Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

5 Februari 2020

 

YAB Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir berkata bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran   mata pelajaran Matematik dan Sains dalam mesyuarat khas bersama pentadbiran  Kementerian Pendidikan   pada 30 Januari 2020.  Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia ( Dong Zong ) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia ( Jiao Zong ) memandang serius terhadap isu ini dan mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut.

 

1. Dong Jiao Zong bersetuju dengan keperluan dan kepentingan untuk meningkatkan  penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di kalangan murid-murid. Bagaimanapun,  pelaksanaan dasar “Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)” dari  tahun 2003 hingga 2009 yang berakhir dengan kegagalan jelas membuktikan  bahawa  dasar PPSMI bukan sahaja tidak berkesan untuk meningkatkan  penguasaan murid-murid terhadap Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik malah mengakibatkan kemerosotan pencapaian murid-murid dalam mata pelajaran

 

Pendidikan memainkan peranan penting untuk menentukan masa depan setiap generasi,  sekiranya kerajaan melaksanakan semula dasar PPSMI yang bercanggah dengan teori pendidikan,  pasti  mendatangkan  impak negatif kepada pendidikan negara kita. Maka, sebarang dasar dan langkah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hendaklah menepati  keperluan sebenar dengan mengutamakan hasil   analisis yang menyeluruh dan pandangan  profesional mengenai pendidikan.

 

2. Walaupun dibantah keras oleh rakyat, namun kerajaan tetap melaksanakan dasar PPSMI pada tahun 2003. Bagaimanapun,  setelah 6 tahun pelaksanaan dasar PPSMI, KPM terpaksa membatalkan dasar ini kerana bukan sahaja gagal meningkatkan  penguasaan Bahasa Inggeris, malah  pencapaian murid-murid dalam Sains dan Matematik juga merosot. Kajian ahli akademik juga menunjukkan bahawa pencapaian murid-murid negara kita dalam pentaksiran PISA dan TIMSS pada masa itu berada di bawah taraf antarabangsa disebabkan pelaksanaan PPSMI. Namun setelah dasar PPSMI dimansuhkan pada tahun 2009, prestasi pencapaian murid-murid negara kita dalam pentaksiran PISA tahun 2018 telah menunjukkan peningkatan.

 

Kajian UNESCO telah menunjukkan bahawa murid-murid  belajar dengan lebih berkesan apabila diajar dalam bahasa ibunda. Maka,   dasar PPSMI jelas  bercanggah dengan saranan UNESCO yang mengutamakan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda. Selain itu, banyak kajian ilmiah yang dijalankan di peringkat antarabangsa juga membuktikan kesan negatif  PPSMI  dan   tidak memberi manfaat kepada pembelajaran murid-murid.

 

3. Memandangkan prestasi institusi pendidikan awam semakin merosot, ramai ahli akademik telah membuat seruan supaya  pembaharuan pendidikan negara kita dijalankan  dengan segera.  Berikutan dengan perkembangan AI yang semakin pesat, kebanyakan negara telah menjalankan pembaharuan pendidikan dengan menitikberatkan pendidikan yang berorientasikan perkembangan aspek kemanusiaan dan kemenjadian murid-murid,  serta melaksanakan kurikulum sekolah yang mengutamakan unsur-unsur pemikiran kreatif, kemahiran berfikir aras tinggi dan pembelajaran merentas kurikulum.

 

Pembaharuan pendidikan bagi Malaysia Baru hendaklah selaras dengan arus perkembangan global dan sanggup berdepan dengan cabaran masa akan datang tetapi  bukan meneruskan minda lama yang ketinggalan zaman,  seperti melaksanakan semula dasar PPSMI yang  telah terbukti gagal. Sehubungan itu, Dong Jiao Zong menyeru supaya kerajaan Pakatan Harapan bertindak segera untuk melantik seorang  Menteri Pendidikan yang berpandangan jauh  dan berketrampilan dalam menerajui  pembangunan pendidikan negara sejajar dengan arus perkembangan pendidikan sedunia. Sebelum pelantikan Menteri Pendidikan yang baru, KPM tidak patut  melaksanakan sebarang dasar pendidikan baru secara tergesa-gesa.

