Reformasi Biar Mekar, Keputusan Biar Tegas

Reformasi Biar Mekar, Keputusan Biar Tegas
Satu Penilaian Terhadap Prestasi Kerajaan Dalam Bidang Pendidikan Sempena Setahun Pakatan Harapan Memerintah

Oleh: Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)

8 Mei 2019


Pertama
Pendahuluan: Membulatkan Tekad Dalam Senario Baru

Pada hari ini setahun yang lalu, dengan harapan dan impian rakyat yang digalas atas bahunya, Pakatan Harapan (PH) telah merealisasikan pertukaran kerajaan persekutuan untuk kali pertama dalam sejarah Malaysia. Rakyat menaruh harapan terhadap kerajaan baru untuk melaksanakan reformasi. Mereka berharap agar kerajaan PH menerokai senario baru, melakar wawasan baru untuk negara, membentuk muafakat dalam masyarakat, dan menyemarakkan semangat rakyat untuk membebaskan diri dari kemelut.

Apa yang dikesali, pihak kerajaan tidak mengambil kesempatan ketika populariti mereka berada di kemuncaknya untuk melaksanakan reformasi, atau membuat keputusan dengan tegas. Ia berakhir dengan beberapa keputusan dasar yang tidak menentu, sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

Sesungguhnya, beban yang digalas pemerintah adalah satu ujian, yang juga akan dinilai apabila sampai masanya. Dari 10 Janji 100 Hari hinggalah 60 Janji dalam Buku Harapan, pujian harus diberikan kepada usaha untuk menunaikan sebahagian janji. Namun, perlu diingatkan juga bahawa tidak kurang janji yang belum terlaksana.

Sungguhpun kerajaan PH cuba sedaya-upaya untuk melakar wawasan dan halatuju baru untuk negara, namun situasi sedia ada dan tahap hubungan kerjasama dalam pasukannya sedikit sebanyak memberi kesan terhadap prestasi pentadbiran. PH menang atas janji untuk melaksanakan agenda reformasi, maka ia semestinya menanggung kesan jikalau gagal menepati janjinya.

Pendidikan adalah asas pembinaan negara. Pelaksanaan dasar pendidikan oleh kerajaan PH sepanjang tempoh setahun ini kebanyakan masanya tertumpu kepada penambah-baikan luaran, atau pangkasan dahan dan ranting, tetapi tidak kepada reformasi sistem dan struktur sehingga ke akar umbinya. Idealisme pendidikan yang didukung tidak diolah secara jelas, malah perancangan menyeluruh untuk pelaksanaannya juga tidak kelihatan.

Apapun janji yang ditabur dalam manifesto pilihan raya umum, matlamatnya harus jelas. Halatuju pentadbiran perlu bertitik tolak dari sudut yang makro, tetapi cara pelaksanaannya perlu halus dan terperinci. Betapa lantang laungan slogan sekalipun, seandainya kita tidak memandang berat kepada nilai teras, atau kita menggunakan cara pelaksanaan yang salah, maka akhirnya kita sukar mencapai matlamat, malah mungkin bercanggahan dengan matlamat asal yang digariskan.

Kedua
Pelaksanaan Dasar Pendidikan PH Dalam Tempoh Setahun

Sebagai badan pendidikan, kami amat memandang berat prestasi kerajaan PH dalam bidang pendidikan. Dengan ini, kami menyenaraikan janji-janji PH yang berkenaan dengan pendidikan, dan dibandingkan dengan langkah-langkah yang diambil baru-baru ini, sebagai satu penilaian.

1. Hak Asasi Manusia Dalam Pendidikan
a. Menambah bina dan memindah sekolah rendah jenis kebangsaan (Cina) mengikut keperluan
Setelah mengambil alih tampuk kuasa, PH membuat pengumuman untuk mengkaji semula Projek “10+6” penambahan dan pemindahan sekolah rendah jenis kebangsaan (Cina) oleh mantan kerajaan (Barisan Nasional). Kajian akan dijalankan berdasarkan lokasi sekolah, keadaan kewangan, populasi komuniti tempatan dan sebagainya.

b. Membenarkan Kanak-Kanak Tanpa Kewarganegaraan Untuk Bersekolah
Mempermudahkan prosedur kemasukan sekolah untuk kanak-kanak tanpa kewarganegaraan. Mereka diberi peluang untuk masuk ke sekolah dengan surat kelahiran, sijil pengambilan anak angkat atau perintah mahkamah. Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan ini dibenarkan mengambil peperiksaan UPSR, SPM dan STPM. Setakat ini, sejumlah 2,635 orang kanak-kanak telah menerima manfaat daripada langkah ini.

  1. Pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas
    Memastikan semua kanak-kanak berkeperluan khas yang layak dari segi usia berpeluang untuk menerima pendidikan di sekolah kerajaan. Untuk setakat ini, seramai 83,039 orang kanak-kanak telah didaftarkan. Bagaimanapun, masalah kekurangan tenaga guru dan kelengkapan masih belum diselesaikan, lantaran gagal untuk menjangkakan bilangan pelajar berkeperluan khas di setiap sekolah.

Hakikatnya, kerajaan PH lebih adil untuk melayan sekolah dari semua aliran pendidikan, mengambil berat tentang isu pelarian dan kemanusiaan. Usaha untuk memastikan semua kanak-kanak memperolehi peluang pendidikan harus diberi pujian.

