Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

Kenyataan Bersama

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

23 Jun 2023

 

  1. Adakah MUB hanya merupakan pemegang amanah tanah dan bukannya pemilik tanah?

Dong Zong, Jiao Zong dan MUB ingin menegaskan bahawa lot tanah bernombor geran H.S.(D) 6412 dan seluas 8.514 ekar yang terletak di Bandar Kajang, Selangor tersebut telah dipinda milik kepada MUB oleh “Pertubuhan Pemegang Amanah Sekolah Hwa Chiau, Kajang” pada tahun 1988 dan ini mendapat liputan meluas media massa ketika itu. MUB memiliki lot tanah tersebut dan merupakan satu-satunya pemilik tanah yang sah. Ini turut disokong oleh kenyataan yang dikeluarkan oleh “Pertubuhan Pemegang Amanah Sekolah Hwa Chiau, Kajang” pada 15 Jun 2023 bahawa “Lot tanah seluas 8.5 ekar telah dipinda milik kepada MUB pada tahun 1988 untuk tujuan pendidikan Cina. MUB ialah pemilik tanah tersebut.”, ini merupakan bukti sokongan yang menunjukkan MUB ialah pemilik tanah tersebut dan bukan pemegang amanah tanah.

 

  1. Bagaimanakah hak Dong Zong dalam pengendalian dan pengurusan lot tanah ini?

Pada 1 Jun 1991, Dong Zong menandatangani kontrak dengan MUB untuk menyewa tanah tersebut. Kontrak sewa tanah itu menyatakan Dong Zong mempunyai hak penuh ke atas penggunaan dan pengurusan tanah tersebut. Tempoh sewaan tanah itu ialah 30 tahun, sewa tahunan ialah RM 1.00. Penyewaan tanah itu boleh dilanjutkan 30 tahun lagi selepas 30 tahun. Sebelum kontrak sewaan tanah tamat pada tahun 2021, Dong Zong dan MUB menandatangani semula kontrak untuk menyewa tanah tersebut, yang turut memberikan Dong Zong hak penuh ke atas penggunaan dan pengurusan tanah itu selama 30 tahun, sewa tahunan masih RM 1.00, dan sewaan boleh dilanjutkan 30 tahun lagi selepas 30 tahun. Selain itu, MUB juga bersetuju dengan pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna oleh Dong Zong. Oleh itu, MUB bersama-sama dengan Dong Zong dan Jiao Zong menjalankan perancangan pembinaan kompleks itu sejak tahun 2019.

 

  1. Siapakah yang menubuhkan “Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd”?

Pada 20 Oktober 1993, Dong Zong, Jiao Zong, MUB dan Jawatankuasa Pembangunan Sekolah Menengah Persendirian Cina dalam mesyuarat bersamanya telah meluluskan cadangan untuk penubuhan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Pengerusi Dong Zong Quek Suan Hiang, Pengerusi Jiao Zong Sim Mow Yu dan Pengerusi MUB Foo Wan Thot pada masa itu merupakan pengasas syarikat tersebut dan mengamanahkan Firma Perakaunan milikan Chiew Soh Eng untuk mengendalikan urusan permohonan pendaftaran syarikat itu agar seterusnya melaksanakan penubuhan sebuah institusi pengajian tinggi di masa hadapan.

Pada 26 Februari 1994, mesyuarat keempat jawatankuasa kerja Jiao Zong penggal ke-42 dalam Agenda 4.6 mesyuaratnya telah mengesahkan pemohonan pendaftaran Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd oleh Dong Zong, Jiao Zong dan MUB yang ditandatangani oleh Quek Suan Hiang, Loot Ting Yee dan Foo Wan Thot masing-masing mewakili Dong Zong, Jiao Zong dan MUB. Pihak berkuasa secara rasminya meluluskan pendaftaran Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd pada 23 Mac 1994.

