Menyeru KPM Memperbetulkan Buku Sejarah Yang Menyimpang Menubuh Jawatankuasa Pakar Berbilang Etnik Untuk Membuat Kajian Semula

Menyeru KPM Memperbetulkan Buku Sejarah Yang Menyimpang Menubuh Jawatankuasa Pakar Berbilang Etnik Untuk Membuat Kajian Semula

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

21 April 2021

Menyeru KPM Memperbetulkan Buku Sejarah Yang Menyimpang

Menubuh Jawatankuasa Pakar Berbilang Etnik Untuk Membuat Kajian Semula

 

Baru-baru ini, buku teks sejarah sekolah menengah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menimbulkan kontroversi lagi. Analisis daripada beberapa orang ahli akademik menunjukkan buku teks sejarah tersebut menumpukan pada orang Melayu dan agama Islam, manakala pengenalan sejarah dan budaya kumpulan etnik lain sama ada amat kurang atau langsung tidak disebutkan sama sekali. Ini adalah tidak tepat dan  tidak menggambarkan keadaan negara kita yang bermasyarakat majmuk. Maka, Dong Jiao Zong menyeru KPM memandang serius terhadap isu tersebut dan mengambil tindakan segera untuk memperbetulkan buku teks sejarah sekolah menengah.

Sebenarnya, buku teks sejarah sekolah rendah dan menengah telah lama mengandungi pemikiran mono-lingualisme-kulturalisme serta eksklusif, persembahan fakta sejarah yang tidak seimbang dan salah ditafsirkan. Ia juga tidak mencerminkan keadaan kepelbagaian etnik, budaya dan agama di negara kita dengan menyeluruh dan tepat, selain tidak mempamerkan semangat sejarah seluruh rakyat. Akibatnya, generasi baharu tidak dapat memahami sejarah negara secara menyeluruh, malah boleh dikelirukan. Pelajar-pelajar daripada beberapa kumpulan etnik serta masyarakat Sabah dan Sarawak juga merasai mereka ditolak dan dipinggirkan.

Kejadian seperti ini bertentangan dengan keadaan masyarakat majmuk negara kita. Kontroversi yang berpanjangan selama ini sebenarnya telah menjejaskan perpaduan dan semangat kekitaan di kalangan rakyat, serta memudaratkan kestabilan dan kemajuan negara. Ini adalah masalah serius yang harus diperbetulkan dan diselesaikan oleh kerajaan.Dasar Perpaduan Negara Dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030 diumumkan oleh kerajaan pada bulan Februari tahun ini mencadangkan perpaduan negara dipupuk melalui pendidikan sejarah. Sehubungan dengan itu, Dong  Jiao Zong menyeru kerajaan hendaklah cakap serupa bikin dengan menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada para ahli akademik, pakar dan pendidik daripada pelbagai kelompok etnik, dan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah-masalah dalam buku teks sejarah KPM.  Ini termasuklah pindaan terhadap Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) mata pelajaran sejarah sekolah rendah dan menengah, penubuhan pasukan penulisan buku sejarah dan jawatankuasa pemandu buku sejarah yang terdiri daripada para ahli akademik, pakar dan pendidik yang berbilang kelompok etnik, termasuk mereka yang datang dari Sabah dan Sarawak.

Kami berpendapat urus tadbir kerajaan selama ini yang menonjolkan pemikiran mono-lingualisme-kulturalisme telah mengakibatkan penularan ekstremisme perkauman dan agama di lapisan masyarakat berterusan. Namun, kerajaan sering gagal menyatakan pendiriannya dengan segera dan tidak proaktif dalam menangani masalah-masalah, dan menyebabkan rakyat berasa sangat kecewa dan risau dengan masa depan negara kita.

Kami berpandangan kerajaan harus mengambil tindakan yang segera untuk mengatasi perbuatan ekstrem perkauman dan agama atau perkara-perkara yang merosakkan perpaduan negara, dan bukannya membiarkan masalah itu berterusan. Sebagai contoh, kementerian pendidikan mengambil tindakan segera untuk membatalkan syarat kaum untuk kegiatan sukan apabila sebuah sekolah menengah di Batu Pahat menetapkan syarat kepada satu kaum saja.

