2018年9月3日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
3 September 2018
Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 anjuran kerajaan telah meluluskan beberapa resolusi, termasuk “merombak sistem pendidikan sedia ada berdasarkan falsafah pendidikan kebangsaan, untuk membina sistem pendidikan satu aliran”. Dong Zong dan Jiao Zong terkejut dan tidak berpuas hati dengan perkembangan ini. Yang berikut adalah kenyataan bersama Dong Zong dan Jiao Zong:
1. Untuk sekian lama, Pakatan Harapan (PH) mengecam dasar pendidikan yang tidak adil oleh mantan kerajaan, malah berjanji akan berlaku adil kepada semua aliran pendidikan seandainya menjadi kerajaan. Justeru itu, setelah PH memerintah, masyarakat Cina secara umumnya, termasuk Dong Zong dan Jiao Zong menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan baru ini. Kami berharap pendidikan bahasa cina diberikan ruang perkembangan yang lebih besar, dan diberi layanan yang sama rata. Namun demikian, Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 yang dianjurkan kerajaan telah meluluskan resolusi untuk membina sistem pendidikan satu aliran. Dong Zong dan Jiao Zong amat terkejut dan tidak berpuas hati dengan perkembangan ini. Lebih-lebih lagi, beberapa hari yang lalu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir mengungkit semula agenda untuk membina Sekolah Wawasan yang cuba menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semua aliran sekolah. Kini diluluskan pula resolusi untuk membina sistem pendidikan satu aliran, seolah-olah menyahut apa yang disarankan Tun. Fenomena ini agak menggusarkan. Kerajaan baru seharusnya menolak dasar pendidikan satu aliran oleh mantan kerajaan, untuk menunjukkan bahawa pertukaran kerajaan persekutuan buat kali pertama dalam sejarah selepas 61 tahun merdeka sedang meluncurkan Malaysia di landasan ke arah positif, kepelbagaian, keterbukaan dan progresif.
2. Dong Zong dan Jiao Zong menegaskan bahawa negara kita adalah masyarakat berbilang kaum dan budaya. Sistem pendidikan pelbagai aliran telah diamalkan sejak kemerdekaan, malah tiga jenis aliran sekolah telah didirikan pada peringkat pendidikan sekolah rendah, dengan bahasa Melayu, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar masing-masing. Hakikatnya, ini adalah hak yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan untuk semua golongan etnik. Justeru itu, pendidikan satu aliran bukan sahaja mengingkari semangat kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan, malah telah mencabul hak asasi setiap golongan etnik. Kami tidak akan berkompromi dalam isu ini.
3. Jikalau diimbas sejarah, kewujudan sekolah pelbagai aliran telah menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran negara, dengan memupuk bakat-bakat untuk negara. Ia bukan sahaja aset istimewa yang dimiliki negara kita, malah menjadikan Malaysia mempunyai kelebihan ketika bersaing di peringkat global. Justeru itu, kerajaan baru seharusnya memperkasa dan mempertahankan pembangunan sistem pendidikan pelbagai aliran untuk kebaikan kepada negara. Resolusi yang diusulkan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 adalah sesuatu yang terhasil daripada mentaliti ketinggalan zaman, ketika “matlamat akhir” digariskan pada tahun 1950-an. Mentaliti perkauman ekstrem yang sempit dan ketinggalan zaman ini harus dikecam dan dicegah, agar tidak menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara, yang sudah semestinya tidak menguntungkan pembangunan negara.
