Berdialog dan Bincang Isu Pendidikan Secara Rasional Dong Zong Sokong Kerajaan Baharu Mengutamakan Pemulihan Ekonomi

Berdialog dan Bincang Isu Pendidikan Secara Rasional Dong Zong Sokong Kerajaan Baharu Mengutamakan Pemulihan Ekonomi

Kenyataan Dong Zong

29 November 2022

Berdialog dan Bincang Isu Pendidikan Secara Rasional

Dong Zong Sokong Kerajaan Baharu Mengutamakan Pemulihan Ekonomi

 

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kerajaan baharu mula dibentuk dan pelbagai lapisan masyarakat mengharapkan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melakarkan pelan pembangunan baharu untuk negara kita. Malangnya, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (Unified Examination Certificate, UEC) pula diperbesarkan dan digembar-gemburkan secara berlebihan dengan cubaan untuk mencetuskan konflik sosial dan mewujudkan permusuhan dan persengketaan. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menyokong kerajaan baharu untuk mengutamakan pemulihan ekonomi negara, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memupuk keharmonian sosial. Kami memahami kebimbangan masyarakat Melayu. Dengan penuh keikhlasan dan usaha gigih, kami sudi berdialog dan berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman antara satu sama lain, membina asas saling percaya dan meningkatkan muafakat agar dapat mendalami pelbagai isu pendidikan secara rasional dan pragmatik.

 

Mesyuarat bersama ahli-ahli persatuan yang diadakan oleh Dong Zong beberapa hari lalu merupakan salah satu mesyuarat tahunan. Mesyuarat tersebut mengumpul pandangan ahli-ahli persatuan terhadap isu pendidikan dan merumuskannya menjadi beberapa resolusi yang rasional dan berasas. Mesyuarat itu telah meluluskan 11 resolusi yang berkait rapat dengan kemakmuran negara, sistem pendidikan, hak dan kepentingan pendidikan pelbagai kumpulan etnik dan lapisan masyarakat, ini termasuklah penubuhan Ombudsman Pendidikan, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar, penggubalan dasar pendidikan yang menyokong kepelbagaian budaya dan aliran sekolah, layanan yang adil kepada semua aliran sekolah dan sebagainya. Resolusi-resolusi di atas mencerminkan pendirian konsisten Dong Zong selama ini terhadap kepelbagaian dan kesaksamaan, jaminan hak pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik, serta penjagaan kepelbagaian budaya. Kami tetap teguh percaya bahawa dengan memperbetulkan penyelewengan dalam dasar pendidikan, semua murid atau pelajar dapat menikmati peluang dan sumber pendidikan yang adil dan dengan ini dapat meningkatkan daya saing negara kita.

 

Pengiktirafan UEC merupakan satu isu akademik dan pendidikan yang seharusnya dibincangkan secara rasional. Kami menyeru pelbagai pihak supaya jangan menjadikan UEC sebagai alat politik yang sengaja digembar-gemburkan sebagai isu kaum. Tidak kira mana-mana parti politik menjadi kerajaan, pendirian Dong Zong selama ini adalah untuk membantu negara kita dalam pembangunan modal insan, dan bertegas untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC secara akademik dan profesional. Semua kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk mata pelajaran Sejarah, adalah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kurikulum SMPC juga menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara kita. Teras pendidikan SMPC bertujuan untuk membentuk pembelajaran dan keupayaan para pelajar agar dapat memenuhi trend pembangunan pendidikan sedunia. UEC merupakan satu pentaksiran akademik, sama serupa dengan pentaksiran STPM, IB, A-Level dan sebagainya. UEC bukanlah satu petunjuk politik, oleh itu ahli-ahli politik tidak boleh menginterpretasikan UEC sewenang-wenangnya secara berlebihan untuk kepentingan peribadi. Sudah tentu, kami sememangnya dengan rendah hati menerima sebarang kritikan dan tunjuk ajar berkenaan kurikulum SMPC dan akan berusaha untuk menambahbaikkannya.