Bagaimanapun, kerajaan PH tidak mengorak langkah selanjutnya untuk menginstitusikan penambah-binaan sekolah rendah jenis kebangsaan (Cina), atau dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia mahupun Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, mengumumkan secara terperinci butiran tentang bilangan penambahbinaan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (Cina dan Tamil), peruntukan dana, pengagihan tanah sekolah, jadual pembinaan sekolah dan sebagainya.

  1. Kesaksamaan Dalam Pendidikan
    a. Program Sifar Murid Cicir (PSMC): PSMC yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan telah berjaya mengembalikan sebahagian pelajar tercicir untuk balik semula ke sekolah, dan menghabiskan pendidikan menengah sekurang-kurangnya. Langkah ini harus dipuji.
  2. Menambah peruntukan untuk pendidikan khas: Kami menghargai langkah kerajaan untuk menunaikan janji pilihan rayanya bagi menambah peruntukan dalam bidang pendidikan khas, memberi potongan dalam pembayaran balik pinjaman kepada pelajar yang berprestasi unggul dan berasal dari latar belakang keluarga yang miskin.
  3. Tidak menunaikan janji menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN: Janji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4000 sebulan, jelas tidak ditepati. Apa yang telah dilaksanakan cuma pemansuhan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

    d. Janji pendidikan percuma yang kelihatan sukar untuk ditunaikan: Setakat ini, kerajaan belum mengemukakan apa-apa cadangan dasar untuk pendidikan percuma.
  4. Kuota matrikulasi bercanggah dengan prinsip keadilan: Penetapan pengambilan penuntut institusi pengajian tinggi sedia ada (STPM dan Matrikulasi) adalah tidak adil. Kuota pengambilan pelajar ke program kolej matrikulasi dengan nisbah pada kadar 90:10 harus dimansuhkan. Penambahan bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi kepada 40,000 tempat sudah tentu memberi kesan kepada kadar pengambilan pelajar yang menduduki STPM, lantas mengurangkan tempat kemasukan universiti untuk pelajar bukan bumiputera.

    Sungguhpun kerajaan mempunyai dasar untuk membela golongan minoriti, tetapi jelas ia tidak memadai, malah tidak maju ke depan ketika berdepan dengan faktor kaum. Kami berpandangan bahawa kerajaan harus memansuhkan kuota sedia ada yang berdasarkan faktor kaum, menggantikannya dengan dasar afirmatif yang berdasarkan kedudukan sosio-ekonomi, desa-bandaraya dan sebagainya.
  5. Kualiti Pendidikan
  6. Memperbaiki suasana pengajaran
    Kementerian Pendidikan mengambil beberapa langkah sebagaimana yang termaktub dalam Buku Harapan, misalnya mengurangkan “kerja kerani” guru, memansuhkan tiga peruntukan dalam Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) untuk memulihkan kuasa autonomi pihak universiti, menubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sebagainya.
  7. Memperluaskan keterlibatan rakyat
    Menubuhkan jawatankuasa untuk merangkumi pakar akademik, mengeratkan hubungan awam-swasta, misalnya menubuhkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN), merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan bersama pihak institusi pengajian swasta dan sebagainya.
  8. Mereformasi penilaian silibus
    Mendorong reformasi silibus pengajaran dan penilaian, misalnya memperkenalkan semula Pendidikan Sivik di sekolah rendah dan menengah pada pertengahan tahun 2019, memansuhkan peperiksaan peringkat pertama sekolah rendah dan sebagainya.

    Kementerian Pendidikan sedang mempertingkatkan mutu pendidikan. Antaranya, dasar pemansuhan peperiksaan mencetuskan pertikaian yang agak hangat. Langkah ini baik untuk mengikis budaya yang berorientasikan peperiksaan, dan mempertingkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh. Kerajaan harus memperlihatkan tekad untuk meneruskan usaha ini, dan jangan sesekali teragak-agak dalam mengambil langkah ini.
  9. Dasar Bahasa Pengantar Dalam Pendidikan
    a. Teragak-agak dalam isu pengiktirafan UEC

Buku Harapan menjanjikan pengiktirafan sijil UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menekankan bahawa pengiktirafan sijil UEC perlu dijalankan dengan syarat tidak menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan perpaduan nasional. Ia memerlukan kajian yang menyeluruh dan tidak harus dibuat keputusan secara tergesa-gesa. Kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) untuk mendengar pandangan pelbagai pihak sebelum laporan kajian akhirnya diserah kepada kabinet pada Julai 2019.

Kerajaan PH kelihatan ragu-ragu dalam isu pengiktirafan UEC, dan teragak-agak untuk memberi kata dua. Ia amat mengecewakan. PH harus menepati janjinya.

  1. Pemulihan dasar pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris

Pada April 2019, Menteri Pendidikan mengumumkan dasar pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di Sarawak mulai tahun depan. Ia dilihat sebagai langkah untuk menguji reaksi umum. Pada tahun 2003, Perdana Menteri ketika itu, iaitu Dr. Mahathir Mohamad telah mengarahkan pelaksanaan dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) atas alasan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Bagaimanapun, dasar ini dihentikan lantaran tidak menerima kesan sebagaimana yang dijangkakan selepas 6 tahun dilaksanakan.