4. Ketika menyampaikan perutusan hari kemerdekaan, perdana menteri berjanji, kerajaan baru akan bertindak adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Hakikatnya, ia juga hasrat rakyat jelata. Oleh itu, Dong Zong dan Jiao Zong berharap agar perdana menteri melaksanakan apa yang diperkatakan, dengan menunaikan janji tersebut, termasuk menunaikan janjinya terhadap pendidikan bahasa Cina dalam manifesto pilihan raya umum secepat mungkin, agar integritinya terangkat. Pada masa yang sama, Dong Zong dan Jiao Zong menggesa agar kerajaan menggubal satu dasar yang adil untuk pendidikan pelbagai aliran, dengan mentaliti yang baru dan terbuka. Nilai dan sumbangan sekolah pelbagai aliran harus diiktiraf, dan masalah di mana pendidikan bahasa Cina tidak menerima layanan adil harus diselesaikan secara tuntas.
2018年9月1日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
1 September 2018
Meraikan Kepelbagaian Tunggak Perpaduan
Media cetak bahasa Cina melaporkan wawancara The Malaysian Insight (TMI) bersama Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad, menyentuh isu Sekolah Wawasan yang mencungkil pertikaian. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
- Menurut Sin Chew Daily yang menyiarkan semula laporan TMI, “PM Tun Mahathir mengungkit semula dasar Sekolah Wawasan, yakin dengan idea bahawa meletakkan semua pelajar di bawah satu bumbung membantu untuk mencapai matlamat perpaduan kaum”; “Pernah saya mencadangkan agar sekolah daripada tiga aliran ditempatkan bersama, tetapi ditolak pejuang pendidikan yang ekstrem”.
Untuk menjawab kenyataan PM, kami menganggap, hubungan etnik negara belum mencapai keharmonian sepenuhnya menjelang ulangtahun kemerdekaan ke-61. Ramai politikus menuding jari kepada kewujudan sekolah pelbagai aliran, sementara sesetengah mempercayai hujah sebegini tanpa berfikir panjang. Hakikatnya, punca sebenar keharmonian kaum tidak tercapai adalah kerana kegagalan kerajaan lalu untuk melaksanakan dasar keadilan, keterbukaan dan kepelbagaian, sehingga berlaku polarisasi kaum pada hari ini.
Dong Zong berpandangan bahawa terdapat pelbagai kaedah untuk memupuk perpaduan, termasuk pentadbiran kerajaan, khususnya dari segi perundangan, dasar dan pelaksanaan langkah-langkah; meraih pemikiran dan wacana yang terbuka, progresif dan kepelbagaian; memberi layanan yang adil kepada semua etnik dalam semua bidang; menghormati dan menyokong kepelbagaian dalam bahasa, budaya, aliran pendidikan, anutan agama; tidak mendiskriminasi, menindas atau meminggirkan sesuatu golongan; malah membuang fahaman dan ideologi yang sempit dan ketinggalan zaman.
- Kami ingin menyatakan bahawa program Sekolah Wawasan sebenarnya sedang melaksanakan “ultimate objective” atas nama “perpaduan rakyat”. Sekolah Wawasan adalah sejenis “sekolah peralihan”, untuk mengumpulkan sekolah daripada tiga aliran berbeza di bawah program Sekolah Wawasan, dan kemudiannya menyeragamkan bahasa pengantar kepada satu bahasa, iaitu bahasa kebangsaan (bahasa Melayu).
Kritikan kami terhadap Sekolah Wawasan bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi kita perlu mengimbas latar belakang sejarah dan konsepnya untuk memahami motif yang tersembunyi di sebalik program ini.
Pada 26 Ogos 1995, Menteri Pendidikan ketika itu, Najib Razak mengumumkan bahawa Sekolah Wawasan akan dibina di seluruh negara, di bawah Rancangan Malaysia ketujuh (tahun 1996-2000), iaitu menempatkan sekolah yang berlainan aliran, Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam kawasan yang sama. Pada Disember 1995, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengemukakan kertas bertajuk “Sekolah Wawasan: Konsep dan Pelaksanaan” dalam satu mesyuarat. Ini kali pertama KPM mengetengahkan nama “Sekolah Wawasan”.