 

4. Dong Jiao Zong menyeru supaya KPM mengadakan perbincangan terperinci dengan pertubuhan-pertubuhan pendidikan dan ahli-ahli akademik sebelum membuat sebarang keputusan mengenai dasar pendidikan. Adalah penting bagi kerajaan untuk mendengar pandangan-pandangan rakyat, khasnya pihak-pihak  yang berkepentingan  supaya dasar pendidikan yang digubal  oleh kerajaan mendapat persetujuan  semua pihak. Sehubungan itu, kami ingin mengingatkan Kabinet supaya mengambil kira pandangan rakyat  dan pendapat profesional dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan semula PPSMI.

Menaruh harapan agar peruntukan yang adil diinstitusikan: Dong Zong menyambut baik dana bantuan untuk SMPC dan Kolej Universiti

Kenyataan media Dong Zong
Menaruh harapan agar peruntukan yang adil diinstitusikan:
Dong Zong menyambut baik dana bantuan untuk SMPC dan Kolej Universiti

17 Januari 2020

Dong Zong mengiktiraf langkah peruntukan dana daripada Kementerian Kewangan kepada sekolah menengah persendirian cina (SMPC) dan tiga buah kolej universiti untuk dua tahun berturut-turut.

Menyusuli peruntukan pada tahun 2019, Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM 2juta kepada Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang dan Kolej Universiti Selatan masing-masing, untuk kegunaan pembangunan; di samping peruntukan sejumlah RM15 juta kepada SMPC seluruh negara. Sagu hati yang diberikan di ambang Tahun Baru Cina ini telah meredakan tekanan kewangan kolej universiti yang dikelolakan komuniti. Penambahan RM3 juta berbanding peruntukan pada tahun lalu menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan memandang berat institusi pendidikan yang bukan berorientasikan keuntungan (non-profit).

Ketiga-tiga buah kolej universiti kelolaan komuniti dan SMPC di Malaysia telah melahirkan bakat-bakat yang memberi sumbangan kepada negara. Mereka wajar diberi sokongan kerajaan lantaran sumbangan yang dicurahkan sepanjang tahun-tahun ini. Kami berharap agar kerajaan Pakatan Harapan menyedari kepentingan pelaburan dalam bidang pendidikan untuk mempertingkatkan daya saing negara dan kualiti rakyat.

Peruntukan kepada SMPC dan kolej universiti kelolaan komuniti buat sulung kali adalah selangkah besar dalam sejarah. Moga-moga ia disusuli dengan dasar yang lebih adil untuk semua sekolah dari pelbagai aliran pendidikan. Peruntukan dana yang adil harus diinstitusikan agar institusi pendidikan yang bukan berorientasikan keuntungan boleh terus memberi sumbangan kepada pembangunan negara. 

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

9 Januari 2020

 

Dong Jiao Zong menyambut baik usaha proaktif Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Waytha Moorthy Ponnusamy yang mengadakan sesi dialog yang dijalankan pada 7hb Januari bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan demi mencari jalan penyelesaian isu pengenalan tulisan Jawi.

 