 

  1. Siapakah yang menubuhkan Kolej Universiti New Era?

Pada 27 Ogos 1994, Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd mengemukakan permohonan penubuhan kolej kepada pihak pendaftar sekolah dan guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Atas usaha syarikat itu dan pelbagai pihak, di samping keadaan semasa yang kondusif, maka penubuhan Kolej New Era telah diluluskan secara prinsipnya dalam surat KPM bertarikh 13 Mac 1997 tetapi mesti memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh KPM dalam tempoh satu bulan. Selepas mengendalikan semua urusan dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan, maka surat kelulusan rasmi penubuhan Kolej New Era bertarikh 28 Mei 1997 telah disampaikan oleh timbalan menteri pendidikan ketika itu Dr. Fong Chan Onn pada 11 Jun 1997. Permohonan pendaftaran Kolej New Era dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor pada 16 Jun 1997.

Pada 30 September 1997, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor menyampaikan surat kelulusan pendaftaran Kolej New Era bertarikh 25 September 1997 kepada Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Kolej New Era dibuka secara rasminya pada 1 Mac 1998.

 

  1. Bagaimanakah struktur lembaga pengarah pada peringkat awal dalam Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd?

Dong Zong, Jiao Zong dan MUB mengadakan mesyuarat untuk membincangkan penubuhan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd pada 25 Ogos 1994 dan memutuskan setiap organisasi menghantar lima orang wakil selaku pengarah syarikat itu untuk merancang mesyuarat penubuhan syarikat itu. Maka pada 18 September 1994, wakil-wakil Dong Zong, Jiao Zong dan MUB mengadakan mesyuarat di Bangunan Universiti Merdeka dan Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina di Kajang untuk membincangkan penubuhan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Mesyuarat itu memutuskan ketiga-tiga organisasi menghantar 15 orang wakil sebagai pengarah ex officio, iaitu:

Wakil-wakil Dong Zong: Quek Suan Hiang, Chua Kim Boon, Chin Choong Sang, Yap Sin Tian, Chiew Soh Eng.

Wakil-wakil Jiao Zong: Sim Mow Yu, Ong Chiow Chuen, Loot Ting Yee, Lai Sin Siang, Chen Rong Liang.

Wakil-wakil MUB: Foo Wan Thot, Ngeow Sze Chan, Yap Hong Oon, Lim Fong Seng, Lee Hing.

Mesyuarat itu turut memilih 6 orang pengarah yang dipilih daripada kalangan penaja iaitu Tan Yew Sing, Yang Yun Gui, Goh Kean Seng, Khew Khing Ling, Kong Siw Taw dan Ding Nguk Kong.

Akhirnya, 15 orang pengarah ex officio daripada tiga organisasi itu dan 6 orang pengarah individu yang dipilih membentuk lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd penggal pertama. Ahli-ahli lembaga pengarah eksekutif penggal pertama ialah:

Pengerusi: Quek Suan Hiang

Naib Pengerusi: Lim Fong Seng

Setiausaha: Yap Sin Tian

Naib Setiausaha: Tan Yew Sing

Bendahari: Kong Siw Taw

Naib Bendahari: Lai Sin Siang

Pengarah: Loot Ting Yee

 

 

  1. Apakah perubahan dalam struktur lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd sejak tahun 1994?

Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd ditubuhkan pada tahun 1994. Keahliannya terdiri daripada ahli-ahli organisasi dan ahli-ahli individu. Ia hanya mempunyai tiga ahli organisasi iaitu Dong Zong, Jiao Zong dan MUB. Keahlian individu terbuka kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB sebagai pengasas Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd telah ditetapkan peranan utama mereka dalam Memorandum dan Artikel (M&A) syarikat itu, iaitu Dong Zong, Jiao Zong dan MUB masing-masing menghantar 5 orang pengarah yang merangkumi 71.4% daripada jumlah bilangan pengarah dalam lembaga pengarah syarikat itu. Sejak penubuhan syarikat itu, Pengerusi Dong Zong dan Pengerusi Jiao Zong dipilih secara automatik sebagai pengerusi dan naib pengerusi lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd, dan jawatan-jawatan penting lain kebanyakannya dijawat oleh wakil-wakil daripada ketiga-tiga organisasi Dong Zong, Jiao Zong dan MUB. Struktur dan operasi lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd telah berjalan lancar sejak penubuhannya manakala aktiviti-aktiviti di bawah bidang kuasanya, terutamanya pembinaan dan pembangunan Kolej New Era juga mendapat pencapaian yang baik.