Perkara 4.2 dalam kertas “Sekolah Wawasan: Konsep dan Pelaksanaan” menyatakan:
“4.2 Dalam usaha mencapai matlamat perpaduan negara, pendidikan memainkan peranan yang amat penting. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berteraskan Penyata Razak 1956 jelas menegaskan tujuan dasar pendidikan sebagai alat perpaduan bagi rakyat negara ini, khususnya di kalangan kanak-kanak sekolah. Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang seragam bagi semua jenis sekolah dilihat sebagai satu ciri yang paling penting dan perlu dilaksanakan sepenuhnya secara beransur-ansur.”
Sehingga awal tahun 2000, barulah kandungan kertas “Sekolah Wawasan: Konsep dan Pelaksanaan” yang dirangka KPM terdedah kepada umum. Pada 25 Julai 2000, Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) mengumumkan usul yang diluluskan dalam mesyuarat, iaitu 14 buah parti komponen BN sebulat suara bersetuju dengan pembinaan Sekolah Wawasan. Kerajaan BN telah membina lima buah Sekolah Wawasan. Bagaimanapun, lantaran daripada bantahan masyarakat, cubaan kerajaan untuk merealisasikan “ultimate objective” yang terkandung dalam Penyata Razak 1956 secara beransur-ansur, iaitu “melaksanakan dasar pendidikan satu aliran yang seragam”, dan “penghapusan sekolah pelbagai aliran” telah digagalkan.
- Dong Zong menegaskan, kami sudi dan tegas untuk menyokong sebarang usaha dalam menyatupadukan rakyat dan integrasi pelajar dari sekolah pelbagai aliran, dengan syarat kerajaan memberi hak dan kebajikan secara adil kepada semua golongan etnik, dan menyokong pembangunan sekolah pelbagai aliran dengan sikap adil dan terbuka.
Namun, seandainya mana-mana pihak, termasuk kerajaan Pakatan Harapan ingin melaksanakan agenda tersembunyi untuk menyeragamkan semua aliran sekolah kepada satu, misalnya Program Sekolah Wawasan yang merealisasikan “ultimate objective” dalam Penyata Razak 1956, atas nama memupuk integrasi pelajar antara sekolah pelbagai aliran, kami akan tampil untuk menyatakan bantahan yang keras.
Dong Zong ingin menegaskan, bahawa kami tidak menolak perpaduan rakyat. Kami tidak berniat untuk mengasing-asingkan pelajar daripada pelbagai etnik. Kami tidak menolak integrasi pelajar, tetapi kami menolak kerana program Sekolah Wawasan dipergunakan untuk merealisasikan “ultimate objective”.
- Hakikatnya, pada 28 Julai 1985, KPM mengemukakan “Program Sekolah Integrasi”, malah mengumumkan pelaksanaannya pada tahun 1986. Program ini cuba menempatkan SK, SJKC dan SJKT bersama di bawah satu bumbung atas nama perpaduan. Program yang mahu menyeragamkan bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran dengan bahasa kebangsaan ini adalah pendahulu kepada program Sekolah Wawasan.
Lantaran daripada bantahan komuniti cina, KPM telah berunding dengan Dong Jiao Zong pada 7 November 1985. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantikan Program Sekolah Integrasi dengan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Di bawah RIMUP, sekolah daripada pelbagai aliran akan menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai perwakilan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru besar, guru penolong kanan, dan guru. Jawatankuasa ini melibatkan diri secara sukarela dalam lapan aktiviti khas di luar waktu persekolahan (larian rentas desa, racewalking, bola sepak, bola keranjang, bola jaring, bola baling, hari sukan kanak-kanak, pembersihan kawasan sekolah), namun tidak boleh campur tangan dalam hal bahasa pengantar, kurikulum, pentadbiran, agama dan akademik sekolah masing-masing dalam apa bentuk pun, dan tidak menjejaskan ciri-ciri dan martabat sekolah terlibat. Semua sekolah dimanfaatkan bersama melalui peningkatan kerjasama. Pada tahun 1986, Buku Panduan Rancangan Integrasi Murid-murid Untuk Perpaduan diterbitkan KPM. 55 buah sekolah rendah dipilih ke dalam 18 kumpulan untuk eksperimen program ini pada awal tahun 1986.