  1. Pada 1 Januari tahun ini, pengerusi Dong Zong dan setiausaha agung Jiao Zong menerima mesej daripada pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Eddie Heng Hong Chai untuk bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Waytha Moorthy Ponnusamy untuk membincangkan isu pengenalan tulisan Jawi. Oleh kerana mesej tersebut tidak menyatakan dengan spesifik bahawa perjumpaan tersebut adalah atas inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan lain, maka Dong Jiao Zong menganggapkan mesyuarat itu adalah salah satu tindakan susulan Kongres Jawi Kebangsaan anjuran Majlis Bahasa Cina Malaysia dan SEKAT (Seni Khat Action Team) yang diadakan pada 29 Disember 2019. Pada masa itu Dong Jiao Zong sedang menguruskan kerja-kerja susulan ekoran daripada larangan penganjuran Persidangan Persatuan-persatuan Cina yang dijadualkan pada 28 Disember 2019, antaranya termasuk mengatur dialog dengan pucuk pimpinan parti-parti pemerintah dan pembangkang. Memandangkan kedua-dua pihak mempunyai arah tuju yang sama, maka kami berpendapat bahawa adalah baiknya masing-masing berusaha melalui pelbagai saluran demi mencapai hasil yang maksimal. Lantaran itu, Dong Jiao Zong tidak menghadiri aktiviti susulan Majlis Bahasa Cina Malaysia dan SEKAT tersebut.

 

  1. Dong Jiao Zong hanya menerima surat jemputan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri melalui emel pada pagi hari perjumpaan tersebut, didapati hanya nama 12 buah pertubuhan yang dijemput manakala Jiao Zong dan nama pertubuhan-pertubuhan Melayu tidak berada dalam senarai jemputan. Selain daripada itu, pada hari yang sama, Dong Jiao Zong akan mengadakan satu pertemuan dengan pertubuhan Muslim, maka kerana kesuntukan masa dan sebab-sebab yang tersebut, kami tidak sempat menghadiri pertemuan dengan YB Menteri dan ini amat dikesali.

 

  1. Walau bagaimanapun, seperti yang dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam sidang media, iaitu pelbagai usaha akan dijalankan untuk mencari formula penyelesaian kepada isu tulisan Jawi, maka kami berharap pihak kerajaan dapat meneruskan perbincangan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan membina kepercayaan bersama supaya mewujudkan suasana yang kondusif kepada perbincangan dasar-dasar kerajaan. Kami mengalu-alukan segala peluang   untuk bertukar pandangan dan bermuzakarah dengan semua pertubuhan yang berkaitan, termasuk pertubuhan-pertubuhan yang berlainan pandangan untuk mencari formula penyelesaian yang rasional.

 

  1. Sejak Dong Jiao Zong mengemukakan Kenyataan Bersama Pertubuhan-Pertubuhan Cina kepada Kementerian Pendidikan pada 2 Januari 2020, pihak Dong Jiao Zong telah mengambil pelbagai inisiatif, termasuk menghubungi parti-parti pemerintah dan pembangkang serta Kementerian Pendidikan untuk mengadakan dialog, moga-moga dapat mencari jalan penyelesaian kepada isu pengenalan tulisan Jawi.

Menyeru Supaya Menyiasat Ugutan Dan Keganasan Terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina

Menyeru Supaya Menyiasat Ugutan Dan Keganasan Terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

3 Januari 2020

Menyeru Supaya  Menyiasat Ugutan Dan Keganasan

Terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina

 

Menyeru Supaya Memeterai ICERD Untuk

Memperkasakan Keharmonian Dan Perpaduan Negara

 

Dong Jiao Zong mengalu-alukan keprihatinan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai ancaman terhadap Persidangan  Pertubuhan-Pertubuhan Cina. Dong Jiao Zong  menyeru supaya  pihak polis memandang serius dan membuat siasatan  untuk mengelakkan penyebaran keganasan dan kebencian antara kaum    yang berniat untuk memecahbelahkan masyarakat kita. Maka, kami turut menyeru supaya kerajaan memeterai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan secepat mungkin dan menggubal undang-undang yang berkenaan untuk membendung sebarang unsur yang  menjejaskan  keharmonian masyarakat dan menolak segala perbuatan yang mencetuskan sentimen perkauman. Ini amat penting untuk merealisasikan dan mempertonjolkan semangat kepelbagaian dan perpaduan negara kita yang berbilang kaum.