Akan tetapi, sejak pergolakan Dong Zong yang tercetus pada tahun 2013, Yap Sin Tian, Chow Siew Hon dan yang lain meminda Memorandum dan Artikel (M&A) Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Ini menyebabkan bilangan pengarah individu dalam lembaga pengarah melebihi bilangan wakil Dong Zong, Jiao Zong dan MUB. Dua tahun kemudian, Yap Sin Tian, Chow Siew Hon dan yang lain bukan sahaja tidak mahu meletakkan jawatan dalam Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd selepas mereka kalah dalam pemilihan semula Dong Zong, malah mereka meminda Memorandum dan Artikel (M&A) Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd, tidak mengembalikan jawatan pengerusi dan naib pengerusi lembaga pengarah syarikat itu kepada pengerusi Dong Zong dan pengerusi Jiao Zong. Mereka “menswastakan” syarikat itu dengan mengurangkan perwakilan Dong Zong, Jiao Zong dan MUB kepada masing-masing dua orang pengarah dan menjadikannya sejumlah 6 orang pengarah sahaja, dan sebaliknya menambah bilangan pengarah individu kepada seramai 29 orang. Ini menjadikan bilangan pengarah individu jauh melebihi bilangan wakil ketiga-tiga organisasi. dan menyebabkan segelintir individu menguasai aset awam pendidikan Cina. Ini bertentangan dengan hasrat asal penubuhan syarikat itu.

Berikut ialah senarai perubahan peratusan perwakilan Dong Zong, Jiao Zong dan MUB dalam lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd:

Tahun Komposisi Lembaga Pengarah

Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd

Jumlah

Pengarah

Dong Zong, Jiao Zong, MUB Pengarah Individu
Bil % Bil

(dipilih)+(dilantik)

%
1994-2010

(Ditubuh pada

Tahun 1994)

21 15

5+5+5

71.4% 6

(6)+(0)

28.6%
Pindaan M&A

Tahun 2010

25 15

5+5+5

60% 10

(10)+(0)

40%
Pindaan M&A

Tahun 2013

31 15

5+5+5

48.4% 16

(10)+(6)

51.6%
Pindaan M&A

Tahun 2015

35 6

2+2+2

17.1% 29

(25)+(4)

82.9%

 

  1. Adakah Dong Zong, Jiao Zong dan MUB membiarkan individu mengawal Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd?

Pada 2 Januari 2016, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB masing-masing menulis surat kepada lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd sehari sebelum mesyuarat luar biasa Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd untuk membantah percubaan untuk memutarbelitkan sejarah penubuhan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd dan menguasai lembaga pengarah syarikat itu melalui pengarah individu. Pada 19 Januari 2016, pengerusi lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd Yap Sin Tian membalas surat dengan menyatakan “Mengikut Memorandum dan Artikel (M&A) syarikat kami, penandatangan atau pengarah penggal pertama bagi Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd ialah Quek Suan Hiang (ahli perniagaan), Loot Ting Yee (guru bersara) dan Foo Wan Thot (ahli perniagaan).” “Oleh itu, kenyataan dalam surat anda bahawa Dong Zong, Jiao Zong dan MUB bersama-sama mengasaskan Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd adalah sangat mengelirukan dan sama sekali tidak munasabah dan tidak wajar.” Sehingga ini, lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd yang diketuai oleh Yap Sin Tian dan Chow Siew Hon secara terang-terangan menafikan fakta sejarah Dong Zong, Jiao Zong dan MUB sebagai pengasas kepada Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd, dan cuba menggunakan pengarah individu untuk menguasai aset awam, dan tindakan sebegini dijalankan secara terbuka dan tidak berselindung lagi.

Pada 19 Januari 2016, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB mengadakan sidang akhbar dan menyatakan bahawa ketiga-tiga organisasi itu tidak menerima resolusi mesyuarat luar biasa Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd yang diadakan pada 2 Januari 2016, serta menghantar watikah perlantikan 5 orang wakil bagi setiap organisasi itu melalui saluran undang-undang. Walaupun Dong Zong, Jiao Zong dan MUB telah mengambil langkah mahkamah untuk mempertahankan kedudukan ketiga-tiga organisasi dalam Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd, tetapi disebabkan struktur keahlian telah berubah, maka keputusan ahli telah menjadi kunci utama. Akhirnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2016, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 15 September 2017 dan Mahkamah Persekutuan pada bulan Januari 2018 telah menolak permohonan oleh ketiga-tiga organisasi.