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) KPM menekankan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan kritikal di kalangan pelajar. Dong Jiao Zong berpendapat kerajaan harus merancang semula objektif dan rangka struktur pendidikan sejarah untuk membenarkan para pelajar membincang, merenung dan mengkritik sejarah dalam pembelajaran mereka, agar mereka boleh berfikir daripada pelbagai aspek untuk menjadi generasi baharu yang rasional, berfikiran terbuka dan mempunyai semangat kekitaan.

Pembinaan SJKC Too Joon Hing Munasabah. Mengecam Ketua UMNO Bahagian Subang Memecah-belahkan Masyarakat Majmuk  

Pembinaan SJKC Too Joon Hing Munasabah. Mengecam Ketua UMNO Bahagian Subang Memecah-belahkan Masyarakat Majmuk

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

19 April 2021

Pembinaan SJKC Too Joon Hing Munasabah. Mengecam Ketua UMNO Bahagian Subang Memecah-belahkan Masyarakat Majmuk

Dong Jiao Zong berasa kesal dan mengecam tindakan ketua UMNO Bahagian Subang Armand Azha Abu Hanifah mengadakan bantahan pembinaan SJKC Too Joon Hing di Kinrara.

Bandar Kinrara adalah kawasan kediaman dengan penduduk Cina yang ramai tetapi kawasan tersebut tidak mempunyai SJKC, sekolah berdekatan sedia ada mengalami masalah kepadatan pelajar. Maka, pembinaan SJKC Too Joon Hing adalah amat diperlukan, untuk memenuhi keperluan pendidikan penduduk setempat. Dong Jiao Zong berpandangan, setiap aliran sekolah merupakan arus pendidikan negara kita. Kepelbagaian aliran sekolah merupakan kelebihan negara kita dan termaktub dan seterusnya dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, manakala akta pendidikan memperuntukkan pembinaan SJKC. Oleh itu, pembinaan SJKC adalah munasabah dan sah di sisi undang-undang.

Bantahan terhadap pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing oleh UMNO Bahagian Subang telah mewujudkan perpecahan antara rakyat pelbagai etnik dan mencetuskan sentimen rasa benci. Perbuatan tersebut harus dikutuk oleh pelbagai pihak.

Dong Jiao Zong menyatakan bahawa sejak beberapa tahun ini, ekstremisme perkauman semakin memuncak, semakin banyak ahli politik dan pertubuhan yang tidak bertanggungjawab telah melakukan perkara yang merosakkan keharmonian dan perpaduan negara.

Antaranya adalah hujah-hujah menutup sekolah pelbagai aliran, mengambil tindakan mahkamah untuk mencabar kedudukan SJKC dan SJKT, membantah pembinaan SJKC dan sebagainya. Perbuatan sedemikian semakin buruk sehingga memberi kesan negatif yang besar terhadap pembangunan negara.

Kerajaan Perikatan Nasional menekankan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai asas untuk memupuk perpaduan rakyat, maka Dong Jiao Zong berpendapat kerajaan sepatutnya mengambil tindakan ke atas mereka yang merosakkan perpaduan rakyat dan bukannya hanya mengulas mengenainya secara bertulis. Kerajaan patut segera mempertahankan sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran pada masa yang sama menghentikan semua tindakan dan perbincangan yang menjejaskan sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran di negara ini, bagi mencegah dari berlakunya perpecahan di masyarakat majmuk.

Menurut Dong Jiao Zong, walaupun bahasa Cina digunakan sebagai bahasa pengantar di SJKC, namum ia terbuka kepada kanak-kanak semua kelompok etnik. Pencapaian pendidikan SJKC mendapat pengiktirafan daripada ibu bapa dan penjaga bukan Cina. Oleh itu, semakin ramai ibu bapa bukan Cina menghantar anak-anak mereka ke SJKC sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut perangkaan kementerian pendidikan, sehingga kini bilangan murid bukan Cina mencecah hampir 20% daripada jumlah murid di SJKC dan merupakan peratusan murid berlainan etnik yang paling tinggi di antara semua aliran sekolah rendah. Ini membuktikan SJKC ialah sekolah yang mempunyai murid yang berbilang etnik dan belajar dengan gembira serta memupuk persefahaman di antara etnik.