Hakikatnya, RIMUP dilaksanakan untuk beberapa tahun di sekolah terbabit, dan mencapai kesan yang agak baik. Namun ia diketepikan oleh KPM kemudiannya. Pada tahun 2010, KPM mengetengahkan semula RIMUP. Aktiviti silang budaya dianjurkan oleh sekolah rendah pelbagai aliran yang terbabit, untuk mempertingkatkan integrasi antara pelajar. Ia memberi kesan tertentu, tetapi pihak yang berkenaan tidak menyokong dengan bersungguh-sungguh, terutamanya dari segi sokongan dana kos perbelanjaan.
Kami ingin menyatakan bahawa seandainya pihak berkenaan menyokong pembangunan sekolah pelbagai aliran, maka kami akan menyokong aktiviti untuk memperkukuhkan perpaduan pelajar antara sekolah dari pelbagai aliran, terutamanya Buku Panduan Rancangan Integrasi Murid-murid Untuk Perpaduan 1986 yang telah dipersetujui kedua-dua pihak Dong Jiao Zong dan KPM.
Kami menyeru agar kerajaan memandang berat bajet yang diperuntukkan, membekalkan dana yang mencukupi untuk menjayakan RIMUP.
2018年7月2日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
Pendirian Dong Zong Konsisten: Menginstitusikan Pembinaan Sekolah Pelbagai Aliran
2 Julai 2018
Menurut Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, beliau bersama Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah mengadakan taklimat pada 10 Oktober 2017, untuk menerangkan kepada Pengerusi Dong Zong dan Jiao Zong tentang kedudukan geografi dan kewajaran di sebalik pembinaan dan perpindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang bakal dilaksanakan. Menurut Wee, Dong Zong tidak membantah lokasi yang terpilih ketika itu, namun Dong Zong mempertikaikannya pula dalam satu kenyataan media pada 29 Jun. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:
- Dalam isu pembinaan SJKC, Dong Zong menegaskan bahawa kami berpegang kepada prinsip dan pendirian menginstitusikan pembinaan SJKC. Ketika berdepan sama ada dengan mantan kerajaan Barisan Nasional mahupun kerajaan Pakatan Harapan, kami tetap berpegang kepada pendirian yang sama, iaitu pembinaan SJKC haruslah mengikut formula pembinaan sekolah rendah kebangsaan – pembinaan sekolah pelbagai aliran termasuk SJKC haruslah untuk menampung keperluannya. Tanah dan kosnya pula harus ditanggung kerajaan sepenuhnya.
- Ketika bertemu dengan Presiden MCA Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong pada 10 Oktober 2017, pimpinan Dong Zong telah menyerah satu memorandum berkaitan dengan pendidikan bahasa cina, menyentuh isu-isu yang terdesak untuk diselesaikan, termasuk menggesa agar kerajaan meluluskan permohonan Dong Zong untuk membina sebuah sekolah menengah persendirian cina (affiliated school); menginstitusikan pembinaan sekolah jenis kebangsaan cina, peruntukan yang adil kepada sekolah jenis kebangsaan cina, mengiktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC) dan menginstitusikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian cina.