 

Membenarkan dan mempertahankan kebebasan rakyat untuk menyuarakan pendapat merupakan  ciri-ciri yang amat penting bagi masyarakat demokrasi. Oleh itu, sama ada Persidangan  Pertubuhan-Pertubuhan Cina anjuran Dong Jiao Zong yang dijadualkan pada 28 Disember 2019 ataupun Himpunan Bangkit Pertahan Jawi Haramkan Dong Zong anjuran GAMIS baru-baru ini, pada asasnya adalah  tindakan yang melaksanakan hak kebebasan berhimpun yang termaktud dalam Perlembagaan Persekutuan. Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina tersebut bertujuan untuk mendapatkan pendapat masyarakat Cina dan membuat pemantauan terhadap dasar pendidikan negara, langsung  tidak ada kaitan atau campur tangan dalam  kepentingan mana-mana  kaum dan agama yang lain. Malangnya, sesetengah pihak sengaja memutarbelitkan dan memburuk-burukkan persidangan tersebut, malah memohon perintah mahkamah untuk menghalang penganjuran persidangan tersebut. Pihak-pihak berkenaan bukan sahaja  mengugut akan mengulangi Peristiwa 13 Mei 1969, malah melemparkan tohmahan-tohmahan yang tidak berasas terhadap Dong Zong, seperti mengkhianati negara,  menjejaskan keharmonian kaum dan sebagainya. Walaupun Dong Jiao Zong amat tidak bersetuju dengan pandangan-pandangan tersebut yang meleset dan tidak benar, tetapi atas prinsip demokrasi, Dong Jiao Zong tetap mempertahankan hak bersuara dan berhimpun bagi pihak-pihak yang berlainan pandangan.

 

Dong Jiao Zong ingin mengingatkan bahawa kebebasan bersuara ada batas yang tertentu supaya  tidak disalahgunakan untuk mencabuli hak asasi orang lain.  Walaupun diberi ruangan yang sepenuhnya untuk menikmati kebebasan bersuara  dalam media sosial dan Internet, tetapi ini tidak bermakna boleh berbuat apa sahaja secara sewenang-wenangnya tanpa sempadan. Kebebasan bersuara tidak patut disalahtafsirkan atau disalahgunakan, apa sahaja yang berniat untuk menyalakan api kebencian antara kaum atau agama, termasuk penghasutan, diskriminasi, permusuhan dan pencabulan hak orang lain, semuanya  tidak tergolong dalam  lingkungan yang dijamin oleh kebebasan bersuara. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menggubal undang-undang bagi melindungi rakyat daripada kekerasan verbal. Semasa melaksanakan hak kebebasan, adalah perlu untuk menghormati hak-hak orang lain. Sekiranya melampaui dan mencabuli kedaulatan undang-undang, maka pihak perkhidmatan awam hendaklah melaksanakan kuasanya untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap pihak yang berkenaan.

 

Biarpun kebebasan bersuara merupakan nilai yang penting, tetapi bukanlah satu-satunya nilai yang ada dalam masyarakat demokrasi. Masyarakat yang saksama, harmoni dan saling menghormati seharusnya menjadi matlamat bersama bagi semua rakyat di Malaysia baru ini. Maka kami menyeru supaya kerajaan memeterai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan secepat mungkin dan menggubal undang-undang untuk menghapuskan diskriminasi kaum agar selaras dengan  piawaian hak asasi manusia  antarabangsa. Dengan adanya langkah-langkah ini, barulah Malaysia dapat melangkaui segala rintangan untuk menuju ke arah pembinaan negara yang menjunjung tinggi hak asasi manusia dan memperkukuhkan  sistem demokrasi.

Dong Jiao Zong menghormati keputusan Dr.Maszlee untuk letak jawatan: Menaruh harapan agar menteri baru meneruskan kesinambungan reformasi

Dong Jiao Zong menghormati keputusan Dr.Maszlee untuk letak jawatan:
Menaruh harapan agar menteri baru meneruskan kesinambungan reformasi

3 Januari 2020

Dong Jiao Zong menghormati keputusan Dr.Maszlee Malik untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan, sungguhpun terperanjat dengan tindakan mengejut ini. Dong Jiao Zong berharap agar peletakan jawatan ini tidak memberi kesan kepada reformasi yang dimulakan kementerian pendidikan sejak tahun kebelakangan.

