuan-persatuan Cina yang dijadualkan pada 28 Disember 2019, antaranya termasuk mengatur dialog dengan pucuk pimpinan parti-parti pemerintah dan pembangkang. Memandangkan kedua-dua pihak mempunyai arah tuju yang sama, maka kami berpendapat bahawa adalah baiknya masing-masing berusaha melalui pelbagai saluran demi mencapai hasil yang maksimal. Lantaran itu, Dong Jiao Zong tidak menghadiri aktiviti susulan Majlis Bahasa Cina Malaysia dan SEKAT tersebut.

 

  1. Dong Jiao Zong hanya menerima surat jemputan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri melalui emel pada pagi hari perjumpaan tersebut, didapati hanya nama 12 buah pertubuhan yang dijemput manakala Jiao Zong dan nama pertubuhan-pertubuhan Melayu tidak berada dalam senarai jemputan. Selain daripada itu, pada hari yang sama, Dong Jiao Zong akan mengadakan satu pertemuan dengan pertubuhan Muslim, maka kerana kesuntukan masa dan sebab-sebab yang tersebut, kami tidak sempat menghadiri pertemuan dengan YB Menteri dan ini amat dikesali.

 

  1. Walau bagaimanapun, seperti yang dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam sidang media, iaitu pelbagai usaha akan dijalankan untuk mencari formula penyelesaian kepada isu tulisan Jawi, maka kami berharap pihak kerajaan dapat meneruskan perbincangan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan membina kepercayaan bersama supaya mewujudkan suasana yang kondusif kepada perbincangan dasar-dasar kerajaan. Kami mengalu-alukan segala peluang   untuk bertukar pandangan dan bermuzakarah dengan semua pertubuhan yang berkaitan, termasuk pertubuhan-pertubuhan yang berlainan pandangan untuk mencari formula penyelesaian yang rasional.

 

  1. Sejak Dong Jiao Zong mengemukakan Kenyataan Bersama Pertubuhan-Pertubuhan Cina kepada Kementerian Pendidikan pada 2 Januari 2020, pihak Dong Jiao Zong telah mengambil pelbagai inisiatif, termasuk menghubungi parti-parti pemerintah dan pembangkang serta Kementerian Pendidikan untuk mengadakan dialog, moga-moga dapat mencari jalan penyelesaian kepada isu pengenalan tulisan Jawi.

Menyeru Supaya Menyiasat Ugutan Dan Keganasan Terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina

Menyeru Supaya Menyiasat Ugutan Dan Keganasan Terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

3 Januari 2020

Menyeru Supaya  Menyiasat Ugutan Dan Keganasan

Terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina

 

Menyeru Supaya Memeterai ICERD Untuk

Memperkasakan Keharmonian Dan Perpaduan Negara

 

Dong Jiao Zong mengalu-alukan keprihatinan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai ancaman terhadap Persidangan  Pertubuhan-Pertubuhan Cina. Dong Jiao Zong  menyeru supaya  pihak polis memandang serius dan membuat siasatan  untuk mengelakkan penyebaran keganasan dan kebencian antara kaum    yang berniat untuk memecahbelahkan masyarakat kita. Maka, kami turut menyeru supaya kerajaan memeterai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan secepat mungkin dan menggubal undang-undang yang berkenaan untuk membendung sebarang unsur yang  menjejaskan  keharmonian masyarakat dan menolak segala perbuatan yang mencetuskan sentimen perkauman. Ini amat penting untuk merealisasikan dan mempertonjolkan semangat kepelbagaian dan perpaduan negara kita yang berbilang kaum.

 

Membenarkan dan mempertahankan kebebasan rakyat untuk menyuarakan pendapat merupakan  ciri-ciri yang amat penting bagi masyarakat demokrasi. Oleh itu, sama ada Persidangan  Pertubuhan-Pertubuhan Cina anjuran Dong Jiao Zong yang dijadualkan pada 28 Disember 2019 ataupun Himpunan Bangkit Pertahan Jawi Haramkan Dong Zong anjuran GAMIS baru-baru ini, pada asasnya adalah  tindakan yang melaksanakan hak kebebasan berhimpun yang termaktud dalam Perlembagaan Persekutuan. Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina tersebut bertujuan untuk mendapatkan pendapat masyarakat Cina dan membuat pemantauan terhadap dasar pendidikan negara, langsung  tidak ada kaitan atau campur tangan dalam  kepentingan mana-mana  kaum dan agama yang lain. Malangnya, sesetengah pihak sengaja memutarbelitkan dan memburuk-burukkan persidangan tersebut, malah memohon perintah mahkamah untuk menghalang penganjuran persidangan tersebut. Pihak-pihak berkenaan bukan sahaja  mengugut akan mengulangi Peristiwa 13 Mei 1969, malah melemparkan tohmahan-tohmahan yang tidak berasas terhadap Dong Zong, seperti mengkhianati negara,  menjejaskan keharmonian kaum dan sebagainya. Walaupun Dong Jiao Zong amat tidak bersetuju dengan pandangan-pandangan tersebut yang meleset dan tidak benar, tetapi atas prinsip demokrasi, Dong Jiao Zong tetap mempertahankan hak bersuara dan berhimpun bagi pihak-pihak yang berlainan pandangan.