Pada 12 November 2017, ketika berucap dalam jamuan malam anjuran Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Pulau Pinang, pengerusi Dong Zong telah menyatakan pandangan dalam isu pemilihan lokasi pembinaan dan perpindahan “10 (bina) + 6 (pindah)”sekolah (Projek 10+6). Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat Dong Zong yang diadakan pada 18 November 2017, “projek 10+6” juga dibincangkan, dan diputuskan agar dikenalpasti oleh Persatuan Lembaga Pengurus negeri masing-masing berkenaan lokasi dan bilangan sekolah yang tepat dan perlu untuk dibina. Dalam satu temubual media pada 21 Januari 2018, pengerusi Dong Zong berkata, kesemua 16 buah sekolah yang diluluskan pembinaan dan perpindahan kebanyakannya terletak di kawasan yang baru dimulakan pembangunannya beberapa tahun kebelakangan. Sebaliknya, menurut siasatan Dong Zong, kawasan yang memerlukan pembinaan SJKC tidak berada dalam senarai projek 10+6 yang diumumkan.
Daripada maklumat di atas, tuduhan Datuk Seri Wee Ka Siong bahawa “Dong Zong tidak membantah lokasi pembinaan dan perpindahan sekolah sebermulanya” adalah tidak berasas. Kami memohon agar Wee Ka Siong lebih berhati-hati dan menyemak fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.
- Selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, setiausaha jawatankuasa pembinaan 5 SJKC dan perpindahan 2 SJKC di Johor, Datuk Tan Cher Puk berkata, wakil rakyat Pakatan Harapan harus meluluskan peruntukan secepat mungkin, terutamanya RM20 juta yang diperlukan di peringkat awal, untuk memastikan proses pembinaan dan perpindahan SJKC disempurnakan dengan lancar. Kenyataan ini mengundang kekeliruan, apakah upacara pecah tanah sebelum hari pengundian PRU14 diadakan tanpa peruntukan kerajaan? Sejak pengumuman projek 10+6 pada 26 Oktober 2017, sehinggalah parlimen dibubarkan pada 7 April 2018, adakah kerajaan ketika itu meluluskan secara rasmi peruntukan yang diperlukan untuk pembinaan dan perpindahan SJKC? Mengapa kerajaan pada ketika itu tidak memperuntukkan tanah sekolah untuk projek 10+6 ini, sebaliknya menuntut agak pemaju perumahan menderma tanah untuk pembinaan sekolah?
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula 8 buah SJKC daripada projek “10+6” ini. Tujuan dan hasrat Dong Zong adalah menggesa agar penilaian semula KPM bukan sahaja menjernihkan kekeliruan di atas, malah memohon agar kerajaan memilih lokasi pembinaan sekolah di kawasan yang padat penduduknya, dan juga terdesak keperluannya untuk membina SJKC.
- Dong Zong menyeru agar parti pemerintah dan parti pembangkang mengetepikan perselisihan antara satu sama lain, untuk menyelesaikan masalah ini atas prinsip menghormati pendidikan bahasa ibunda dan memenuhi keperluan pendidikan masyarakat. Sejajar dengan pertukaran kerajaan baru, kami menaruh harapan agar kerajaan baru memperlihatkan tekad untuk melaksanakan pembaharuan, dan menunjukkan keikhlasan dengan melayan sekolah pelbagai aliran secara adil. Mentaliti kerajaan lama untuk menjadikan sistem pendidikan kepada satu aliran sahaja harus dikikis. Kami mencadangkan agar kerajaan mengambil sikap yang lebih telus dan terbuka, menubuhkan satu jawatankuasa yang merangkumi parti pemerintah dan pembangkang, pertubuhan pendidikan berkenaan dan ahli akademik untuk meneliti dasar pembinaan dan perpindahan SJKC dan SJKT dari sudut keperluan pendidikan dan profesional pendidikan, agar masalah ini diselesaikan secara tuntas.
