Sesi interaksi diadakan untuk mengkaji isu pengiktirafan UEC

Sesi interaksi diadakan untuk mengkaji isu pengiktirafan UEC

Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) telah mengadakan satu mesyuarat meja bulat berhubung kontroversi “Pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu)”, menyatakan bantahan terhadap pengiktirafan UEC, di samping melontarkan beberapa tuduhan yang tidak berasas dan tidak masuk akal. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:

  1. Kami ingin menegaskan, bahawa kewujudan sekolah pelbagai aliran dijamin Akta Pendidikan. Ibu bapa berhak memilih mana-mana aliran sekolah untuk anak mereka, dan tiada sesiapapun boleh mengaitkan keputusan ini dengan soal “kesetiaan kepada negara”. Sesungguhnya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pada masa yang sama, menjamin hak setiap kaum untuk belajar, menggunakan dan memperkembangkan bahasa masing-masing. Tiada sesiapa dibenarkan mencabul hak yang dipersetujui bersama ketika semua golongan etnik memperjuangkan kemerdekaan negara. Dari zaman sebelum merdeka hinggalah sekarang, kesemua aliran sekolah membangun bersama. Pengiktirafan UEC tidak menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, malah tidak bercanggah dengan prinsip dan semangat perlembagaan negara.

Kami ingin menyatakan bahawa Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) memiliki kedudukan yang sah dari sisi perundangan dalam Akta Pendidikan sedia ada. Perkara ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak. Akta Pendidikan memperuntukkan hak dan kebebasan kepada ibu bapa dan anak untuk memilih aliran pendidikan, termasuk aliran pendidikan SMPC. Perkara ini juga tidak boleh dipertikai, dinafikan atau dicabul oleh mana-mana pihak. Pola pembangunan pendidikan global memperlihatkan kecenderungan ke arah kepelbagaian, agar negara terus maju ke depan. Negara akan menjadi mundur jikalau terus dibelenggu pemikiran dan hujah yang tertutup, sempit dan mono-lingualisme-kulturalisme.

  1. Amat dikesali, sesetengah pertubuhan dan individu langsung tidak memahami SMPC dan UEC, lantas melontarkan tuduhan yang tidak berasas dan tidak masuk akal terhadap SMPC dan UEC, bertitik tolak dari pemikiran dan hujah yang sempit dan ekstrem. Sudah tentu ianya bukan cara yang rasional untuk kita berdepan dengan isu pengiktirafan UEC.
  1. Kami ingin menegaskan bahawa silibus SMPC dirangka berdasarkan keperluan realiti dalam konteks negara kita sebagai masyarakat majmuk. Di samping itu, kami merujuk kepada piawaian pendidikan menengah antarabangsa, malah mematuhi prinsip yang digariskan kurikulum standard negara. Sepanjang proses merangka kurikulum standard, kami menjadikan kurikulum standard Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai blue print, menekankan lokaliti dan keterangkuman kepelbagaian dari semangatnya, memupuk semangat patriotisme dan memperluaskan pandangan antarabangsa pelajar dari segi kandungannya. Pendidikan moral, intelektual, jasmani dan kesenian ditekankan, untuk membentuk pelajar yang serba boleh. 

Pada masa yang sama, bahasa Melayu dijadikan sebagai mata pelajaran teras untuk sekian lama. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dihormati. Justeru itu, mana-mana tuduhan bahawa Dong Zong ekstrem dan silibus SMPC tidak selari dengan konteks negara adalah kenyataan yang memutarbelitkan fakta.

  1. Untuk meningkatkan pemahaman terhadap SMPC dan UEC, Dong Zong bersama beberapa pertubuhan pendidikan utama akan mengadakan satu sesi interaksi untuk membincangkan isu UEC. Pakar akademik, badan pendidikan, pertubuhan Cina, perwakilan dari parti pemerintah dan pembangkang akan diundang untuk menyertai sesi interaksi antara etnik ini, bertukar-tukar pendapat berasaskan fakta, dan memberi pandangan yang lebih objektif terhadap isu UEC. Dengan perbincangan dan interaksi yang rasional, kami yakin ia dapat mengesahkan dan menyerlahkan nilai akademik UEC, juga sumbangannya terhadap negara. 