Kami berpandangan bahawa pengalaman lalu membuktikan bahawa dasar PPSMI bukan sahaja gagal mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar, malah menjejaskan penguasaan sains dan matematik pelajar. Lebih-lebih lagi, ia bercanggah dengan prinsip pendidikan bahasa ibunda yang diiktiraf antarabangsa.

  1. Isu Pendidikan Bahasa Cina
    a. Peruntukan dana harus diinstitusikan
    Dalam Bajet 2019 kerajaan PH, untuk kali pertama peruntukan sejumlah RM12 juta disalurkan kepada sekolah menengah persendirian Cina di seluruh Malaysia. Di samping itu, Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sejumlah RM6 juta kepada tiga buah institusi pendidikan tinggi kelolaan rakyat, iaitu Kolej Universiti Selatan, Kolej Universiti New Era dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang.
  2. Masalah kekurangan tenaga guru di sekolah Cina kekal belum selesai

Masalah kekurangan tenaga guru di sekolah rendah jenis kebangsaan (Cina) di seluruh negara masih berlaku ketika sekolah dibuka awal tahun ini. Terdapat persatuan lembaga pengurus yang terpaksa mengutip derma untuk membayar gaji guru sementara yang diupah kerana belum menerima peruntukan daripada Kementerian Pendidikan.

  1. Peruntukan dan pengurusan sekolah yang serba kurang

Kerajaan PH melanjutkan amalan bekas kerajaan, iaitu menyelenggara sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dengan pembahagian sekolah kerajaan dengan sekolah bantuan kerajaan. Ia menjurus kepada layanan yang berbeza dalam peruntukan dana. Sementara itu, isu kuasa autonomi yang membelenggu sekolah menengah jenis kebangsaan Cina tidak dipandang berat dan tidak diselesaikan. Selain itu, Kementerian Pendidikan masih belum mengumumkan Suratcara Pengelolaan LPS SJKC, dan tiada perkembangan lanjut sehingga hari ini.

Sesungguhnya, kerajaan PH agak efisien dalam bab peruntukan dana bagi institusi pendidikan bahasa Cina, dan secara perbandingannya, lebih mesra kepada pendidikan Cina. Bagaimanapun, kerajaan PH belum menemui formula penyelesaian jangka panjang dari segi kerangka sistem dan struktur dalam isu peruntukan dana kepada sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, kekurangan tenaga guru, bidang kuasa lembaga pengurus sekolah menengah jenis kebangsaan Cina dan sebagainya.

  1. Kesimpulan
    Memperbaiki proses membuat keputusan dan keberkesanan dasar

Dari segi makro, banyak langkah pentadbiran kerajaan PH yang dilihat positif. Suara rakyat diberi perhatian, malah komunikasi dengan masyarakat diperluaskan. Langkah kerajaan juga diselaraskan mengikut kesesuaian.

Bagaimanapun, langkah besar dari kerangka sistem dan struktur kurang kelihatan. Ia sekadar memperbaiki beberapa kebobrokan secara luaran, atau dahan dan ranting masalah – memberi persepsi bahawa idealismenya lebih kepada omong-omong tanpa jalan keluar dan halatuju yang jelas.

Dari segi mikro, beberapa proses keputusan dianggap tidak halus, dan agak tergesa-gesa, malah gagal mengolah restu daripada masyarakat. Justeru itu, keberkesanan dasar perlu dipertingkatkan. Kami berpandangan, dasar yang melibatkan hal-ehwal politik harus diputuskan selepas komunikasi yang rasional untuk meleraikan perbezaan. Pihak berkenaan harus tegas dan cermat, menunjukkan keberanian untuk memikul tanggungjawab, barulah pelaksanaannya memperlihatkan ketegasannya, lantas memupuk muafakat orang ramai terhadap reformasi pendidikan dan penggubalan dasar.

Ramai menaruh harapan tinggi terhadap Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang berasal dari latar belakang ahli akademik untuk menyelamatkan sistem pendidikan yang semakin meleset. Namun demikian, sepanjang tempoh setahun ini, selain memperlihatkan tekad politik dalam pemansuhan peperiksaan sekolah rendah, tidak banyak langkah besar reformasi pendidikan yang diketengahkan. Jelas, wujudnya jurang antara harapan rakyat dengan realiti.

Kami berpandangan bahawa Maszlee Malik seharusnya mengubah gaya pentadbirannya, berpegang kepada teras pendidikan, melakar jadual dan pelan reformasi pendidikan yang jelas untuk mengembalikan keyakinan rakyat, dan bukan sebaliknya — membazir masa dalam kerja remeh-temeh yang tidak membantu dalam kerangka besar.

Untuk Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal pendidikan bahasa Cina, beliau memainkan peranan dalam keberkesanan, ketelusan, komunikasi masyarakat, memperbetulkan penyelewengan dan sebagainya. Namun, dalam isu dasar pendidikan yang penting dan melibatkan kabinet, beliau tidak mendapat kerjasama daripada menteri (terutamanya DAP). Kami berpandangan bahawa menteri kabinet yang memahami isu pendidikan bahasa Cina seharusnya sedar, sebarang perubahan dalam dasar pendidikan memerlukan penyertaan dan kerjasama daripada rakan sekutu.