 

  1. Mengapa membina Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong? Aapakah kegunaannya?

Sejak tahun 2019, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB merancang pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong di tapak asal untuk melatih guru, menyemak kertas jawapan peperiksaan UEC, mempromosikan pendidikan Cina dan menjalankan pertukaran budaya. Pelbagai lapisan masyarakat sama ada orang ramai, sekolah, pertubuhan Cina, syarikat dan korperat turut memberi sokongan kepada kami. Kutipan dana dan perancangan projek berjalan rancak dan teratur manakala pelan bangunan juga telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Kajang.

 

  1. Apakah sikap dan reaksi awal Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd dan Kolej Universiti New Era terhadap pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong?

Maklumat dan berita tentang pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong, terutamanya berkenaan aktiviti-aktiviti kutipan dana mendapat liputan meluas media massa. Pada 25 Februari 2022, wakil-wakil pentadbiran Dong Zong telah membekalkan lokasi tapak pembinaan dan pelan-pelan pembinaan kompleks tersebut semasa bertemu dan berbincang dengan wakil-wakil pentadbiran Kolej Universiti New Era. Bermula pada April 2022, wakil yang dilantik oleh Dong Zong, Jiao Zong dan MUB telah beberapa kali berkomunikasi dengan wakil Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Pada 14 Mei 2022, satu mesyuarat rasmi telah diatur di antara pemimpin-pemimpin Dong Zong dan wakil-wakil lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd. Dalam mesyuarat rasmi itu, wakil Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd mencadangkan pnhyediaan ruang tambahan di kompleks itu untuk kegunaan Kolej Universiti New Era dan sudi menanggung sendiri kos tambahan berkenaan. Wakil Dong Zong dengan jelas menyatakan pada mesyuarat itu bahawa lembaga pengarah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd harus mengembalikan struktur asal syarikat itu. Konsensus awal telah dicapai berkenaan penyediaan segara dokumen sewaan antara Dong Zong dan Kolej Universiti New Era.

 

  1. Mengapakah Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd dan Kolej Universiti New Era mengubah sikap dan reaksi mereka terhadap pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong?

Pada 8 Julai 2022, Kolej Universiti New Era menyampaikan surat rasmi untuk meminta Dong Zong menambah ruang tambahan 40,000 kaki persegi di kompleks tersbut untuk tujuan pengajaran dan pembelajarannya. Demi pembangunan jangka panjang Kolej Uuniversiti New Era, kebajikan pensyarah dan pelajarnya, pengembalian kedudukan utama Dong Zong, Jiao Zong dan MUB dalam Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd dan bukannya diterajui oleh ahli-ahli individu, dan kerjasama untuk mencapai kepentingan paling besar dalam pembangunan pendidikan Cina, maka Dong Zong, Jiao Zong dan MUB melihat permintaan itu secara positif. Kedua-dua pihak telah berbincang berkali-kali tanpa ada sebarang keputusan muktamad, namun Kolej Universiti New Era membuat kenyataan tidak benar di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina pada 19 Februari tahun ini, dengan mendakwa bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bahawa kolej universiti itu akan membina “Bangunan Nantah” setinggi 12 tingkat. Dong Zong, Jiao Zong dan MUB telah beberapa kali menulis surat kepada kolej universiti itu untuk meminta penjelasan tetapi tidak berjaya. Sebaliknya, Dong Zong menerima surat daripada peguam kepada kolej universiti itu yang menuntut pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna dihentikan serta-merta. Ini amat tidak dapat difahami.

 

  1. Adakah Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong “menceroboh secara tidak sah” (unlawfully encroach) tanah Kolej Universiti New Era?

Seperti yang dinyatakan di atas, MUB sebagai pemilik tanah telah menandatangani dua kontrak masing-masing selama 30 tahun pada tahun 1991 dan 2021 yang menunjukkan Dong Zong mempunyai hak penuh ke atas penggunaan dan pengurusan lot tanah ini. Kolej Universiti New Era ialah aset awam pendidikan Cina yang pada asalnya merupakan institusi pengajian tinggi yang dilahirkan oleh sebuah syarikat bernama Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd yang diasaskan oleh Dong Zong, Jiao Zong dan MUB. Akan tetapi, Dong Jiao Zong Higher Learning Centre Bhd telah dikuasai oleh segelintir individu dan ini menyebabkan Kolej Universiti New Era didominasi oleh individu.