 

Dong Jiao Zong ingin mengingatkan bahawa kebebasan bersuara ada batas yang tertentu supaya  tidak disalahgunakan untuk mencabuli hak asasi orang lain.  Walaupun diberi ruangan yang sepenuhnya untuk menikmati kebebasan bersuara  dalam media sosial dan Internet, tetapi ini tidak bermakna boleh berbuat apa sahaja secara sewenang-wenangnya tanpa sempadan. Kebebasan bersuara tidak patut disalahtafsirkan atau disalahgunakan, apa sahaja yang berniat untuk menyalakan api kebencian antara kaum atau agama, termasuk penghasutan, diskriminasi, permusuhan dan pencabulan hak orang lain, semuanya  tidak tergolong dalam  lingkungan yang dijamin oleh kebebasan bersuara. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menggubal undang-undang bagi melindungi rakyat daripada kekerasan verbal. Semasa melaksanakan hak kebebasan, adalah perlu untuk menghormati hak-hak orang lain. Sekiranya melampaui dan mencabuli kedaulatan undang-undang, maka pihak perkhidmatan awam hendaklah melaksanakan kuasanya untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap pihak yang berkenaan.

 

Biarpun kebebasan bersuara merupakan nilai yang penting, tetapi bukanlah satu-satunya nilai yang ada dalam masyarakat demokrasi. Masyarakat yang saksama, harmoni dan saling menghormati seharusnya menjadi matlamat bersama bagi semua rakyat di Malaysia baru ini. Maka kami menyeru supaya kerajaan memeterai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan secepat mungkin dan menggubal undang-undang untuk menghapuskan diskriminasi kaum agar selaras dengan  piawaian hak asasi manusia  antarabangsa. Dengan adanya langkah-langkah ini, barulah Malaysia dapat melangkaui segala rintangan untuk menuju ke arah pembinaan negara yang menjunjung tinggi hak asasi manusia dan memperkukuhkan  sistem demokrasi.

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

28 Disember 2019

 

Kami menyuarakan rasa tidak puas hati atas tindakan pihak polis membuat permohonan kepada mahkamah magistret Kajang untuk mendapatkan perintah larangan terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina pada 28 Disember 2019 dengan alasan mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia.

 

Kami menegaskan bahawa kebebasan berhimpun dan bersuara merupakan hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pihak polis seharusnya mengambil tindakan terhadap  individu dan kumpulan yang sengaja mengancam dan mengganggu Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina dijalankan secara aman. Ini merupakan tanggungjawab polis, dan bukannya menyalahgunakan prosedur kehakiman yang telah merampas kebebasan menyuara kami sebagai penganjur yang mematuhi undang-undang.

 

Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina bertujuan menyuarakan pandangan dan saranan terhadap isu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi demi cari jalan secara berdialog dan bukannya konfrontasi. Persidangan ini bukan sahaja mendapat sokongan dari masyarakat Cina, tetapi juga disertai oleh masyarakat India, ahli akademik kaum Melayu serta wakil-wakil  dari Sabah dan Sarawak. Persidangan ini sememangnya akan dijalankan secara aman dan rasional, kami juga menyeru semua peserta harus mematuhi prinsip ini. Persidangan ini langsung tidak seperti perhimpunan pihak lain yang sengaja mencetuskan sentimen perkauman dan menjejaskan keharmonian negara.

 

Setakat 27 Disember 2019, sebanyak 1118 buah SJKC  dan Pertubuhan Cina telah menyatakan sokongan kepada persidangan ini. Selain itu,  lebih daripada 900 buah SJKC telah menandatangani untuk menyatakan pendirian tidak setuju terhadap pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJKC yang bukan dalam konteks kepelbagaian. Dalam pada itu, masih ada beberapa negeri sedang menjalankan kempen tandatangan ini.

 

Pandangan rakyat harus didahulukan, suara rakyat tidak boleh diketepikan, memandangkan isu tulisan Jawi harus ditangani segera,  maka kami mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut.

 

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, budaya  dan agama, selama ini kami mendukung semangat kepelbagaian dan menerima setiap Bahasa dan tulisan, termasuk tulisan Jawi. Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa berkenaan seharusnya berdasarkan prinsip kepelbagaian Bahasa dan budaya.

 

Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu Untuk Murid Tahun 4 SJK Mulai Tahun 2020 yang diumumkan pada 5 Disember 2019 ataupun garis panduan yang dipinda semula pada 20 Disember 2019, jelas menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia tidak dapat menangani isu tulisan Jawi ini secara profesionalisme, malah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

 

Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) merupakan komponen yang penting dalam SJKC, tetapi Kementerian Pendidikan Malaysia membuat keputusan bahawa pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di SJK hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui PIBG serta ibu bapa dan murid. Perbuatan ini langsung tidak  menghormati hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah. Ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan masyarakat Cina, malah juga bukan langkah penyelesaian yang pragmatik terhadap isu tulisan Jawi. Keadaan ini menyebabkan masyarakat  hilang keyakinan terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Memandangkan masyarakat Cina dan India tidak setuju dengan terhadap pelaksanaan PdP tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 di SJK, maka sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia meneruskan dasar ini, tentu akan menyebabkan ketegangan hubungan antara rakyat dengan kerajaan, dan seterusnya menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Maka, kerajaan seharusnya menunjukkan keikhlasan dan mengambil tindakan yang wajar untuk mengubah dasar-dasar yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.