 

Selepas pilihan raya umum, terdapat pelbagai sektor yang amat perlu dipulihkan. Negara kita tidak ada banyak modal lagi untuk dibazirkan. Memandangkan negara kita menghadapi pelbagai cabaran, Dong Zong bersetuju bahawa kerajaan perpaduan yang baru dibentuk harus memberi keutamaan untuk melaksanakan langkah-langkah yang bermanfaat kepada rakyat, mengadakan tadbir urus yang baik dan berintegriti, memulihkan kebebasan kehakiman, memansuhkan undang-undang yang buruk, meringankan beban hidup rakyat dan merangsangkan pembangunan ekonomi. Kerajaan haruslah juga memupuk dialog yang rasional, menyatupadukan hati rakyat dan tidak menghampakan mandat rakyat.

Dong Zong berharap Kerajaan Perpaduan mempertahankan pendidikan Bahasa ibunda dan kepelbagaian

Dong Zong berharap Kerajaan Perpaduan mempertahankan pendidikan Bahasa ibunda dan kepelbagaian

Kenyataan Dong Zong

24 November 2022

Dong Zong berharap Kerajaan Perpaduan mempertahankan pendidikan Bahasa ibunda dan kepelbagaian

 

Negara kita berada dalam transisi menuju ke arah demokrasi dengan menyaksikan pertukaran pentadbiran kerajaan Persekutuan secara aman untuk kali ketiga. Kemelut politik diakhiri berikutan penubuhan Kerajaan Perpaduan, Dong Zong mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri yang kesepuluh, dan berharap kerajaan baharu akan menjamin pembangunan pendidikan bahasa ibunda dan asas masyarakat majmuk.

 

Kerajaan baharu memikul tanggungjawab yang berat dan menghadapi cabaran pelbagai dimensi untuk membawa negara kembali ke landasan dan menyatukan hati rakyat.

 

Kita berharap Kerajaan Perpaduan dapat bekerjasama dengan semua pihak, demi memacu pembangunan dan transformasi ekonomi, dan berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat supaya harapan baharu dapat dirasaikan.

 

Pada masa yang sama, kita juga berharap kerajaan baharu akan menunaikan janji pilihan raya, dan menjamin pembangunan sistem pendidikan pelbagai aliran serta menjaga kesaksamaan bagi pendidikan bahasa ibunda.

 

Keharmonian sosial dan kestabilan masyarakat yang mampan dapat dikekalkan dengan mengesahkan realiti masyarakat majmuk dan melaksanakan tadbir urus yang baik.

 

Ini adalah harapan kami yang tinggi untuk kerajaan baharu.

Dong Jiao Zong Kemuka Tiga Tuntutan Pembaharuan Pendidikan Menyeru Calon Pilihan Raya Membahas Dasar Secara Terbuka

Dong Jiao Zong Kemuka Tiga Tuntutan Pembaharuan Pendidikan Menyeru Calon Pilihan Raya Membahas Dasar Secara Terbuka

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

3 November 2022

Dong Jiao Zong Kemuka Tiga Tuntutan Pembaharuan Pendidikan

Menyeru Calon Pilihan Raya Membahas Dasar Secara Terbuka

 

Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan tidak lama lagi. Di samping pengumuman manifesto pilihan raya, Dong Jiao Zong menyeru semua gabungan parti politik atau calon-calon pilihan raya segera mengadakan perbahasan dasar awam untuk menerangkan konsep pemerintahan dan dasar-dasar yang dicadangkan supaya menegakkan prinsip-prinsip kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman, serta mengagihkan sumber pendidikan negara secara adil dan munasabah. Pada masa yang sama, kami juga menyeru semua lapisan masyarakat menjalankan tanggungjawab mengundi agar bersama-sama menentukan masa depan negara kita.

 

Walaupun Malaysia mencapai penggiliran parti pemerintahan yang pertama kalinya sejak empat tahun lalu, namun pergolakan politik telah mendatangkan penukaran tiga buah kerajaan. Saki-baki politik autoritarian belum dihapuskan, manakala transformasi demokrasi terbantut. Selain itu, momok politik perkauman masih berlegar-legar, percanggahan dan perbezaan masih perlu diselesaikan. Cabaran paling mendesak dalam konteks masyarakat majmuk negara kita ialah persaingan antara unilateralisme dan kepelbagaian, manakala populisme ala sayap kanan pula kerap kali mempengaruhi angin politik negara. Negara kita hendaklah bangkit ke atas dan bukannya tenggelam ke bawah. Oleh itu, tindakan memanipulasikan politik populisme hendaklah dihentikan, manakala semangat menghormati perbezaan, saling bertolak ansur dan bertimbang rasa boleh membentuk budaya politik yang baharu.