Walaupun kedua-dua pihak tidak menandatangani sebarang perjanjian sewaan, tetapi atas semangat pendidikan Cina dan pertimbangan berkenaan kemungkinan berlakunya perubahan di masa hadapan, ketiga-tiga organisasi masih membenarkan Kolej Universiti New Era menggunakan tanah dan bangunan berkenaan untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Sebagai sebuah syarikat yang didominasikan oleh individu yang telah bertahun-tahun menggunakan tanah orang lain secara percuma, kini mengeluarkan surat peguam yang mendakwa pihak pengurus sah bagi lot tanah itu “menceroboh tanah secara tidak sah”? Ini adalah perbuatan yang tidak berasaskan kepada undang-undang.

 

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

Kenyataan Bersama

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) , Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka University Berhad (MUB)

23 Jun 2023

Sejak tahun 2019, Dong Zong, Jiao Zong dan MUB merancang pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong sebagai tapak pendidikan Cina untuk mempromosikan perkembangan pendidikan Cina dan pertukaran budaya dengan mengadakan pelbagai aktiviti pendidikan seperti pembelajaran dan latihan perguruan, kajian eksperimen pengajaran, latihan staf pentadbiran sekolah, seminar akademik, bengkel pengajaran pendidikan, penyemakan kertas jawapan peperiksaan UEC, aktiviti-aktiviti perkhemahan, persembahan, pameran dan lain-lain lagi.

 

Sepanjang 4 tahun ini, kerja-kerja perancangan pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong, sama ada dari segi kejuruteraan atau kutipan dana turut berjalan rancak dan terarur. Pelbagai lapisan masyarakat sama ada orang ramai, sekolah, pertubuhan Cina, syarikat dan korperat turut memberi sokongan kepada kami. Oleh itu, ketiga-tiga organisasi Dong Zong, Jiao Zong dan MUB memutuskan majils pecah tanah akan diadakan mengikut jadual pada 24 Jun 2023.

 

Kerja-kerja persiapan majlis pecah tanah tersebut telah berjalan lancar dan teratur. Tapak majlis juga siap disediakan pada ketika ini. Jemputan kepada parti-parti politik, wakil-wakil persatuan dan penderma mendapat respon yang hangat dan pihak sekretariat telah juga dimaklumkan akan kehadiran para jemputan berkenaan.

 

Majlis pecah tanah bagi pembinaan Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong akan berjalan mengikut atur cara yang dijadualkan.

 

Atur Cara Majlis Pecah Tanah

 

Masa Perkara
1:30 p.m. – 2:00 p.m. Lapor Diri
2:00 p.m. – 2:20 p.m. Ucapan
2:20 p.m. – 2:30 p.m. Upacara Pecah Tanah
2:30 p.m. – 2:35 p.m. Sesi Bergambar
2:35 p.m. – 3:00 p.m. Jamuan Teh
3:00 p.m. Tamat

 

Lampiran: Gambar-gambar persiapan tapak majlis pecah tanah.

Menyeru Kerajaan Memperincikan Peruntukan Setiap Aliran Sekolah Menyokong Pembangunan SMPC dan IPT Kelolaan Masyarakat

Menyeru Kerajaan Memperincikan Peruntukan Setiap Aliran Sekolah Menyokong Pembangunan SMPC dan IPT Kelolaan Masyarakat

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

25 Februari 2023

Menyeru Kerajaan Memperincikan Peruntukan Setiap Aliran Sekolah

Menyokong Pembangunan SMPC dan IPT Kelolaan Masyarakat

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapat peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan wajar disokong. Namum, belanjawan tersebut tidak memperincikan peruntukan kepada setiap aliran sekolah dan tidak menyebut sama ada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), sekolah mubaligh, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan tiga buah kolej universiti bukan untung kelolaan masyarakat akan mendapat peruntukan. Kami berasa kecewa dengan keadaan sebegitu.