Kewujudan dan perkembangan sekolah pelbagai aliran di negara kita sudah melebihi 200 tahun. Ini bukan sahaja telah memperkayakan ciri-ciri masyarakat majmuk negara kita, bahkan juga membuktikan sekolah pelbagai aliran bukanlah batu penghalang kepada perpaduan rakyat. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru semua pihak, khususnya ahli-ahli politik menyedari hakikat masyarakat majmuk negara kita, manakala kewujudan dan perkembangan sekolah pelbagai aliran memenuhi keperluan sebenar masyarakat majmuk kita, dan hentikanlah mempermainkan sekolah pelbagai aliran untuk kepentingan politik peribadi sehingga merosakkan perpaduan rakyat.

Menyangkal Ucapan Mahathir Yang Degil   Pemikiran Monisme Menghalang Kemajuan Pendidikan

Menyangkal Ucapan Mahathir Yang Degil   Pemikiran Monisme Menghalang Kemajuan Pendidikan

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

19 April 2021

Menyangkal Ucapan Mahathir Yang Degil  

Pemikiran Monisme Menghalang Kemajuan Pendidikan

 

Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir sekali lagi mengungkit rancangan Sekolah Wawasan, mempromosikan sistem pendidikan satu aliran sekolah dan menganggap pendidikan bahasa ibunda memecah-belahkan rakyat semasa diwawancara oleh media beberapa hari yang lalu. Dong Jiao Zong berpendapat bahawa Dr Mahathir masih tidak mengubah cita-citanya untuk mencapai matlamatnya, iaitu sistem pendidikan satu aliran sekolah melalui rancangan Sekolah Wawasan selepas dilantik kali kedua menjadi Perdana Menteri dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Ini jelas memaparkan beliau menolak nilai pelbagai aliran sekolah dan mengabaikan hakikat masyarakat majmuk negara kita.

Pandangan Dr Mahathir mengenai pendidikan tidak lebih dari khurafat terhadap teknologi,  merendahkan bidang kemanusiaan, mengagung-agungkan bahasa Inggeris dan mengabaikan kepelbagaian. Pada masa dulu, beliau tidak mengendah pandangan dan bantahan umum, masih berkeras untuk melaksanakan Sekolah Wawasan dan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Akibatnya, jutaan pelajar dijadikan tikus putih manakala berbilion ringgit wang awam dan sumber pendidikan dibazirkan begitu sahaja. Keburukan dasar tersebut terlalu banyak untuk didokumentasikan. Akhirnya rancangan Sekolah Wawasan dan dasar PPSMI menemui kegagalan selepas beberapa tahun dilaksanakan. Sehingga sekarang, Dr Mahathir masih mengulangi hujah-hujah lapuk tersebut. Ini menunjukkan beliau keras kepala, kekurangan keupayaan membuat penilaian diri dan persepsi pendidikannya turut ketinggalan zaman.

Kepelbagaian budaya di Malaysia berkait rapat dengan pendidikan pelbagai aliran sekolah yang wujud sebelum kemerdekaan negara dan dikekalkan sampai hari ini. Keunikan ini merupakan khazanah negara kita dan melahirkan generasi yang menjadi tonggak masyarakat kita. Amalan pendidikan pelbagai aliran sekolah di negara kita adalah satu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Percubaan untuk menggunakan pendidikan satu aliran sekolah atau Sekolah Wawasan untuk menghilangkan segregasi etnik sebenarnya merupakan fikiran cetek dan hanya memaparkan keharmonian kosmetik sahaja. Isu teras jurang antara etnik sukar diatasi adalah berpunca daripada kepincangan dasar yang berpanjangan, permainan politik yang tidak henti-henti.