 

Pilihan raya berkala dalam negara demokrasi ialah satu hubungan kontrak politik di mana calon pilihan raya mengemukakan pandangan politik mereka dan berjanji untuk menunaikan janji-janji mereka jika dipilih. Bagaimanapun, pilihan raya adalah mengenai visi dan pencapaian pemerintahan dan bukannya mengeluarkan cek sewenang-wenangnya. Calon-calon pilihan raya hendaklah mengemukakan visi dan dasar yang akan diperiksa dan disoal oleh pelbagai pihak. Oleh itu, kami meminta semua gabungan parti politik atau calon-calon pilihan raya mengadakan perbahasan dasar dan mengemukakan pandangan politik mereka supaya masyarakat segera kembali kepada perbahasan rasional mengenai hal ehwal awam.

 

Cadangan pembaharuan pendidikan dan seruan hak-hak yang dikemukakan oleh Dong Jiao Zong selama ini perlu dilaksanakan segera. Kami berharap gabungan parti politik atau calon-calon pilihan raya prihatin terhadap beberapa perkara utama dari segi hak dan kepentingan pendidikan rakyat yang disenaraikan di bawah dan hendaklah melaksanakan janji-janji mereka selepas dipilih.

 

1. Menggubal dasar pendidikan pelbagai budaya dan melindungi pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik

Meminda Akta Pendidikan 1996 dan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 berdasarkan ciri-ciri masyarakat majmuk negara kita agar mengadakan dasar pendidikan kepelbagaian budaya yang menghormati kepelbagaian dan bertoleransi terhadap perbezaan untuk menggantikan dasar yang tidak kondusif terhadap kelangsungan pendidikan bahasa ibunda.

 

Meminda Perlembagaan dengan menambah “fasal bahasa ibunda” untuk melindungi, mempromosi dan memperkembangkan kepelbagaian budaya, serta melihat bahasa ibunda setiap kumpulan etnik sebagai warisan budaya negara dan hak sivil yang tidak boleh dilucutkan, dan memastikan bahasa dan budaya semua kumpulan etnik sama-sama dipelihara dan dibangunkan. Pada masa yang sama, wajah sejarah asal hendaklah dicerminkan dan disebarkan berdasarkan fakta dan kebenaran agar dapat mengiktiraf sumbangan semua kumpulan etnik dalam pembentukan negara kita, mempereratkan hubungan etnik, memperkukuhkan kesepaduan sosial (social cohesion) dan memanfaatkan kepelbagaian sebagai satu kelebihan persaingan untuk merancakkan kemakmuran negara kita.

 

2. Menjamin hak sama rata dalam pendidikan dan meningkatkan kualiti pendidikan negara secara keseluruhan

Sumber pendidikan negara hendaklah diagihkan secara adil dan sistematik mengikut prinsip perkadaran atau keperluan sebenar dengan mengambil kira faktor-faktor jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar serta bilangan penduduk semua kumpulan etnik di sesuatu kawasan komuniti. Ini bagi menjamin persekitaran sekolah yang selamat, memelihara kualiti kemudahan pengajaran dan pembelajaran, menyempurnakan latihan perguruan dan penempatan guru supaya dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan kekuatan negara kita.