Ketiga
Harapan Kami

Sesungguhnya, reformasi pendidikan tidak akan tercapai dalam tempoh sekelip mata. Reformasi sistem menuntut tekad politik dan muafakat daripada masyarakat. Untuk merombak kepincangan yang sedia ada secara menyeluruh, dan meningkatkan mutu pendidikan, kami mencadangkan penyelesaian berikut dengan harapan kerajaan PH dapat melaksanakannya dalam penggal pemerintahannya:-

1.Mengkaji Akta Pendidikan 1996. Menggubal akta pendidikan baru berdasarkan prinsip kemajmukan budaya

Akta Pendidikan sedia ada digubal berdasarkan mentaliti yang bertunjangkan mono-lingualisme-kulturalisme ketika itu, dan tidak berlaku adil terhadap aliran pendidikan yang pelbagai. Selain itu, akta tersebut memperuntukkan kuasa yang terlalu besar kepada menteri, sehingga menjurus kepada dominasi politik dalam pendidikan, dan mencetuskan fenomena yang bercelaru dalam bidang pendidikan.

Justeru itu, kami mencadangkan agar kerajaan PH menggubal akta pendidikan baru sebagai pengganti kepada akta pendidikan sedia ada. Akta Pendidikan yang baru harus merangkumi:-

  1. Mengiktiraf kemajmukan budaya sebagai aset negara, dan menjamin hak pendidikan bahasa ibunda mengikut prinsip mendukung jamak budaya;
    b. Mengiktiraf sistem pendidikan pelbagai aliran, mengagihkan sumber pendidikan secara adil dan saksama;
    c. Membantu kaum orang asli untuk memperkembangkan bahasa dan pendidikan budaya mereka;
    d. Menyekat dan mengimbangi kuasa Menteri Pendidikan.

    2. Pengagihan kuasa dalam pendidikan
    Kuasa pendidikan sedia ada terlalu dipusatkan. Pendemokrasian pendidikan harus dilaksanakan, untuk mengagihkan kuasa pendidikan kepada kerajaan pelbagai peringkat, untuk disesuaikan dengan keperluan tempatan yang berbeza. Ia juga untuk mengelakkan reformasi pendidikan bersifat pukul rata (one size fits all).

    3. Mengumumkan statistik kesemua laporan dan kajian pendidikan
    Pendidikan adalah kepentingan awam. Kementerian Pendidikan seharusnya mengumumkan laporan dan statistik kajian mengikut prinsip ketelusan dan demokrasi. Selain asas teori, analisis isu sosial memerlukan fakta dan statistik sebagai sokongan. Di samping itu, laporan kajian adalah hasil penyelidikan oleh pakar akademik dari dalam dan luar negeri, mempunyai nilai rujukan dan tidak harus disimpan dalam laci. Justeru itu, Kementerian Pendidikan harus:-a.Mengumumkan laporan dan statistik kajian, memuat-naik laporan tahunan dan laporan penyelidikan di laman rasmi Kementerian Pendidikan untuk dimuat-turun orang umum;
    b.Mengumumkan laporan statistik tahunan yang terperinci untuk kegunaan penyelidikan akademik;
    c.Mengumumkan laporan jawatankuasa khas, termasuk Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) dan Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC).

    4. Menyediakan mekanisme penyertaan masyarakat sivil dalam hal-ehwal pendidikan negara
    Hubungan antara Kementerian Pendidikan dengan organisasi bukan-kerajaan agak terasing. Tiada interaksi dan rundingan dengan pihak berkepentingan (stakeholder) sehingga mencetuskan pertikaian yang pelbagai. Ia tidak baik untuk pelaksanaan dasar.
    Perhubungan antara Kementerian Pendidikan dengan badan pendidikan adalah saling memerlukan, dan bukannya saling bermusuhan. Komunikasi yang berkesan membantu penggubalan dasar dan pembangunan pendidikan. Untuk tujuan ini, kami mencadangkan:-
    a. Kementerian Pendidikan harus mengambil langkah proaktif untuk mengajak badan yang berkaitan dengan pendidikan untuk berdialog;
    b. Penubuhan jawatankuasa hal-ehwal pendidikan bahasa Cina, Tamil dan Orang Asli, dengan melantik wakil dari badan pendidikan sebagai anggotanya, agar ia dijadikan wadah rundingan dan dialog dalam isu pendidikan negara.

    5. Menggubal dasar pendidikan jamak budaya
    Kepincangan dan layanan tidak adil terhadap aliran pendidikan yang pelbagai bercanggah dengan masyarakat majmuk, malah tidak baik untuk interaksi dan integrasi antara etnik. Untuk itu, kami menyeru agar Kementerian Pendidikan menggubal dasar pendidikan jamak budaya secepat mungkin, untuk menjamin kesamarataan pendidikan dan hak pendidikan bahasa ibunda, malah mempromosi dan membangunkan sistem pendidikan pelbagai aliran yang istimewa. Hanya dengan langkah ini, kualiti pendidikan di negara kita dapat dipertingkatkan, malah hubungan etnik diperbaiki dan menjurus kepada perpaduan masyarakat. Melalui dasar pendidikan jamak budaya, pelajar dapat:-
    a. Belajar untuk menghargai budaya sendiri, menghayati budaya yang lain, dan menanam konsep kepelbagaian dalam kalangan pelajar;
    b. Mengenali isu sosial yang pelbagai, elak daripada mengulangi imej stereotaip, menghapuskan diskriminasi dan prejudis terhadap agama dan etnik.