Bahasa ibunda merupakan alat komunikasi sesuatu kumpulan etnik, lambang budaya dan jati diri. Mempromosikan pendidikan bahasa ibunda adalah sama dengan perkembangan kepelbagaian budaya. Mempertahankan bahasa ibunda dan mengekalkan sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah juga mempamerkan pengiktirafan dan penghormatan terhadap tanah tercinta ini. Sistem pelbagai aliran sekolah yang sudah lama wujud ini adalah berlandaskan prinsip pendidikan bahasa ibunda. Walaupun bahasa pengantar di setiap jenis aliran sekolah adalah berbeza tetapi sukatan pelajaran dan kurikulum digubal dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan. Sekolah pelbagai aliran terbuka kepada semua kelompok etnik, pengetahuan dan nilai yang diajar juga sama. Pandangan yang menganggap sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah menghalang perpaduan rakyat adalah tidak tepat. Parti-parti pemerintah dan pembangkang sepatutnya mengambil berat tentang dasar yang sering berubah-ubah untuk mengelakkan para ibu bapa hilang kepercayaan terhadap pendidikan negara kita.

Kita telah menyaksikan dua kali pertukaran kerajaan. Semua lapisan masyarakat amat prihatin dan tertanya-tanya sama ada dasar pendidikan negara kita dapat menuju ke arah yang progresif dan seiring dengan zaman. Sekiranya kerajaan dan rakyat tidak menyahut reformasi dan membiarkan pemikiran mono-lingualisme-kulturalisme menghakis asas masyarakat majmuk, maka ini akan memudaratkan masa depan pelajar kita.

Menyeru Kerajaan dan Pembangkang Memaparkan Keazaman Politik Untuk Menyelesaikan Kontroversi Tulisan Jawi  

Menyeru Kerajaan dan Pembangkang Memaparkan Keazaman Politik Untuk Menyelesaikan Kontroversi Tulisan Jawi

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

15 April 2021

Menyeru Kerajaan dan Pembangkang Memaparkan Keazaman Politik Untuk Menyelesaikan Kontroversi Tulisan Jawi

Dong Jiao Zong menyeru ahli-ahli politik parti kerajaan dan pembangkang memaparkan keberanian dan keazaman politik untuk menyelesaikan kontroversi pengajaran tulisan Jawi daripada saling menuding jari dan mengkritik antara satu sama lain. Lebih kurang 98% daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina tidak bersetuju dengan pengajaran tulisan Jawi, kehendak dan pandangan para ibu bapa/penjaga murid amat jelas. Maka, kementerian pendidikan seharusnya menghormati kehendak mereka dan mengetepikan pengajaran tersebut. Lebih-lebih lagi, para ahli politik daripada parti-parti kerajaan dan pembangkang berkewajipan untuk mendesak pihak berkuasa menghentikan pengajaran tersebut yang bertentangan dengan pendapat umum.

Kebelakangan ini, ada pihak mengkritik pendirian Dong Jiao Zong tidak konsisten dalam isu tulisan Jawi. Kami berpendapat hujah tersebut adalah tidak adil, tidak menepati fakta sebenar dan memberi gambaran yang salah. Sebenarnya, pendirian Dong Jiao Zong mengenai isu tulisan Jawi adalah konsisten. Kami tidak pernah membantah tulisan Jawi, tetapi kami tidak bersetuju dengan kaedah pengajaran yang dilaksanakan oleh kementerian pendidikan kerana ianya bertentangan dengan norma masyarakat yang berbilang budaya.

Sebaliknya, kementerian pendidikan sepatutnya merujuk kepada kaedah pengajaran yang digunakan dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan yang dilaksanakan pada tahun 2015 dengan memperkenalkan tulisan kaligrafi pelbagai kelompok etnik seperti tulisan kaligrafi Cina, Tamil dan Jawi serta tulisan kaligrafi daripada masyarakat Sabah dan Sarawak. Cadangan kaedah pengajaran ini juga dipersetujui oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon. Pada masa yang sama, kami bertegas agar lembaga pengelola sekolah terlibat dalam proses membuat keputusan. Oleh itu, kami meminta kementerian pendidikan mengetepikan pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi dan harus mengadakan perbincangan dengan pertubuhan-pertubuhan pendidikan dan budaya daripada masyarakat Cina dan India serta masyarakat Sabah dan Sarawak.