Silibus SMPC selari dengan konteks masyarakat berbilang Dong Zong: Tiada alasan kerajaan tidak iktiraf UEC

Silibus SMPC selari dengan konteks masyarakat berbilang
Dong Zong: Tiada alasan kerajaan tidak iktiraf UEC

 

Ketika menjawab soalan ahli parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh telah menyenaraikan lima alasan mengapa kementeriannya tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan memasuki universiti awam. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:  

1.Dong Zong menegaskan bahawa silibus Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dirangka berdasarkan realiti negara kita sebagai masyarakat majmuk, selain piawaian pendidikan menengah antarabangsa. Silibus SMPC, termasuk mata pelajaran Sejarah, mematuhi prinsip yang digariskan kurikulum standard negara. Sepanjang proses merangka kurikulum standard, kami menjadikan kurikulum standard Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai blue print, menekankan lokaliti dan keterangkuman kepelbagaian dalam kandungannya, malah mengambil kira pandangan sejarah dalam dan luar negara. Kami memandang berat pemupukan semangat patriotisme, menekankan pendidikan moral, intelektual, jasmani dan kesenian. Kesemua ini selari dengan konteks negara kita sebagai masyarakat majmuk.

Ingin kami memperingatkan semua pihak agar memandang serius fakta ini, iaitu penggubalan silibus Sejarah sekolah kebangsaan menengah dan rendah yang bercanggahan dengan konteks negara sebagai masyarakat majmuk. Kandungan yang berat sebelah, mengutamakan etnik atau agama tertentu, pandangan sejarah dari perspektif tunggal yang sempit, kesemua ini menuntut pembetulan serta-merta daripada kerajaan dan KPM. Justeru itu, kami ingin menyatakan bahawa kami tidak akan menerima suntingan silibus sejarah SMPC dengan rujukan kepada kandungan SPM, sebagai syarat sampingan pengiktirafan UEC oleh kerajaan.

2. Pada tahun 2015, Dong Zong telah bertemu dengan Menteri Pendidikan ketika itu, iaitu Mahdzir Haji Khalid. Menteri Pendidikan berjanji untuk mengaturkan pertemuan antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Dong Zong untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC. Kami juga pernah mengutus surat kepada Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi, memohon agar mesyuarat di atas diadakan, namun tidak dibalas surat itu sehingga hari ini. Kami menggesa agar kerajaan mengambil sikap yang positif untuk memanggil mesyuarat ini serta-merta, dan jangan dilengah-lengahkan, malah tidak lagi balas-membalas tanpa bersemuka, sama ada di ruang media mahupun parlimen dalam isu pengiktirafan UEC.

3. Menurut Surat Pekeliling Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta bertarikh 19 Mac 2004, kelulusan Sijil UEC diiktiraf sebagai kelayakan masuk ke IPTS, tetapi tidak boleh diterima untuk kemasukan ke IPTA, termasuk Kolej Tuanku Abdul Rahman (dinaik taraf kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman pada tahun 2013) dan program-program IPTS yang difrancaiskan daripada IPTA. Namun demikian, di laman rasmi Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, UEC telah disenaraikan sebagai salah satu syarat kelayakan kemasukannya. Justeru itu, kami menggesa agar Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman memberi penjelasan berhubung isu ini secepat mungkin.