    6. Menubuhkan Ombudsman Pendidikan
    Kami memohon agar satu Ombudsman Pendidikan yang bebas ditubuhkan untuk memantau penggunaan kuasa dalam Kementerian Pendidikan, mempertingkatkan keberkesanan pentadbiran dan mencegah penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan. Untuk memastikan kedudukannya bebas dari pengaruh kuasa, ombudsman ini harus bertanggungjawab kepada parlimen.
    Rakyat boleh mengadu kepada ombudsman ini jikalau terdapat pengurusan, pelaksanaan yang bercanggah dengan undang-undang, tidak adil, diskriminasi, penyalahgunaan kuasa, tidak membalas pertanyaan, keengganan memberi maklumat, penangguhan yang tidak wajar dan sebagainya. Ciri-cirinya termasuk:-
    a. Ombudsman ini adalah badan berkanun (statutory body), diperuntukkan kuasa penyiasatan dan pendakwaan;
    b. Anggota-anggota ombudsman ini harus dilantik oleh parlimen, dan laporannya harus dibentangkan dan dibahas dalam parlimen.

    7. Mengaji semula silibus sejarah sekolah rendah
    Buku teks sejarah bakal membentuk pandangan sejarah seseorang pelajar, sebagai sumber asas pengetahuan sejarah. Untuk menekankan jamak budaya dalam masyarakat demokratik, menghormati perbezaan nilai, maka peristiwa sejarah harus dibentang dan diperbincangkan seluas mungkin.
    Sejarah tidak harus dilihat dari satu sudut sahaja, sebaliknya harus dibenarkan pandangan pelbagai versi. Monopoli sejarah harus dipecahkan, untuk memberi ruang kepada pengolahan dan pentafsiran yang pelbagai. Memandangkan sejarah Malaysia sarat dengan pertikaian, Kementerian Pendidikan seharusnya menubuhkan jawatankuasa penulisan sejarah, mengajak pakar akademik dari latar belakang pelbagai etnik untuk merangka silibus dengan fakta dan bukti. Silibus baru ini seharusnya:-
    a. Mengkaji semula fakta sejarah yang dipendamkan secara sengaja, mengembalikan kebenaran dan berdepan dengan sejarah secara jujur;
    b. Berdasarkan fakta sejarah, pandangan dan hujah yang objektif, dan tidak harus memihak kepada sesuatu kaum sahaja;
    c. Melangkaui batas politik parti, dan kembali kepada perlembagaan. Membentuk pandangan sejarah negara yang berdasarkan perlembagaan.

    8. Mengiktiraf UEC secara menyeluruh, sebagai kelayakan kemasukan universiti awam
    Silibus sekolah menengah persendirian Cina selari dengan perlembagaan persekutuan dan prinsip jamak budaya dalam negara ini. Dong Zong telah mengadakan dialog dengan banyak pertubuhan (NGO) Melayu, dan terlibat secara aktif dalam Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC). Justeru itu, kerajaan harus menunaikan janji dalam Buku Harapan, mengiktiraf UEC dengan secepat mungkin, agar bakat-bakat yang berpotensi dalam kalangan pelajar sekolah menengah persendirian dikerah untuk menyumbang kepada pembangunan tanahair.

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

 

Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) amat prihatin terhadap pengumuman Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, setelah pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, bahawa Sarawak akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan semula pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sehubungan itu, Dong Zong dan Jiao Zong ( Dong Jiao Zong ) mengeluarkan kenyataan bersama berikut:

 

  1. Dasar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan mulai tahun 2003 bukan sahaja menjejaskan pembelajaran murid-murid, malah juga membazirkan jumlah wang yang amat besar dan sumber pendidikan negara. Pada akhirnya, kerajaan terpaksa mengakui kegagalan pelaksanaan dasar PPSMI dan memansuhkan dasar ini pada tahun 2009. Maka, Dong Jiao Zong dengan tegasnya membantah cadangan kerajaan untuk melaksanakan semula dasar PPSMI kerana ini sebenarnya mengulangi kesilapan yang sama, menjadikan murid-murid sebagai bahan eksperimen, mengorbankan kebanyakan murid dan menjejaskan pembangunan pendidikan negara.

 

  1. Berkenaan dengan pengumuman Menteri Pendidikan bahawa Sarawak menjadi negeri pertama melaksanakan semula dasar PPSMI, ini bermakna adakah Kementerian Pendidikan akan turut melaksanakan dasar PPSMI di negeri-negeri lain? Memandangkan dasar ini akan membawa impak yang besar terhadap pembangunan negara, maka Dong Jiao Zong menyeru Menteri Pendidikan dengan segera mengumumkan butir-butiran yang lebih lanjut mengenai pelaksanaan semula dasar PPSMI.

 

  1. Keunggulan dan keberkesanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah diperakui oleh UNESCO dan merupakan amalan umum sedunia, khususnya bagi pendidikan peringkat sekolah rendah yang merupakan pendidikan asas, mesti menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa yang paling dikenali oleh murid-murid untuk mempelajari mata pelajaran ilmu pengetahuan, termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik, kerana ini merupakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan.