Tidak kira sama ada dalam tempoh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan atau kerajaan Perikatan Nasional, pendirian Dong Jiao Zong tetap sama seperti di atas dan sentiasa berusaha memantau tadbir urus pendidikan. Menteri Kanan Pendidikan YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi berkata kementerian pendidikan akan memperhalusi semula isu tersebut secara menyeluruh dan holistik ketika memberi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada bulan Julai tahun lepas.

Akan tetapi, kami tidak nampak sebarang tindakan susulan dibuat oleh kementerian tersebut selepas enam bulan kemudian. Sebaliknya, kementerian pendidikan meneruskan pengedaran borang soal selidik pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi kepada para ibu bapa murid SJKC dan SJKT pada awal tahun ini dengan mengabaikan suara masyarakat Cina dan India untuk mengetepikan pengajaran tulisan Jawi. Ini sekali lagi menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat.

Berhubung dengan sikap kementerian pendidikan yang hanya pandai bercakap saja tetapi tiada tindakan diambil, kami menyeru para ahli politik parti-parti kerajaan dan pembangkang agar berani memikul tanggungjawab dan berbalik kepada profesionalisme pendidikan untuk bersama-sama menyelesaikan kontroversi pengajaran tulisan Jawi. Kami akan terus memantau tadbir urus pendidikan kerajaan dan mengalu-alukan cadangan dan ulasan daripada semua lapisan masyarakat.

Pelan Perpaduan Harus Memaparkan Kepelbagaian Dalam Negara Galakkan Interaksi Antara Etnik, Gugurkan Pemikiran Monisme

Pelan Perpaduan Harus Memaparkan Kepelbagaian Dalam Negara Galakkan Interaksi Antara Etnik, Gugurkan Pemikiran Monisme

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

8 Mac 2021

Pelan Perpaduan Harus Memaparkan Kepelbagaian Dalam Negara

Galakkan Interaksi Antara Etnik, Gugurkan Pemikiran Monisme

Kerajaan Periktan Nasional (PN) telah melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 pada 15 Februari 2021 dengan menggariskan 3 aspirasi, 12 strategi dan 41 anjakan strategi untuk mencapai perpaduan negara.

Dasar dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara dirangka berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Dong Jiao Zong bersetuju dengan itu kerana Perlembagaan Persekutuan merupakan asas demokrasi berperlembagaan dan perpaduan rakyat yang melindungi hak-hak kebebasan beragama, mempelajari dan mengguna bahasa ibunda.

Rukun Negara pula ialah nilai teras untuk mencapai perpaduan rakyat dan mencipta satu masyarakat yang adil dan liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak daripada semua kumpulan etnik di negara ini.

Maka, kerajaan harus berpendirian dan berpegang teguh kepada kepelbagaian masyarakat negara kita dalam pengendalian isu-isu perpaduan dan memastikan dasar dan pelaksanaannya memenuhi semangat dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Muka surat 6 dalam Dasar Perpaduan Negara menyatakan bahawa “Perpaduan secara umumnya ditakrifkan sebagai kesamaan dan kesatuan dalam membentuk identiti nasional seperti satu bangsa dan satu bahasa” dan “Mengambil kira konteks negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, bahasa, agama dan budaya maka konsep perpaduan yang dicadangkan ialah ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’”. Dong Jiao Zong berpendapat sekiranya “identiti nasional” dipandang sebagai identiti satu budaya sahaja (monocultural), itu adalah pandangan yang sangat sempit, tidak memenuhi keadaan masyarakat majmuk di negara kita dan tidak membantu dalam memupuk perpaduan rakyat dan keharmonian masyarakat. Sehubungan itu, kerajaan menggunakan “perpaduan dalam kepelbagaian” sebagai konsep perpaduan negara kita merupakan satu arah yang betul tetapi konsep itu hendaklah dicerminkan sepenuhnya dalam dasar dan pelaksanaannya dan bukan hanya sekadar dalam retorik yang indah.