2018年6月29日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
29 Jun 2018
SJKC harus dibina mengikut keperluan
Kerajaan harus tanggung semua kosnya
Menurut pengumuman Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik, daripada 16 buah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang diluluskan pembinaan dan perpindahan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelumnya, enam buah sekolah yang berada di dalam senarai perpindahan sudah dimulakan pembinaannya; dua buah sekolah dalam senarai pembinaan yang telah dimulakan pembinaan akan diteruskan. Lapan buah sekolah selebihnya yang berada dalam senarai pembinaan, akan dikaji semula berdasarkan keperluan, keadaan fiskal, faktor ketelusan dan sebagainya. Berhubung perkara ini, kenyataan media Dong Zong adalah seperti berikut:-
- Sesungguhnya, 16 buah sekolah dalam senarai pembinaan dan perpindahan yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional sebelumnya, amat sukar difahami prinsip dan ukuran penentuan lokasinya. Sesetengah kawasan yang penuh sesak dengan pelajar, didesak bertahun-tahun agar dibina sekolah di situ, tidak berada dalam senarai. Sebaliknya, sesetengah lokasi yang dipilih, berada dalam kawasan yang bakal dibangunkan kemudiannya. Keadaan sedemikian bercanggah dengan prinsip untuk meredakan masalah keterdesakan keperluan. Beberapa lokasi yang diluluskan mantan kerajaan BN dipertikaikan, misalnya kawasan perumahan baru yang jarang penduduknya (misalnya SJKC Lee Loy Seng di Ijok), kawasan yang mempunyai beberapa buah SJKC berdekatan dengan populasi pelajar antara 400 hingga 600 (misalnya Kota Seriemas di Negeri Sembilan). Tidak ditolak kemungkinan lokasi tersebut dipilih atas pertimbangan politik untuk meraih undi.
2.Kami menggesa agar kerajaan boleh menunaikan manifesto pilihan raya umum, iaitu melaksanakan dasar yang adil kepada semua aliran sekolah, sementara menilai semula projek pembinaan dan perpindahan SJKC berkenaan.
- Kami menegaskan bahawa kerajaan seharusnya bertindak adil ketika mengendalikan isu pembinaan dan perpindahan sekolah pelbagai aliran pendidikan; dan menggubal dasar berkenaan secara saksama mengikut keperluan pendidikan.
Kami memohon agar kerajaan menginstitusikan pembinaan sekolah pelbagai aliran, merujuk kepada formula pembinaan sekolah kebangsaan, dengan kos pembinaan dan tanah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Selain itu, kerajaan seharusnya menyatakan dengan jelas pengagihan tanah simpanan untuk sekolah kepada semua aliran pendidikan, malah memformulakan ukuran penambahbinaan sekolah mengikut prinsip perancangan komuniti, struktur populasi dan keperluan. Kerajaan harus memberi arahan kepada kementerian berkenaan mengikut panduan yang dirangka Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, agar sekolah pelbagai aliran boleh dibina secara berkesan. (tamat)
2018年6月8日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
8 Jun 2018
Kelas Komputer Percuma Untuk SJKC
Dalam satu surat rasmi daripada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 17 April 2018, sekolah tidak dibenarkan untuk melaksanakan kelas komputer pada waktu persekolahan. Walau bagaimanapun, kelas komputer boleh dilaksanakan di luar waktu persekolahan. Yang berikut adalah kenyataan Dong Zong berhubung isu ini:
- Dalam surat rasmi KPM tersebut, pelaksanaan kelas komputer dengan kutipan yuran adalah bercanggahan dengan ketetapan dan panduan surat pekeliling. Kami ingin menegaskan bahawa kami menyokong larangan KPM untuk melaksanakan kelas komputer dengan kutipan yuran pada waktu persekolahan. Pendidikan sekolah rendah di negara kita adalah pendidikan wajib yang percuma.