 

Kerajaan harus memperbetulkan beberapa masalah untuk memastikan para pelajar dari semua kumpulan etnik dan lapisan kelas masyarakat mendapat sumber dan peluang pendidikan yang adil. Ini termasuk membatalkan penggunaan hakmilik tanah sekolah sebagai kriteria peruntukan dana kepada sekolah kerana kriteria itu menjadi punca berlakunya layanan berbeza terhadap sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

 

Selain itu, kerajaan harus:

  • Memberi layanan yang sama dan peruntukan dana yang munasabah kepada semua sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Agama, Sekolah Menengah Persendirian Cina dan institusi pengajian tinggi bukan untung kelolaan masyarakat.
  • Peruntukan dana dan tanah untuk pembinaan sekolah baharu dan perpindahan sekolah secara sistematik bagi semua aliran sekolah.
  • Mengadakan sistem latihan perguruan dan penempatan guru yang telus, sainstifik dan profesional.
  • Memastikan guru berjawatan tinggi dan guru biasa setiap aliran sekolah menepati kelayakan yang berkaitan.
  • Menilai dan mengiktiraf secara menyeluruh Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia (UEC) secara akademik dan profesional.
  • Mengembalikan kedudukan perundangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan melaksanakan janji-janji kepadanya agar dapat memperbaiki dilema pembangunannya.
  • Menyediakan pakej insentif cukai untuk menggalakkan sumbangan institusi pendidikan bukan untung kelolaan masyarakat.
  • Memperkukuh skop keluasan dan kedalaman kandungan kepelbagaian budaya dalam kurikulum pendidikan sivik di sekolah menengah.

 

3. Melaksanakan sistem desentralisasi pendidikan dan mengelakkan campurtangan politik yang keterlaluan dan salah guna kuasa

Kuasa kerajaan persekutuan dalam pendidikan hendaklah diturunkan kepada kerajaan negeri, iaitu kerajaan persekutuan menggubal dasar dan halatuju pendidikan serta memantau pentadbiran pendidikan di pelbagai peringkat; kerajaan negeri memiliki kuasa pentadbiran dan pengurusan pendidikan, bertanggungjawab mengurus pelbagai jenis institusi pendidikan di negeri tersebut; sekolah-sekolah di peringkat daerah pula melaksanakan pembaharuan pendidikan setempat.

 

Penubuhan satu jawatankuasa pemantauan pendidikan yang berstatus berkanun dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Jawatankuasa tersebut hendaklah beroperasi secara bebas dan membentang laporan tahunannya kepada Parlimen untuk memantau secara berkesan tentang operasi dan penggunaan kuasa awam oleh Kementerian Pendidikan agar dapat meningkatkan kecekapan tadbir urus, membasmi penyalahgunaan kuasa serta ketidakadilan dan berat sebelah yang disebabkan oleh campurtangan politik. Orang ramai boleh mengadu kepada jawatankuasa tersebut atas alasan salah urus, pentadbiran yang melanggar undang-undang, ketidakadilan, diskriminasi, salah guna kuasa, tidak maklum balas, keengganan memberi maklumat, dan kelewatan yang tidak munasabah.

 

Kepelbagaian dan kesaksamaan merupakan tren antarabangsa yang tidak dapat dielakkan lagi. Ia juga merupakan nilai teras sebuah negara demokrasi dan penunjuk penting mengenai keterbukaan dan kemajuan. Malaysia ialah sebuah negara yang bermasyarakat majmuk. Kerajaan hendaklah menyedari realiti tempatan dan peka terhadap tren pembangunan antarabangsa dengan melihat kepelbagaian bahasa dan budaya semua kumpulan etnik sebagai aset negara kita dan bertindak proaktif untuk membangunkan pendidikan bahasa ibunda, malaksanakan kesaksamaan pendidikan, meningkatkan kecekapan pembaharuan pendidikan, membina kelebihan daya saing, mencegah campurtangan politik yang berlebihan dalam hal ehwal pendidikan, dan mengembalikan pendidikan kepada profesion pendidikan untuk menghadapi cabaran global dan mencapai kesejahteraan negara.

 

Kami menyeru rakyat semua kumpulan etnik untuk menyokong sepenuhnya mana-mana gabungan parti politik dan calon pilihan raya kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang menyokong kepelbagaian budaya dan kesaksamaan pendidikan. Rakyat harus keluar beramai-ramai untuk menjalankan tanggungjawab sivik mereka untuk memilih sebuah kerajaan baharu yang dapat membawa demokrasi, kebebasan, bersih dan integriti, keadilan, kepelbagaian dan perpaduan kepada negara kita.