 

Sehubungan itu, berasaskan prinsip keberkesanan pendidikan bahasa ibunda, Dong Jiao Zong dengan tegasnya membantah kerajaan melaksanakan semula dasar PPSMI di sekolah rendah supaya tidak mengganggu pembelajaran Sains dan Matematik di kalangan murid-murid, dan menjejaskan ciri-ciri dan persekitaran pendidikan bahasa ibunda di sekolah rendah.

 

Pada halnya, mengikut Akta Pendidikan 1996, bahasa pengantar utama bagi SK, SJK(C) dan SJK(T) masing-masing ialah bahasa kebangsaan, bahasa Cina dan bahasa Tamil. Oleh itu, dasar PPSMI bukan sahaja mengingkari Akta Pendidikan, bahkan juga menghakis ciri-ciri pendidikan bahasa ibunda di semua aliran sekolah rendah.

 

Misalnya di SJK(C), pelaksanaan dasar PPSMI bukan sahaja menyebabkan jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dalam bahasa Cina berkurang secara mendadak, malah dalam peperiksaan UPSR, hanya kertas soalan peperiksaan Pemahaman dan Penulisan Bahasa Cina dijalankan dalam bahasa Cina, manakala kertas soalan bagi subjek-subjek yang lain termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik akan dijalankan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ini jelas telah menjejaskan ciri-ciri SJK(C) yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

 

  1. Dong Jiao Zong mengakui kepentingan bahasa Inggeris yang berperanan sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa pengantaraan dalam era teknologi maklumat masa kini, maka kami menyokong sepenuhnya usaha kerajaan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid, tetapi bukan melalui pendekatan dasar PPSMI. Peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid harus dilaksanakan berdasarkan kurikulum, tenaga pengajar, bahan-bahan mengajar dan kaedah pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris, supaya menepati prinsip pendidikan dan mencapai kesan yang diharapkan.

 

  1. Dong Jiao Zong menyeru semua lapisan masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan pendidikan yag prihatin akan pendidikan bahasa ibunda, termasuk pertubuhan-pertubuhan Cina di Sarawak, lembaga pengurus sekolah, persatuan alumni, PIBG dan pertubuhan-pertubuhan yang berkenaan di SJK(C) berpegang teguh untuk membantah dasar PPSMI demi mempertahankan ciri-ciri pendidikan bahasa ibunda, dan memastikan murid-murid untuk terus membelajari mata pelajaran Sains dan matematik dalam bahasa ibunda supaya memperolehi hasil pembelajaran yang paling berkesan.

Dong Jiao Zong: Kaji semula penambahan kemasukan Matrikulasi

Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong
26 April 2019
Dong Jiao Zong: Kaji semula penambahan kemasukan Matrikulasi

Pada 24 April, Menteri Pendidikan Dr.Maszlee Malik mengumumkan bahawa kabinet telah memutuskan agar kuota pengambilan pelajar ke program kolej matrikulasi dikekalkan pada kadar 90% untuk bumiputera dan 10% untuk bukan bumiputera. Pada masa yang sama, bilangan pengambilan kemasukan pelajar ke kolej matrikulasi telah bertambah dari 25 ribu sebelum ini, kepada 40 ribu.

Bagi pihak Dong Jiao Zong, dasar pengambilan pelajar ini tidak masuk akal, dan sukar diterima. Malah, kami berpandangan bahawa proses keputusan ini dilakukan secara tergesa-gesa. Langkah menambah pengambilan pelajar tanpa kajian dan analisis yang terperinci dan menyeluruh bertentangan dengan profesional pendidikan, dan ia amat mengecewakan. Justeru itu, Dong Jiao Zong menggesa agar Kementerian Pendidikan menangguhkan pelaksanaan dan mengkaji semula dasar ini.

Untuk sekian lama, terdapat unsur diskriminasi dalam sistem pengambilan pelajar di institusi pengajian awam. Pelajar program kolej matrikulasi bersaing dengan pelajar tingkatan enam atas gelanggang yang tidak sama rata untuk memasuki universiti. Kami bertanggapan bahawa kerajaan Pakatan Harapan harus memperlihatkan tekad politik untuk melaksanakan pelbagai dasar reformasi, termasuklah pemansuhan dasar yang mengehadkan 10% kuota sahaja untuk permohonan pelajar bukan bumiputera, agar ia dibuka bebas kepada pelajar daripada semua kaum.

Kami memohon Unit Pengambilan Universiti (UPU) dan universiti awam untuk mengumumkan kayu ukur dan piawaian yang digunakan sepanjang proses pengambilan dan pengagihan pelajar ke universiti, agar diyakini orang awam. Pada masa yang sama, KPM harus mengkaji semula dasar pengambilan pelajar universiti awam yang tidak adil, memansuhkan kuota berdasarkan kaum, sebaliknya dipertimbangkan faktor meritokrasi, sosial-ekonomi, desa-bandar dan sebagainya, malah dengan prinsip yang lebih adil, terbuka dan telus, untuk mereformasikan sistem pengambilan pelajar universiti.

Hakikatnya, KPM telah cuba menjenamakan semula kursus tingkatan enam untuk beberapa tahun kebelakangan, agar lebih ramai pelajar tertarik untuk mengikuti tingkatan enam. Namun, sistem pengambilan pelajar universiti awam yang berat sebelah telah mengakibatkan pelajar menjauhkan diri daripada tingkatan enam. 