- Kami menegaskan bahawa sekolah jenis kebangsaan cina adalah juga sebahagian daripada pendidikan percuma yang ditawarkan negara. Kesemua kurikulum dalam waktu persekolahan adalah percuma. KPM harus bertanggungjawab untuk menawarkan tenaga guru dan kurikulum bagi waktu persekolahan, dan bukan dikendalikan syarikat swasta. Kesemua kurikulum sepanjang waktu persekolahan wajib diikuti semua pelajar, dan tiada mana-mana pihak yang boleh memaksa pelajar untuk membayar yuran bagi pembelajaran yang tidak dijadualkan dalam kurikulum. Melaksanakan kelas komputer dalam waktu persekolahan, dan mengaturkan pelajar yang tidak membayar yuran untuk mengulangkaji di kelas mahupun perpustakaan, bukan sahaja tidak mematuhi penetapan kurikulum, malah tidak adil untuk pelajar berkenaan. Seandainya kelas komputer mahu dilaksanakan, maka ia haruslah dijadualkan di luar waktu persekolahan, dan menjadi sesi yang boleh dipilih secara bebas oleh pelajar, sama ada untuk mengikutinya atau tidak.
- Dong Zong menganggap pendidikan komputer di sekolah adalah tanggungjawab kerajaan. Kami menggesa agar KPM merancang semula pendidikan komputer, membuka kelas komputer untuk SJKC secara percuma, dengan bahasa cina sebagai pengantar, dilengkapi dengan kurikulum yang formal dan sesuai, tenaga pengajar, kemudahan dan pemeliharaan.
- KPM harus memperbetulkan amalan yang tidak adil terhadap SJKC sebelum ini, malah memacu pembangunan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), dan mengaplikasikan informasi dan teknologi komunikasi (ICT) dalam pengajaran, pembelajaran dan sistem pentadbiran sekolah. Sukatan kurikulum berkenaan harus diperbaiki, agar pembelajaran lebih berkesan. Malah, peranti ICT seperti komputer harus dibekalkan kepada SJKC secara mencukupi, disusuli dengan kelas komputer, tenaga pengajar, bahan pengajaran, sistem pentadbiran sekolah yang dikomputerisasikan, bantuan teknikal dan sebagainya.
- Kami menyeru agar Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menggunakan kuasanya untuk menangguhkan perintah bertarikh 17 April, yang dikeluarkan melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Atas kepentingan pelajar dan suara ibu bapa, penangguhan ini membolehkan pihak sekolah diberikan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan masalah kelas komputer berbayar dengan sebaiknya.
2018年3月28日 | Kenyataan Media
Kenyataan Media Dong Zong
28 Mac 2018
Jangan alih tumpuan, Dong Zong seru kerajaan mulakan prosedur pengiktirafan UEC
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Datuk Seri Najib telah mencadangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sejak tahun 2013 lagi, namun tidak berjaya kerana tidak diterima pimpinan Dong Zong ketika itu. Berhubung perkara ini, kenyataan Dong Zong adalah seperti berikut:-
1. Sejak beberapa tahun kebelakangan, berkali-kali Dong Zong menegaskan bahawa kami menerima gred kepujian bahasa Melayu dalam SPM sebagai syarat kerajaan menerima UEC untuk kelayakan memasuki universiti awam. Jikalau itulah yang dikehendaki, maka kami telah memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan untuk mengiktiraf UEC. Kami menyeru agar kerajaan menunjukkan keikhlasannya, dengan segera memulakan prosedur penerimaan UEC sebagai syarat kemasukan universiti awam.
2. Kami menyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan isu pengiktirafan UEC, atau mengalihkan tumpuan dengan hujah yang mengelirukan. Kami bertanggapan bahawa seandainya kerajaan ikhlas untuk menyelesaikan isu pengiktirafan UEC, mereka boleh memulakan prosedurnya dengan segera, dan tidak perlu menabur janji dalam manifesto agar isu diselesaikan kerajaan penggal seterusnya.
3. Untuk sekian lama, Dong Zong menyeru agar pihak yang berkenaan dalam kerajaan berjumpa dengan kami untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC. Sekali lagi kami menggesa agar kerajaan berjumpa dengan perwakilan Dong Zong, agar isu ini diselesaikan dengan baik.