 

Dalam Belanjawan 2023, KPM merupakan kementerian yang mendapat peruntukan tertinggi berjumlah RM55.2 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM400 juta, berbanding dengan RM55.6 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan Perikatan Nasional pada Oktober tahun lalu. Namun, ia merupakan satu peningkatan sebanyak RM 2.6 billion, berbanding dengan RM52.6 bilion dalam Belanjawan 2022. Seperkara yang perlu diberi perhatian ialah peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan pelbagai jenis sekolah kali ini telah berkurang kepada RM900 juta berbanding dengan RM1.1 bilion yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu. Selain itu, masih tidak diketahui sama ada semua jenis sekolah akan mendapat peruntukan adil dalam belanja mengurus seperti air, elektrik dan caj pembentungan. Oleh itu, kami meminta kerajaan merujuk kepada Belanjawan 2019 dan 2020 dengan memperincikan peruntukan kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, sekolah-sekolah agama kelolaan masyarakat (sekolah agama rakyat/tahfiz/pondok), Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Kolej-kolej Universiti bukan untung kelolaan masyarakat (Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Selatan dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang).

 

Belanjawan 2023 mengumumkan pembinaan 7 buah sekolah baharu tetapi tidak melibatkan pembinaan SJKC dan SJKT. Ini amat mengecewakan. Pada hakikatnya, SJKC dan SJKT merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan negara kita. Kerajaan bertanggungjawab untuk menyediakan tanah dan peruntukan kewangan untuk pembinaan SJKC dan SJKT yang baharu atau pemindahan sekolah-sekolah tersebut. Pembinaan sekolah hendaklah dijalankan secara sistematik mengikut demografi penduduk dan keperluan pendidikan dengan memasukkan peruntukan pembinaan sekolah dan penyediaan tanah ke dalam belanjawan agar sekolah-sekolah dapat siap dibina dan beroperasi dengan secepat mungkin.

 

Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya bersikap adil dalam pengagihan peruntukan kepada semua aliran sekolah dan institusi pendidikan kelolaan masyarakat, dan tidak harus meneruskan amalan kerajaan Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional. Pada peringkat perbahasan belanjawan, kerajaan harus mengumumkan secara terbuka bagaimana peruntukan akan dikendalikan secara telus dan memperincikan pengagihan peruntukan untuk penyelenggaraan dan pembaikan pelbagai jenis sekolah dan institusi pendidikan, projek-projek pembinaaan sekolah dan sebagainya.

Membincangkan UEC Secara Rasional Dari Segi Akademik Menyeru Pemberian Peruntukan Kepada Institusi Pendidikan Bukan Untug

Membincangkan UEC Secara Rasional Dari Segi Akademik Menyeru Pemberian Peruntukan Kepada Institusi Pendidikan Bukan Untug

Kenyataan Dong Zong

18 Febuari 2023

Membincangkan UEC Secara Rasional Dari Segi Akademik

Menyeru Pemberian Peruntukan Kepada Institusi Pendidikan Bukan Untug

 

Dalam sesi soal jawab di Parlimen baru-baru ini, Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek berkata pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersapadu Sekolah Menengah Persendirian Cina) bukan merupakan satu keutamaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya menyalurkan peruntukan kepada kategori institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja, serta KPM tidak memiliki sebarang obligasi untuk menyalur peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Dong Zong berpendapat kenyataan Menteri Pendidikan tersebut mengabaikan sumbangan institusi pendidikan bukan untung dan tidak membincangkan pendidikan SMPC dan UEC secara adil dan berfakta.

 

Pertama sekali, kami ingin mengingatkan pihak berkuasa berkenaan bahawa kerajaan persekutuan telah pertama kalinya dalam sejarah mengumumkan peruntukan kewangan kepada SMPC dalam Belanjawan 2019. Ini merupakan dasar murni kerajaan yang memperakui usaha proaktif rakyat untuk membantu negara melahirkan bakat generasi muda. Sebenarnya, tidak kira parti mana yang menjadi kerajaan, belanjawan tahunan selanjutnya sehingga kini tetap meneruskan peruntukan kewangan kepada SMPC. Oleh itu, adakah kenyataan Menteri Pendidikan tersebut bermakna kerajaan baharu tidak akan memberi peruntukan kewangan lagi kepada SMPC dan sekolah-sekolah agama swasta bukan untung dalam Belanjawan 2023 akan datang?