Sesungguhnya, reformasi dasar pendidikan bukan isu bagaimana seseorang boleh mara seratus langkah ke depan, tetapi bagaimana seratus orang mengorak selangkah ke depan. Kami berharap calon baru menggalas tugas ini sebagai Menteri Pendidikan untuk seluruh rakyat, peka kepada dasar, bersedia untuk berdialog dengan pertubuhan pelbagai kaum, agar keberkesanan dipertingkatkan sepanjang proses menyelesaikan masalah.

Moga-moga Menteri Pendidikan baru akan mempertimbangkan untuk menjadikan Lembaga Pengurus Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina dan Tamil) sebagai unit penentu dasar pengajaran tulisan jawi, pada masa yang sama memperkenalkan tulisan jawi berdasarkan prinsip kepelbagaian budaya, agar polemik ini diredakan secepat mungkin.

Dalam konteks Malaysia sebagai masyarakat majmuk, Menteri Pendidikan menggalas harapan daripada komuniti yang berbeza, dan perlu menyelaras sesama mereka. Kementerian Pendidikan antara portfolio yang paling mencabar dalam kabinet. Dr.Maszlee Malik telah mencuba sedaya upaya untuk mengambil langkah reformasi pendidikan sepanjang beliau menerajui kementerian ini, termasuk memberi kuasa autonomi kepada universiti, memansuhkan peperiksaan tahap satu, program Sifar Murid Cicir, membanteras rasuah, mempromosi budaya membaca dan sebagainya. Kesemua langkah ini wajar diberi pengiktirafan.

Tidak kurang ahli akademik yang beridealisme terpaksa bertembung dengan realiti politik apabila menceburi bidang ini. Setelah melalui liku-liku sepanjang tempoh lebih 20 bulan ini, kami berharap agar Dr.Maszlee Malik terus mencurahkan keringatnya untuk membangunkan negara, dengan memanfaatkan pengalamannya di luar bidang akademik ini. Moga-moga pengganti beliau boleh mewarisi dasar yang baik sepanjang beliau menerajui kementerian ini, mengatasi keterbatasan dan tekanan sedia ada, dan bersama kita menuju ke arah Malaysia yang lebih inklusif sebagaimana yang diidam-idamkan.

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

28 Disember 2019

 

Kami menyuarakan rasa tidak puas hati atas tindakan pihak polis membuat permohonan kepada mahkamah magistret Kajang untuk mendapatkan perintah larangan terhadap Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina pada 28 Disember 2019 dengan alasan mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia.

 

Kami menegaskan bahawa kebebasan berhimpun dan bersuara merupakan hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pihak polis seharusnya mengambil tindakan terhadap  individu dan kumpulan yang sengaja mengancam dan mengganggu Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina dijalankan secara aman. Ini merupakan tanggungjawab polis, dan bukannya menyalahgunakan prosedur kehakiman yang telah merampas kebebasan menyuara kami sebagai penganjur yang mematuhi undang-undang.

 

Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina bertujuan menyuarakan pandangan dan saranan terhadap isu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi demi cari jalan secara berdialog dan bukannya konfrontasi. Persidangan ini bukan sahaja mendapat sokongan dari masyarakat Cina, tetapi juga disertai oleh masyarakat India, ahli akademik kaum Melayu serta wakil-wakil  dari Sabah dan Sarawak. Persidangan ini sememangnya akan dijalankan secara aman dan rasional, kami juga menyeru semua peserta harus mematuhi prinsip ini. Persidangan ini langsung tidak seperti perhimpunan pihak lain yang sengaja mencetuskan sentimen perkauman dan menjejaskan keharmonian negara.