Melaksanakan Penempatan Guru Secara Betul Agar Tidak Mengganggu Pengajaran Dan Pembelajaran Serta Pentadbiran Sekolah

Melaksanakan Penempatan Guru Secara Betul Agar Tidak Mengganggu Pengajaran Dan Pembelajaran Serta Pentadbiran Sekolah

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

31 Oktober 2022

Melaksanakan Penempatan Guru Secara Betul

Agar Tidak Mengganggu Pengajaran Dan Pembelajaran Serta Pentadbiran Sekolah

 

Guru-guru yang pada asalnya dijadualkan mengajar Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan (BCSK) dan Bahasa Cina Komunikasi (KSSM) Sekolah Menengah Kebangasaan ditempatkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Cina merupakan satu tindakan yang salah.

 

1. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa graduan tajaan KPM yang dihantar ke institusi pengajian tinggi China untuk mengikuti kursus bahasa Cina komunikasi dan dilatih dengan kaedah pembelajaran bahasa kedua, tidak mempunyai latar belakang pendidikan bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Mereka juga tidak mempunyai kelayakan mata pelajaran Bahasa Cina dalam SPM. Oleh itu, tiada sebab untuk guru-guru ini ditugaskan ke SJKC, SMJK dan SMK untuk mengajar mata pelajaran bahasa Cina.

 

Tindakan KPM menempatkan guru-guru tersebut adalah bertentangan dengan keperluan sebenar serta semangat profesionalisme pendidikan. Graduan tajaan KPM ini sewenang-wenangnya ditempatkan di SMJK untuk mengajar bahasa Cina adalah di luar kemampuan mereka dan mendatangkan tekanan yang besar kepada mereka.

 

2. Kami melahirkan rasa tidak puas hati terhadap KPM telah berkali-kali menempatkan guru-guru atau pentadbir sekolah tanpa kelayakan mata pelajaran bahasa Cina sehingga mengganggu pentadbiran SJKC, SMJK dan SMK.

 

KPM juga pernah tersilap menempatkan guru-guru SJKC lulusan dari Institut Pendidikan Guru untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan (BCSK) di Sekolah Kebangsaan. Ini adalah tindakan yang bertentangan dengan semangat pendidikan dan tidak berprofesional.

 

3.Kami dengan tegasnya menyeru KPM agar tidak mengulangi kesilapan tersebut, dan menjemput Dong Jiao Zong menyertai proses membuat keputusan supaya menambah baik sistem dan mekanisme latihan perguruan dan penempatan guru. KPM hendaklah melaksanakan langkah-langkah pembetulan, mengeluarkan pekeliling atau arahan bertulis yang jelas, dan memastikan pegawai-pegawai melaksanakan latihan perguruan dan penempatan guru secara betul dan bertanggungjawab dengan mematuhi pekeliling atau arahan tersebut.

 

Di samping itu, tindakan tatatertib harus diambil ke atas pegawai yang berkali-kali melakukan kesalahan dalam penempatan guru, dan ini merupakan tadbir urus yang baik serta mendapat kepercayaan rakyat.

Peruntukan Sekolah Pelbagai Aliran Tidak Jelas Mohon ketelusan dalam Pembentangan Bajet

Peruntukan Sekolah Pelbagai Aliran Tidak Jelas Mohon ketelusan dalam Pembentangan Bajet

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

8 Oktober 2022

Peruntukan Sekolah Pelbagai Aliran Tidak Jelas

Mohon ketelusan dalam Pembentangan Bajet

 

Sungguhpun Kementerian Pendidikan merupakan kementerian yang menerima peruntukan kedua terbesar dalam Bajet 2023, namun Dong Jiao Zong berasa kecewa dan kesal kerana Menteri Kewangan Tengku Zafrul tidak memperincikan peruntukan bagi sekolah pelbagai aliran. Kementerian Pendidikan menerima peruntukan sebanyak RM55.6 bilion dalam bajet tahun depan, meningkat 5.59% atau RM3 bilion berbanding dengan peruntukan RM52.6 bilion pada tahun 2022. Bagaimanapun, Menteri Kewangan hanya menyatakan kerajaan akan memperuntukkan RM1.1 bilion untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah yang merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaaan Cina dan Tamil serta sekolah agama pada tahun depan. Selain itu, kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif di Sabah dan Sarawak demi memastikan keselamatan pelajar.