 

Pada tahun 2018, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menubuhkan Pasukan Petugas Dasar Unified Examination Certificate (PPDUEC) dan mengambil beberapa tahun untuk mengumpul maklumat dan berbincang dengan ahli-ahli akademik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, untuk menyediakan laporan kajian. Memandangkan banyak sumber telah dilaburkan dalam usaha itu, maka laporan PPDUEC harus diumumkan dan dijadikan asas perbincangan lanjutan, barulah ini merupakan cara yang munasabah dan bertanggungjawab.

 

Sama dan serupa dengan pentaksiran STPM, IB dan A-Level, UEC juga merupakan satu pentaksiran akademik. Oleh itu, pengiktirafan UEC merupakan isu akademik dan pendidikan. Semua pihak harus membincangkan isu tersebut secara rasional dan berfakta, dan janganlah memanipulasikan isu akademik itu sebagai isu politik dan perkauman.

 

Kewujudan dan pembangunan pendidikan SMPC selama ini bertujuan untuk membentuk kemahiran pembelajaran dan keupayaan peribadi pelajar, ianya memenuhi trend pembangunan pendidikan sedunia. Kurikulum pendidikan SMPC, termasuk mata pelajaran Sejarah. Mata pelajaran Sejarah SMPC digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, dan menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara kita.

 

Akhir kata, kami ingin menegaskan bahawa semua aliran institusi pendidikan bukan untung, termasuk SMPC, telah melahirkan berlibu-libu bakat untuk negara kita dan meringankan beban kos pendidikan negara yang begitu besar. Kerajaan seharusnya memperakui sumbangan rakyat dan menginstitusikan peruntukan kewangan kepada institusi-institusi pendidikan tersebut dalam belanjanwan tahunan, memberi diskaun ke atas bil utiliti seperti air dan elektrik, pengecualian atau potongan pelbagai jenis cukai, pengecualian pembayaran kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia dan sebagainya bagi mengurangkan beban ekonomi mereka dan menggalakkan mereka untuk terus menyumbang kepada negara.

Berdialog dan Bincang Isu Pendidikan Secara Rasional Dong Zong Sokong Kerajaan Baharu Mengutamakan Pemulihan Ekonomi

Berdialog dan Bincang Isu Pendidikan Secara Rasional Dong Zong Sokong Kerajaan Baharu Mengutamakan Pemulihan Ekonomi

Kenyataan Dong Zong

29 November 2022

Berdialog dan Bincang Isu Pendidikan Secara Rasional

Dong Zong Sokong Kerajaan Baharu Mengutamakan Pemulihan Ekonomi

 

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kerajaan baharu mula dibentuk dan pelbagai lapisan masyarakat mengharapkan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melakarkan pelan pembangunan baharu untuk negara kita. Malangnya, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (Unified Examination Certificate, UEC) pula diperbesarkan dan digembar-gemburkan secara berlebihan dengan cubaan untuk mencetuskan konflik sosial dan mewujudkan permusuhan dan persengketaan. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menyokong kerajaan baharu untuk mengutamakan pemulihan ekonomi negara, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memupuk keharmonian sosial. Kami memahami kebimbangan masyarakat Melayu. Dengan penuh keikhlasan dan usaha gigih, kami sudi berdialog dan berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman antara satu sama lain, membina asas saling percaya dan meningkatkan muafakat agar dapat mendalami pelbagai isu pendidikan secara rasional dan pragmatik.

 

Mesyuarat bersama ahli-ahli persatuan yang diadakan oleh Dong Zong beberapa hari lalu merupakan salah satu mesyuarat tahunan. Mesyuarat tersebut mengumpul pandangan ahli-ahli persatuan terhadap isu pendidikan dan merumuskannya menjadi beberapa resolusi yang rasional dan berasas. Mesyuarat itu telah meluluskan 11 resolusi yang berkait rapat dengan kemakmuran negara, sistem pendidikan, hak dan kepentingan pendidikan pelbagai kumpulan etnik dan lapisan masyarakat, ini termasuklah penubuhan Ombudsman Pendidikan, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar, penggubalan dasar pendidikan yang menyokong kepelbagaian budaya dan aliran sekolah, layanan yang adil kepada semua aliran sekolah dan sebagainya. Resolusi-resolusi di atas mencerminkan pendirian konsisten Dong Zong selama ini terhadap kepelbagaian dan kesaksamaan, jaminan hak pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik, serta penjagaan kepelbagaian budaya. Kami tetap teguh percaya bahawa dengan memperbetulkan penyelewengan dalam dasar pendidikan, semua murid atau pelajar dapat menikmati peluang dan sumber pendidikan yang adil dan dengan ini dapat meningkatkan daya saing negara kita.