 

Setakat 27 Disember 2019, sebanyak 1118 buah SJKC  dan Pertubuhan Cina telah menyatakan sokongan kepada persidangan ini. Selain itu,  lebih daripada 900 buah SJKC telah menandatangani untuk menyatakan pendirian tidak setuju terhadap pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJKC yang bukan dalam konteks kepelbagaian. Dalam pada itu, masih ada beberapa negeri sedang menjalankan kempen tandatangan ini.

 

Pandangan rakyat harus didahulukan, suara rakyat tidak boleh diketepikan, memandangkan isu tulisan Jawi harus ditangani segera,  maka kami mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut.

 

Kenyataan Bersama Persatuan-persatuan Cina 1228

Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, budaya  dan agama, selama ini kami mendukung semangat kepelbagaian dan menerima setiap Bahasa dan tulisan, termasuk tulisan Jawi. Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa berkenaan seharusnya berdasarkan prinsip kepelbagaian Bahasa dan budaya.

 

Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu Untuk Murid Tahun 4 SJK Mulai Tahun 2020 yang diumumkan pada 5 Disember 2019 ataupun garis panduan yang dipinda semula pada 20 Disember 2019, jelas menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia tidak dapat menangani isu tulisan Jawi ini secara profesionalisme, malah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

 

Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) merupakan komponen yang penting dalam SJKC, tetapi Kementerian Pendidikan Malaysia membuat keputusan bahawa pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di SJK hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui PIBG serta ibu bapa dan murid. Perbuatan ini langsung tidak  menghormati hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah. Ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan masyarakat Cina, malah juga bukan langkah penyelesaian yang pragmatik terhadap isu tulisan Jawi. Keadaan ini menyebabkan masyarakat  hilang keyakinan terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Memandangkan masyarakat Cina dan India tidak setuju dengan terhadap pelaksanaan PdP tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 di SJK, maka sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia meneruskan dasar ini, tentu akan menyebabkan ketegangan hubungan antara rakyat dengan kerajaan, dan seterusnya menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Maka, kerajaan seharusnya menunjukkan keikhlasan dan mengambil tindakan yang wajar untuk mengubah dasar-dasar yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.

 

Demi kepentingan negara dan memelihara keharmonian masyarakat, kami meluluskan ketetapan- ketetapan berikut:

 

  1. Kami bertegas dengan pendirian untuk mempertahankan hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah dalam pengurusan sekolah, maka Lembaga Pengelola Sekolah mempunyai hak dan kuasa penentuan terhadap segala dasar Kementerian Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan di SJK.
  2. Menyeru kerajaan prihatin terhadap pandangan masyarakat Cina dan India, supaya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran tulisan Jawi dibatalkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 di SJK.
  3. Sekolah harus memupuk semangat kepelbagaian budaya, maka kami setuju dengan kaedah interaksi budaya yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk seni tulisan Jawi, Cina, Tamil dan suku kaum lain. Dalam konteks ini, Kementerian Pendidikan Malaysia boleh merujuk kepada buku teks Bahasa Melayu SJK Tahun 5 yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum.
  4. Menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan dialog bersama Pertubuhan Pendidikan Cina dalam masa yang terdekat untuk menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJK.

 

Disetujui oleh

  1. Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
  2. Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong)
  3. Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong)
  4. Merdeka University Berhad
  5. Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia
  6. LLG Cultural Development Centre
  7. The Federation of Alumni Association of Taiwan Universities, Malaysia
  8. The Association of Graduates From Universities and Colleges of China, Malaysia
  9. Majlis Bahasa Cina Malaysia
  10. The Federation of Hokkien Associations of Malaysia
  11. The Federation of Kwang Tung Associations Malaysia
  12. Persekutuan Persatuan-Persatuan Hakka Malaysia
  13. The Federated Teochew Associations of Malaysia
  14. The Federation of Hainan Association Malaysia
  15. Persatuan Guangxi Malaysia
  16. Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM)
  17. Majlis Gabungan-gabungan Bahagian Belia Pertubuhan Klan Kebangsaan Malaysia