 

Menteri Kewangan bukan sahaja tidak menyebut peruntukan terperinci yang diterima oleh sekolah pelbagai aliran, beliau juga tidak menyediakan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian (SMPC) dan tiga buah institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, iaitu Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Selatan dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang. Peruntukan kepada Universiti Pengurusan and Teknologi Tunku Abdul Rahman juga tidak disebut juga.

 

Selain itu, kerajaan juga tidak mengumumkan sama ada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan sekolah mubaligh menerima peruntukan, dan sama ada semua aliran sekolah menerima layanan sama rata dalam peruntukan untuk perbelanjaan pentadbiran seperti air, elektrik dan caj pembentungan.

 

Kerajaan pernah memperincikan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT, SMJK, sekolah mubaligh, sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah agama kelolaan masyarakat dalam Bajet 2019 dan 2020. Ini memudahkan pemahaman semua pihak. Bagaimanapun, kerajaan tidak lagi memperincikan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah bagi sekolah di atas mulai bajet 2021.

 

Walaupun pada kemudiannya Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon memberitahu media bahawa kira-kira RM94.36 diperuntukkan untuk penyelenggaraan SJKC, namun kami berpendapat rakyat tidak dapat menyemak sama ada kerajaan memberi layanan adil atau tidak kepada sekolah pelbagai aliran  kerana kerajaan tidak mengumumkan butiran peruntukan sekolah tersebut.

 

Kerajaan akan membina 5 buah sekolah baharu pada tahun 2023, iaitu 3 buah sekolah menengah kebangsaan dan 2 buah sekolah rendah kebangsaan yang terletak di Sarawak, Sabah, Terengganu, Selangor dan Cyberjaya. Kami berasa amat kecewa kerana tiada pembinaan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

 

Pendidikan adalah asas kepada pembangunan dan kemakmuran sesebuah negara. Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT ialah sebahagian daripada sistem pendidikan negara kita. Dong Jiao Zong berpendapat kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membina SJKC dan SJKT secara sistematik mengikut kepadatan penduduk dan keperluan komuniti.

 

Pada masa ini, terdapat beberapa buah SJKC baharu dan yang dipindahkan dalam proses pembinaan, maka Dong Jiao Zong menyeru kerajaan meyediakan peruntukan bagi memastikan kelancaran pembinaan sekolah baharu dan pemindahan sekolah tersebut agar ianya manfaatkan pembangunan pendidikan negara.

 

Selain itu, Dong Jiao Zong mengalu-alukan terhadap peningkatkan subsidi kepada Rancangan Makanan Tambahan supaya pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dapat menikmati makanan yang lebih berkualiti. Ini merupakan antara cadangan Dong Jiao Zong sebelum ini yang telah dikemukakan kepada kerajaan.

 

Rakyat mudah timbul rasa tidak percaya kepada kerajaan dan mempersoalkan urusan kerajaan yang tidak telus apabila tidak mempunyai maklumat yang mencukupi. Oleh itu, selain pembinaan sekolah dan peruntukan secara sistematik, kami juga menyeru kerajaan mengumumkan butiran peruntukan sekolah pelbagai aliran untuk menjamin hak untuk mengetahui. Ini dapat meningkatkan pemahaman dan pemantauan rakyat dalam hal ehwal awam serta menggalakkan penyertaan demokrasi.

 

Bajet 2023 akan memasuki sesi perbahasan mulai hari Selasa depan. Dong Jiao Zong menyeru Menteri Kewangan memberi penjelasan terhadap soalan-soalan yang kami kemukakan dengan menyenaraikan butiran peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah untuk setiap jenis sekolah, dan pada masa yang sama juga berkomited untuk memberikan peruntukan kepada sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK), sekolah mubaligh, sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), tiga buah institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, dan Universiti Pengurusan and Teknologi Tunku Abdul Rahman, serta memberi layanan sama rata kepada sekolah pelbagai aliran dalam peruntukan untuk pembayaran bil-bil utiliti seperti air, elektrik dan pembentungan.