 

Pengiktirafan UEC merupakan satu isu akademik dan pendidikan yang seharusnya dibincangkan secara rasional. Kami menyeru pelbagai pihak supaya jangan menjadikan UEC sebagai alat politik yang sengaja digembar-gemburkan sebagai isu kaum. Tidak kira mana-mana parti politik menjadi kerajaan, pendirian Dong Zong selama ini adalah untuk membantu negara kita dalam pembangunan modal insan, dan bertegas untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC secara akademik dan profesional. Semua kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk mata pelajaran Sejarah, adalah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kurikulum SMPC juga menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara kita. Teras pendidikan SMPC bertujuan untuk membentuk pembelajaran dan keupayaan para pelajar agar dapat memenuhi trend pembangunan pendidikan sedunia. UEC merupakan satu pentaksiran akademik, sama serupa dengan pentaksiran STPM, IB, A-Level dan sebagainya. UEC bukanlah satu petunjuk politik, oleh itu ahli-ahli politik tidak boleh menginterpretasikan UEC sewenang-wenangnya secara berlebihan untuk kepentingan peribadi. Sudah tentu, kami sememangnya dengan rendah hati menerima sebarang kritikan dan tunjuk ajar berkenaan kurikulum SMPC dan akan berusaha untuk menambahbaikkannya.

 

Selepas pilihan raya umum, terdapat pelbagai sektor yang amat perlu dipulihkan. Negara kita tidak ada banyak modal lagi untuk dibazirkan. Memandangkan negara kita menghadapi pelbagai cabaran, Dong Zong bersetuju bahawa kerajaan perpaduan yang baru dibentuk harus memberi keutamaan untuk melaksanakan langkah-langkah yang bermanfaat kepada rakyat, mengadakan tadbir urus yang baik dan berintegriti, memulihkan kebebasan kehakiman, memansuhkan undang-undang yang buruk, meringankan beban hidup rakyat dan merangsangkan pembangunan ekonomi. Kerajaan haruslah juga memupuk dialog yang rasional, menyatupadukan hati rakyat dan tidak menghampakan mandat rakyat.

Dong Zong berharap Kerajaan Perpaduan mempertahankan pendidikan Bahasa ibunda dan kepelbagaian

Dong Zong berharap Kerajaan Perpaduan mempertahankan pendidikan Bahasa ibunda dan kepelbagaian

Kenyataan Dong Zong

24 November 2022

Dong Zong berharap Kerajaan Perpaduan mempertahankan pendidikan Bahasa ibunda dan kepelbagaian

 

Negara kita berada dalam transisi menuju ke arah demokrasi dengan menyaksikan pertukaran pentadbiran kerajaan Persekutuan secara aman untuk kali ketiga. Kemelut politik diakhiri berikutan penubuhan Kerajaan Perpaduan, Dong Zong mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri yang kesepuluh, dan berharap kerajaan baharu akan menjamin pembangunan pendidikan bahasa ibunda dan asas masyarakat majmuk.

 

Kerajaan baharu memikul tanggungjawab yang berat dan menghadapi cabaran pelbagai dimensi untuk membawa negara kembali ke landasan dan menyatukan hati rakyat.

 

Kita berharap Kerajaan Perpaduan dapat bekerjasama dengan semua pihak, demi memacu pembangunan dan transformasi ekonomi, dan berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat supaya harapan baharu dapat dirasaikan.

 

Pada masa yang sama, kita juga berharap kerajaan baharu akan menunaikan janji pilihan raya, dan menjamin pembangunan sistem pendidikan pelbagai aliran serta menjaga kesaksamaan bagi pendidikan bahasa ibunda.

 

Keharmonian sosial dan kestabilan masyarakat yang mampan dapat dikekalkan dengan mengesahkan realiti masyarakat majmuk dan melaksanakan tadbir urus yang baik.

 

Ini adalah harapan kami yang tinggi untuk kerajaan baharu.