Pada masa yang sama, muka surat 27 dalam Dasar Perpaduan Negara pula menyentuh perkara “negara bangsa”. Dalam isu memupuk perpaduan rakyat, konsep negara bangsa yang berfikiran monisme adalah tidak menepati keadaan kepelbagaian negara kita, model urus tadbir negara sedemikian akan mengakibatkan ketidakadilan dan bertentangan dengan “perpaduan dalam kepelbagaian” yang dititikberatkan dalam dokumen tersebut. Negara kita ialah sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, maka konsep negara kepelbagaian budaya menepati keadaan sebenar negara kita dan menjamin kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira kumpulan etnik dan agama serta memastikan semua rakyat menikmati hasil-hasil kemakmuran dan kemajuan negara kita. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru kerajaan memberi penjelasan terhadap perkara ini dan berbincang dengan pertubuhan-pertubuhan semua kumpulan etnik supaya percambahan fikiran sedemikian mendatangkan manfaat dan memastikan konsep “perpaduan dalam kepelbagaian” benar-benar dapat dilaksanakan.

Kepelbagaian dan perpaduan boleh wujud dan berjalan bersama-sama. Dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, keharmonian antara kumpulan etnik dan perpaduan rakyat merupakan syarat-syarat asas kepada pembangunan negara yang stabil. Semua ini hendaklah dibina atas dasar yang adil, jika tidak, asas pembentukan negara akan terjejas. Sebenarnya, sejak merdeka hingga kini, semua kumpulan etnik telah lama berpegang kepada semangat perpaduan yang mencari titik persamaan dan menghormati perbezaan untuk bersama-sama membangunkan negara kita. Akan tetapi, pihak pemerintah tidak melaksanakan tadbir urus yang adil dalam bidang pendidikan, ekonomi, budaya dan sosial. Selain itu, beberapa parti politik, pertubuhan dan individu juga sengaja memutarbelitkan fakta dan mengeluarkan kenyataan perkauman dan keagamaan yang ekstrem. Semua faktor ini telah menghalang perpaduan rakyat. Oleh itu, Dong Jiao Zong berpendapat sekiranya ingin mencapai perpaduan rakyat yang sebenar, kerajaan hendaklah melayan semua kumpulan etnik dengan adil. Mana-mana pihak yang memprovokasikan sensitiviti etnik, contohnya penutupan mana-mana aliran sekolah, maka kerajaan hendaklah dengan pantasnya berdiri di hadapan untuk mempertahankan sistem pelbagai aliran sekolah dan bukannya membiarkan dan secara senyap-senyap membenarkan provokasi tersebut berterusan kerana kejadian sedemikian adalah tidak kondusif kepada pembangunan negara. Sekolah-sekolah yang berlainan aliran telah wujud dan membangun di negara ini lebih daripada 200 tahun. Mereka ialah aset dan daya saing negara. Ia juga memperkayakan ciri-ciri istimewa masyarakat majmuk di negara kita. Lebih-lebih lagi, kewujudan dan pembangunan pelbagai aliran sekolah selama ini telah membuktikan sekolah-sekolah ini bukanlah batu penghalang kepada perpaduan rakyat. Mereka mengguna pakai kurikulum kementerian pendidikan untuk mempelajari nilai-nilai yang sama. Yang kesalnya, Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara tidak mengesahkan sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah secara jelas. Sebaliknya, ia berkata kononnya Sekolah Wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan mempercepat integrasi nasional (Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, muka surat 40). Dong Jiao Zong tidak menyetujui hujah yang sedemikian rupa dan ingin menegaskan pendiriannya yang membantah sekolah wawasan yang matlamat akhirnya adalah untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang seragam bagi semua jenis sekolah, dan ini mengubah ciri-ciri SJKC dan SJKT yang mengguna bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar. Beberapa kajian telah membuktikan sekolah wawasan tidak membawa kesan yang baik. Walaupun sekolah-sekolah di dalam sekolah wawasan berkongsi kemudahan, tetapi ia tidak dapat mengimbangi halangan yang didatangkan oleh pelbagai faktor sosial luaran sejak sekian lama. Gabungan sedemikian tidak mendorong komunikasi dan integrasi yang berkesan. Memaksa semua aliran sekolah diletakkan di bawah satu bumbung atau