 

Demi kepentingan negara dan memelihara keharmonian masyarakat, kami meluluskan ketetapan- ketetapan berikut:

 

  1. Kami bertegas dengan pendirian untuk mempertahankan hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah dalam pengurusan sekolah, maka Lembaga Pengelola Sekolah mempunyai hak dan kuasa penentuan terhadap segala dasar Kementerian Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan di SJK.
  2. Menyeru kerajaan prihatin terhadap pandangan masyarakat Cina dan India, supaya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran tulisan Jawi dibatalkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 di SJK.
  3. Sekolah harus memupuk semangat kepelbagaian budaya, maka kami setuju dengan kaedah interaksi budaya yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk seni tulisan Jawi, Cina, Tamil dan suku kaum lain. Dalam konteks ini, Kementerian Pendidikan Malaysia boleh merujuk kepada buku teks Bahasa Melayu SJK Tahun 5 yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum.
  4. Menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan dialog bersama Pertubuhan Pendidikan Cina dalam masa yang terdekat untuk menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJK.

 

Disetujui oleh

  1. Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
  2. Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong)
  3. Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong)
  4. Merdeka University Berhad
  5. Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia
  6. LLG Cultural Development Centre
  7. The Federation of Alumni Association of Taiwan Universities, Malaysia
  8. The Association of Graduates From Universities and Colleges of China, Malaysia
  9. Majlis Bahasa Cina Malaysia
  10. The Federation of Hokkien Associations of Malaysia
  11. The Federation of Kwang Tung Associations Malaysia
  12. Persekutuan Persatuan-Persatuan Hakka Malaysia
  13. The Federated Teochew Associations of Malaysia
  14. The Federation of Hainan Association Malaysia
  15. Persatuan Guangxi Malaysia
  16. Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM)
  17. Majlis Gabungan-gabungan Bahagian Belia Pertubuhan Klan Kebangsaan Malaysia

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

27 Disember 2019

Dong Jiao Zong mendapat perintah mahkamah daripada pihak polis pada pukul 5.10pm pada hari ini. Pihak polis mendapatkan perintah mahkamah atas alasan mengganggu ketenteraman dan tidak membenarkan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Cina diadakan pada hari esok iaitu 28 Disember 2019 di Auditorium Kolej Universiti New Era, maka pihak Dong Jiao Zong terpaksa membatalkan persidangan tersebut, meminta semua wakil dan pertubuhan yang terlibat membatalkan kehadiran untuk persidangan tersebut. Kami akan memberi maklum balas seterusnya selepas perbincangan dalaman sekian hari. Sekian terima kasih.

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

24 Disember 2019

 

Berkenaan dengan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR menyeru semua pihak kembali ke ruang dialog untuk berbincang isu tulisan Jawi, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) mengeluarkan kenyataan berikut:

 

  1. Dong Jiao Zong mengalu-alukan keprihatinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR mengenai isu pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SJK. Dong Jiao Zong sependapat dengan cadangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, iaitu menyelesaikan isu tulisan Jawi  melalui dialog.

 

  1. Dong Jiao Zong menghormati kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita dan tidak membantah tulisan Jawi. Pada halnya, Dong Jiao Zong bersetuju dengan isi kandungan buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu SJK Tahun 5 sedia ada yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk seni tulisan Jawi.

 

  1. Selama ini, Dong Jiao Zong berpendirian bahawa perbezaan pandangan yang timbul harus diselesaikan melalui perbincangan yang rasional dan semangat toleransi, ini amat penting untuk mempertingkatkan keharmonian dan perpaduan antara kaum, supaya menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan negara. Maka, Dong Jiao Zong sedia mengadakan perbincangan dengan semua pihak sebelum atau selepas 28 Disember 2019, termasuk Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan pertubuhan-pertubuhan pelbagai kaum untuk bermuzakarah dan menyelesaikan isu tulisan Jawi secara rasional, dan mempertingkatkan persefahaman antara kaum.

 

  1. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) merupakan komponen yang penting dalam SJKC. Ahli-ahli LPS merangkumi wakil-wakil daripada Kumpulan Penyokong Sekolah, Kumpulan Pemegang Amanah Harta Sekolah, PIBG, bekas murid sekolah dan wakil Menteri Pendidikan. Selain itu, kedudukan dan kuasa LPS bagi pengurusan sekolah termaktub dalam Akta Pendidikan, maka Dong Jiao Zong menegaskan bahawa LPS harus ditetapkan oleh KPM untuk membuat keputusan mengenai pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi.