Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

 

Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) amat prihatin terhadap pengumuman Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, setelah pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, bahawa Sarawak akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan semula pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sehubungan itu, Dong Zong dan Jiao Zong ( Dong Jiao Zong ) mengeluarkan kenyataan bersama berikut:

 

  1. Dasar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan mulai tahun 2003 bukan sahaja menjejaskan pembelajaran murid-murid, malah juga membazirkan jumlah wang yang amat besar dan sumber pendidikan negara. Pada akhirnya, kerajaan terpaksa mengakui kegagalan pelaksanaan dasar PPSMI dan memansuhkan dasar ini pada tahun 2009. Maka, Dong Jiao Zong dengan tegasnya membantah cadangan kerajaan untuk melaksanakan semula dasar PPSMI kerana ini sebenarnya mengulangi kesilapan yang sama, menjadikan murid-murid sebagai bahan eksperimen, mengorbankan kebanyakan murid dan menjejaskan pembangunan pendidikan negara.

 

  1. Berkenaan dengan pengumuman Menteri Pendidikan bahawa Sarawak menjadi negeri pertama melaksanakan semula dasar PPSMI, ini bermakna adakah Kementerian Pendidikan akan turut melaksanakan dasar PPSMI di negeri-negeri lain? Memandangkan dasar ini akan membawa impak yang besar terhadap pembangunan negara, maka Dong Jiao Zong menyeru Menteri Pendidikan dengan segera mengumumkan butir-butiran yang lebih lanjut mengenai pelaksanaan semula dasar PPSMI.

 

  1. Keunggulan dan keberkesanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah diperakui oleh UNESCO dan merupakan amalan umum sedunia, khususnya bagi pendidikan peringkat sekolah rendah yang merupakan pendidikan asas, mesti menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa yang paling dikenali oleh murid-murid untuk mempelajari mata pelajaran ilmu pengetahuan, termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik, kerana ini merupakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan.

 

Sehubungan itu, berasaskan prinsip keberkesanan pendidikan bahasa ibunda, Dong Jiao Zong dengan tegasnya membantah kerajaan melaksanakan semula dasar PPSMI di sekolah rendah supaya tidak mengganggu pembelajaran Sains dan Matematik di kalangan murid-murid, dan menjejaskan ciri-ciri dan persekitaran pendidikan bahasa ibunda di sekolah rendah.

 

Pada halnya, mengikut Akta Pendidikan 1996, bahasa pengantar utama bagi SK, SJK(C) dan SJK(T) masing-masing ialah bahasa kebangsaan, bahasa Cina dan bahasa Tamil. Oleh itu, dasar PPSMI bukan sahaja mengingkari Akta Pendidikan, bahkan juga menghakis ciri-ciri pendidikan bahasa ibunda di semua aliran sekolah rendah.

 

Misalnya di SJK(C), pelaksanaan dasar PPSMI bukan sahaja menyebabkan jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dalam bahasa Cina berkurang secara mendadak, malah dalam peperiksaan UPSR, hanya kertas soalan peperiksaan Pemahaman dan Penulisan Bahasa Cina dijalankan dalam bahasa Cina, manakala kertas soalan bagi subjek-subjek yang lain termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik akan dijalankan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ini jelas telah menjejaskan ciri-ciri SJK(C) yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

 

  1. Dong Jiao Zong mengakui kepentingan bahasa Inggeris yang berperanan sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa pengantaraan dalam era teknologi maklumat masa kini, maka kami menyokong sepenuhnya usaha kerajaan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid, tetapi bukan melalui pendekatan dasar PPSMI. Peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid harus dilaksanakan berdasarkan kurikulum, tenaga pengajar, bahan-bahan mengajar dan kaedah pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris, supaya menepati prinsip pendidikan dan mencapai kesan yang diharapkan.

 

  1. Dong Jiao Zong menyeru semua lapisan masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan pendidikan yag prihatin akan pendidikan bahasa ibunda, termasuk pertubuhan-pertubuhan Cina di Sarawak, lembaga pengurus sekolah, persatuan alumni, PIBG dan pertubuhan-pertubuhan yang berkenaan di SJK(C) berpegang teguh untuk membantah dasar PPSMI demi mempertahankan ciri-ciri pendidikan bahasa ibunda, dan memastikan murid-murid untuk terus membelajari mata pelajaran Sains dan matematik dalam bahasa ibunda supaya memperolehi hasil pembelajaran yang paling berkesan.

Dong Jiao Zong Menyeru Kerajaan Pakatan Harapan Supaya Bersungguh-sungguh Menunaikan Janji untuk Mengiktiraf UEC dalam Manifesto Pilihan Raya Umum

Dong Jiao Zong Menyeru Kerajaan Pakatan Harapan Supaya Bersungguh-sungguh Menunaikan Janji untuk Mengiktiraf UEC dalam Manifesto Pilihan Raya Umum

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

4 Januari 2019

Pengiktirafan UEC Dari Sudut Pendidikan dan Akademik

Dong Jiao Zong Menyeru Kerajaan Pakatan Harapan Supaya Bersungguh-sungguh Menunaikan Janji untuk Mengiktiraf UEC dalam Manifesto Pilihan Raya Umum

 

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu wawancara dengan akhbar harian Cina, telah menyatakan bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate/UEC) Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina hendaklah mempertimbangkan perasaan orang Melayu dan hendaklah juga menyelesaikan masalah jurang dalam pengagihan kekayaan negara terlebih dahulu. Sehubungan itu, Dong Zong dan Jiao Zong mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut:

 

1. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) ingin menegaskan semula bahawa pengiktirafan UEC ialah satu isu pendidikan, dan isu pendidikan haruslah berbalik kepada perbincangan dari sudut pendidikan. Pengiktirafan UEC harus dikendalikan secara pragmatik, profesional dan rasional dari aspek akademik dan pembangunan modal insan negara.

 

2. Dong Zong dan Jiao Zong ingin mengingatkan sekali lagi bahawa pengiktirafan UEC merupakan antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum. Setelah memenangi pilihan raya umum dan menerajui Kerajaan Persekutuan, maka kerajaan Pakatan Harapan seharusnya menunjukkan pemikiran baru dalam tadbir urus kerajaan untuk mengendalikan pengiktirafan UEC dan bersungguh-sungguh menunaikan janji untuk mengiktiraf UEC selaras dengan manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum.

 

3. Dong Zong dan Jiao Zong ingin menyatakan bahawa memandangkan Kementerian Pendidikan dalam proses pengendalian pengiktirafan UEC telah menubuhkan Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) bagi mengkaji dan mengumpul maklumat UEC dan pandangan pelbagai pihak, yang kemudiannya akan mengemukakan laporan kepada Menteri Pendidikan untuk dibentangkan dalam Kabinet, maka semua pihak boleh mengemukakan pandangan mereka kepada Pasukan Petugas tersebut. Lantaran itu, mana-mana pihak pun tidak patut memanipulasikan sentimen politik dan kaum untuk mengganggu pengiktirafan UEC.