Akhir kata, kami menyeru agar KPM menangguhkan keputusan tergesa-gesa untuk menambah pengambilan matrikulasi. Sementara itu, kami juga menyeru agar KPM mendengar suara rakyat sebelum melaksanakan dasar pendidikan pada masa depan, malah mengambil sikap yang profesional, statistik yang wajar dan analisis yang meyakinkan untuk mengolah restu rakyat. 

Kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong
25 April 2019

Setelah pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg, Menteri Pendidikan Dr.Maszlee Malik mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menjadi negeri pertama yang melaksanakan semula dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Dong Jiao Zong amat prihatin terhadap perkembangan ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:

Dasar PPSMI yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun 2003 telah mengundang kesan negatif terhadap pembelajaran ramai pelajar, di samping mengakibatkan pembaziran dana awam dan sumber pendidikan. Akhirnya kerajaan mengakui kegagalan, dan memansuhkan dasar ini pada tahun 2009. Kini, pelaksanaan semula dasar ini umpama mengulangi kesilapan lalu, menjadikan pelajar sebagai tikus makmal dan mengorbankan kebanyakan pelajar. Dong Jiao Zong dengan tegas membantah dasar yang tidak mendatangkan manfaat untuk pembangunan pendidikan negara ini.

Setelah Dr.Maszlee Malik mengumumkan bahawa Sarawak sebagai negeri pertama yang melaksanakan semula dasar PPSMI, apakah ia bermakna KPM juga akan melaksanakan dasar PPSMI di negeri yang lain seterusnya? Dong Jiao Zong menggesa agar KPM mengumumkan butiran terperinci dasar ini dengan segera, memandangkan dasar ini sememangnya memberi kesan yang amat mendalam terhadap pembangunan negara.

 

Keunggulan dan keberkesanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah diiktiraf oleh UNESCO dan seluruh dunia. Malahan di peringkat sekolah rendah sebagai pendidikan pencerahan, pelajar harus dibenarkan untuk menggunakan bahasa ibunda yang paling fasih untuk dirinya ketika menimba ilmu (termasuk sains dan matematik). Pendekatan ini adalah cara yang paling berkesan.

Justeru itu, atas prinsip asas pendidikan bahasa ibunda, Dong Jiao Zong membantah pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah, agar pembelajaran sains dan matematik tidak dipengaruhi kesan negatif, di samping suasana dan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahasa ibunda tidak dijejaskan.

Hakikatnya, menurut Akta Pendidikan 1996, bahasa pengantar untuk pelbagai aliran pendidikan adalah bahasa ibunda masing-masing. Justeru itu, pelaksanaan dasar PPSMI bukan sahaja melanggar Akta Pendidikan, malah menghakis teras pendidikan bahasa ibunda di sekolah.

Mengambil contoh sekolah rendah jenis kebangsaan cina, seandainya dasar PPSMI dilaksanakan, bukan sahaja waktu yang menggunakan bahasa Cina sebagai pengantar berkurang secara mendadak, malah dalam peperiksaan UPSR, hanya kertas bahasa Cina dan karangan bahasa Cina menggunakan bahasa Cina. Kertas yang selebihnya, termasuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik dan Sains kesemuanya menggunakan bahasa selain bahasa Cina sebagai bahasa pengantar. Situasi ini telah menjejaskan ciri-ciri sekolah rendah jenis kebangsaan cina.

Dong Jiao Zong menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk mempertingkatkan daya penguasaan bahasa Inggeris, tetapi bukan melalui dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sebaliknya mengambil pendekatan sejajar dengan teori pengajaran bahasa, iaitu memperbaiki dan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui mata pelajaran itu sendiri. Usaha ini hanya berkesan seandainya kita mengambil langkah yang tuntas dan menyeluruh. Bagi Dong Jiao Zong, untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar, matlamat, sukatan pelajaran, waktu pengajaran, bahan pengajaran, kaedah pengajaran, tenaga guru, kemudahan dan sebagainya dalam pengajaran bahasa Inggeris itu harus diperbaiki. Hanya dengan cara yang sejajar dengan teori pendidikan, barulah usaha ini menepati sasarannya.  

Dong Jiao Zong menyeru semua individu dan pertubuhan yang prihatin terhadap pendidikan bahasa ibunda, terutamanya kesemua pertubuhan Cina di Sarawak, juga persatuan lembaga pengurus sekolah rendah cina, alumni, persatuan ibu bapa dan guru, juga badan-badan yang berkenaan, supaya mempertahankan pendirian dengan tegas, agar teras pendidikan bahasa ibunda dipertahankan, lantas pelajar boleh mempelajari mata pelajaran sains dan matematik dengan bahasa ibunda, dan mencapai pembelajaran yang paling berkesan. 

Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan media bersama Dong Zong dan Jiao Zong
9 April 2019

Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad menyatakan bahawa kerajaan akan melaksanakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dong Zong dan Jiao Zong amat prihatin terhadap perkembangan ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:

  1. Ketika Tun Mahathir menyandang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2003, beliau telah melaksanakan dasar PPSMI tanpa mempedulikan bantahan daripada golongan etnik masing-masing. Walau bagaimanapun, dasar yang bercanggah dengan teori pendidikan bahasa ini telah berakhir dengan kegagalan. Bukan sahaja tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar tidak dipertingkatkan, malah mengundang kesan negatif terhadap pembelajaran sains dan matematik pelajar, umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

    Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan pada tahun 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui pada 23 Jun, bahawa keberkesanan dasar PPSMI tidak begitu menyerlah setelah enam tahun pelaksanaan. Kadar keberkesanannya hanya 2-3%, lantas kerajaan mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI pada Julai 2009. Justeru itu, Dong Jiao Zong amat kesal apabila Tun Mahathir mengungkit semula dasar PPSMI setelah menyandang jawatan perdana menteri buat kali kedua.  
  2. Keunggulan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), malah amalan yang lumrah di merata dunia. Lebih-lebih lagi mata pelajaran sains dan matematik, tidak mudah untuk ditelaah meskipun belajar dengan bahasa yang paling dikuasai, apatah lagi dengan bahasa yang agak asing untuk pelajar, sudah tentu keberkesanan pembelajarannya terjejas. Justeru itu, Dong Jiao Zong dengan tegas menolak dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, atas prinsip asas pendidikan bahasa ibunda, agar tidak terjejas pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini, dan juga suasana dan ciri-ciri sekolah jenis kebangsaan yang menjadikan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.

    3. Kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa teknologi, dan kepentingannya sebagai bahasa antarabangsa tidak dipertikaikan. Justeru itu, Dong Jiao Zong bersetuju bahawa usaha mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris harus dimulakan serta-merta, namun ia haruslah berdasarkan teori pendidikan bahasa, iaitu memperbaiki dan mempertingkatkan mata pelajaran itu sendiri secara menyeluruh – cara yang tepat dan berkesan. Untuk Dong Jiao Zong, penguasaan bahasa Inggeris pelajar boleh dipertingkatkan apabila matlamat pengajaran, sukatan pelajaran, waktu pengajaran, bahan pengajaran, kaedah pengajaran, tenaga guru, kemudahan dan sebagainya dalam pengajaran bahasa Inggeris itu diperbaiki.

    4. Jelas, pelaksanaan PPSMI dari tahun 2003 hingga 2009 telah dibuktikan gagal, malah menghakis dan meminggirkan kedudukan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu untuk semua golongan etnik. Justeru itu, Dong Jiao Zong menggesa kerajaan mengambil iktibar, dan jangan diulangi kesilapan itu sehingga kebanyakan pelajar dimangsakan. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong menyeru agar pertubuhan Cina seluruh negara dan badan-badan sekolah jenis kebangsaan cina berpendirian tegas untuk menolak dasar PPSMI, supaya ciri-ciri sekolah jenis kebangsaan cina dipertahankan, dan keberkesanan pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dijamin. 

Keputusan LPQB menerima lulusan UEC untuk menduduki CLP dialu-alukan

Kenyataan media Dong Zong
31 Mac 2019
Keputusan LPQB menerima lulusan UEC untuk menduduki CLP dialu-alukan

Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) mengumumkan keputusan mesyuarat LPQB pada 8 Mac 2019, bahawa mulai 1 Januari 2021, syarat kelayakan untuk pemegang UEC menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) adalah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran dalam Peperiksaan Bersepadu Menengah Tinggi, dan sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ O-Level/setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.

Berhubung perkara ini, kenyataan Dong Zong adalah seperti berikut:-

Pertama, Kami mengalu-alukan keputusan LPQB menerima kelayakan UEC Menengah Tinggi sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Kedua, Kami menganggap penilaian semula oleh LPQB ini berasaskan tiga perkara berikut:

1.Merujuk kepada syarat kelayakan lulusan UEC yang diterima beberapa universiti di United Kingdom untuk program Sarjana Muda Undang-Undang.
2.Merujuk kepada syarat kelayakan lulusan UEC yang diterima universiti-universiti lain untuk program Sarjana Muda;
3.Kesan kepada lulusan UEC yang sedang mengikuti program Sarjana Muda Undang-Undang lantaran pengumuman pada 5 Jun tahun lalu.

Pengumuman 5 Jun 2018 akhirnya diperbetulkan, daripada kelayakan menggariskan syarat lulus sekurang-kurangnya dua subjek dalam STPM/A Level untuk pemegang UEC, kepada lulus sekurang-kurangnya dua subjek dalam Peperiksaan Bersepadu Menengah Tinggi (UEC), dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ O-Level/setaraf dalam satu peperiksaan yang sama – untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), mulai 1 Januari 2021.

Pada masa yang sama, syarat kelayakan tersebut digunakan untuk pelajar yang telah mendaftarkan diri dengan program Sarjana Muda Undang-Undang selepas 5 Jun tahun lalu. Ia menunjukkan bahawa LPQB telah mengendalikan isu ini dengan pragmatik, dan berlandaskan profesional pendidikan.

Ketiga, Kami berpandangan bahawa pengumuman baru LPQB ini lebih baik dan terbuka berbanding keputusan pada 5 Jun 2018. Sungguhpun salah satu syarat kelayakan yang digariskan untuk menduduki CLPE adalah memperoleh sekurang-kurangnya tiga kepujian dalam SPM/O Level/setaraf untuk lulusan UEC Menengah Tinggi, kini ditambah kepada sekurang-kurangnya lima kepujian dalam SPM/O Level/setaraf, iaitu tambahan dua kepujian dalam SPM/O Level/setaraf. Dong Zong akan terus memperjuangkan isu ini dengan fakta dan rasional, sebagaimana yang dilakukan selama ini.