tapak yang sama bukanlah satu strategi yang baik. Sebaliknya, hubungan dan kerjasama antara aliran sekolah harus diperkukuhkan, interaksi dan komunikasi pelajar dari semua etnik harus dipupuk, barulah ini merupakan pendekatan yang sesuai untuk menggalakkan persefahaman antara etnik dan integrasi nasional (Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, muka surat 39). Kami bersetuju dengan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara yang ingin mengukuhkan hubungan dan interaksi pelajar dari semua aliran sekolah untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan. Sebenarnya, pelajar-pelajar daripada pelbagai aliran sekolah rendah telah menyertai aktiviti-aktiviti seperti sukan dan budaya di bawah Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) untuk memupuk interaksi di kalangan murid-murid daripada pelbagai kumpulan etnik. Usaha ini telah membuahkan hasil. Selain itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) juga mengeratkan interaksi dengan aliran sekolah menengah yang lain seperti sekolah-sekolah agama swasta melalui aktiviti-aktiviti yang melintasi sempadan etnik. Dong Jiao Zong sentiasa menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan berusaha meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar SJKC dan SMPC. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong juga menyeru kerajaan kerap mengadakan sesi pertukaran pendapat dan perbincangan dengan para guru sekolah Cina dan pertubuhan-pertubuhan pendidikan yang berkaitan. Untuk membolehkan pelajar yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu dapat menguasai bahasa Melayu dengan berkesan, maka pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang digubal hendaklah mengikuti prinsip-prinsip pendidikan untuk memenuhi keperluan pelajar tersebut. Barulah ini dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar tersebut. Selain itu, kerajaan harus juga merangka rancangan yang konkrit untuk menggalakkan murid-murid daripada semua aliran sekolah mempelajari pelbagai bahasa dan budaya supaya mereka saling memahami dan bersatu padu. Kami mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat seperti yang ditekankan oleh Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara dalam usaha menggalakkan penggunaan bahasa Melayu. Namun, kami juga berpendapat kerajaan hendaklah memberi layanan adil kepada pembangunan pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik dan tidak boleh meminggirkan pendidikan bahasa ibunda yang bukan bahasa Melayu. Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara turut ingin meningkatkan pemahaman dan penghayatan sejarah negara kita untuk memupuk perpaduan rakyat.  Namun, buku teks sejarah semasa untuk sekolah rendah dan menengah tidak mencerminkan keadaan pelbagai etnik, budaya dan agama di negara kita secara benar dan menyeluruh. Kerajaan hendaklah membetulkan perkara ini, jika tidak, ini akan menyebabkan generasi baharu tidak memahami sejarah negara kita yang sebenarnya dan secara menyeluruh, malah boleh mengelirukan mereka. Dong Jiao Zong menegaskan bahawa buku teks sejarah hendaklah digubal berdasarkan fakta sejarah dan keadaan kepelbagaian negara kita, termasuklah mengakui sumbangan rakyat semua etnik dalam penubuhan dan pembangunan negara kita. Ini boleh memupuk semangat saling memahami, menghormati, bekerjasama dan bersahabat di kalangan generasi baharu semua etnik untuk mengukuhkan integrasi rakyat dan perpaduan negara. Dong Jiao Zong berpendapat sekiranya kerajaan PN ingin mempromosikan perpaduan rakyat, ia harus bermula dengan menerima genetik sejarah negara kita yang bermasyarakat majmuk dan berunsur kepelbagaian, dan mengambil langkah untuk menggugurkan model tadbir urus negara yang bersifat monisme dan membetulkan tadbir urus yang menjejaskan perpaduan rakyat. Kerajaan hendaklah mengadakan undang-undang untuk membanteras tingkah laku dan kenyataan perkauman dan keagamaan yang ekstrem agar dapat memperbaiki ekologi politik negara kita dan seterusnya menyatupadukan hati rakyat untuk sama-sama berusaha membawa sinar harapan kepada negara kita.