4. Ringkasnya, reaksi kerajaan dalam isu pengiktirafan UEC memperlihatkan sikap yang tidak berhati-hati dengan fakta, tidak bertitik tolak dari perspektif akademik, sebaliknya menggunakan bahasa dan taktik politik untuk berdepan dengan isu ini. Akhirnya kita menyaksikan hujah yang berdolak-dalik sebagai alasan tidak mengiktiraf UEC, dan ditambah dengan syarat-syarat sampingan, sehingga rakyat hilang yakin terhadap kerajaan. Jelas, kerajaan tidak ikhlas untuk mengiktiraf UEC, sebaliknya sekadar memperlekehkan tuntutan masyarakat ini, dan tindakan ini amat mengecewakan.

Dong Jiao Zong sanggah kenyataan Muhyiddin: Silibus SMPC serasi dengan konteks negara kita

Dong Jiao Zong sanggah kenyataan Muhyiddin:
Silibus SMPC serasi dengan konteks negara kita

Ketika diwawancara media bahasa Cina, mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, kini sebagai Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dong Zong bersikap ekstrem dalam isu pengiktirafan UEC, tidak berganjak untuk meminda kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Malah, beliau menuduh bahawa mata pelajaran sejarah SMPC kurang menerapkan nilai kebangsaan, tidak memenuhi matlamat negara, lantas UEC tidak diiktiraf sehingga hari ini. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Jiao Zong: 


1.Dong Jiao Zong ingin menyatakan bahawa sama ada sebelum atau selepas hampir 60 tahun merdeka, kepelbagaian etnik, budaya dan agama telah menjadi wajah semulajadi negara kita. Ciri-ciri keistimewaan agama, budaya, dan bahasa masing-masing adalah aset berharga, membentuk Malaysia yang diperkayakan dengan kepelbagaian. Mana-mana individu atau pertubuhan yang cuba menafikan fakta bahawa negara kita dibina pelbagai golongan etnik, atau memusnahkan pembangunan masyarakat majmuk di negara kita, adalah penghalang perpaduan dan kemajuan negara.

2.Dong Jiao Zong menegaskan bahawa kurikulum SMPC digubal berdasarkan situasi negara kita sebagai masyarakat majmuk, dan piawaian pendidikan menengah di peringkat antarabangsa. Kurikulum SMPC, termasuk mata pelajaran Sejarah selaras dengan kurikulum standard negara, malah menerapkan unsur lokaliti dan kepelbagaian dalam kandungannya, di samping mengambil kira perspektif pandangan dalam dan luar negara. Pemupukan semangat patriotisme diutamakan, ditekankan juga pendidikan moral, intelek, jasmani dan kesenian, sebagai tawaran pendidikan yang memenuhi keperluan negara kita sebagai masyarakat yang berbilang.

Jikalau diimbas penggubalan kurikulum Sejarah sekolah kebangsaan sama ada menengah mahupun rendah beberapa tahun kebelakangan, didapati sesetengah kandungan bercanggah dengan realiti negara kita sebagai masyarakat majmuk. Ia memperlihatkan kandungan yang berat sebelah, mengutamakan etnik dan agama tertentu, dengan pandangan sejarah dari perspektif tunggal dan sempit, menuntut pembetulan kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia serta-merta. Justeru itu, tuduhan bahawa Dong Jiao Zong bersikap ekstrem dan silibus Sejarah SMPC bertentangan dengan konteks negara adalah satu fitnah, juga tuduhan yang bercanggah dengan realiti, malah telah memutar belitkan fakta.

Pada hemat kami, Muhyiddin Yassin selaku mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, sering membuat kenyataan tanpa mengambil kira konteks Malaysia sebagai masyarakat berbilang ketika menyandang jawatannya. Hakikatnya, ia memperlihatkan beliau sebagai seorang pendukung dan pelaksana dasar pendidikan mono-lingualisme-kulturalisme, yang menghalang pembangunan sebuah masyarakat berbilang budaya. Lantas, ia bukan sesuatu di luar dugaan apabila beliau mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal seperti “Dong Jiao Zong bersikap ekstrem dalam isu pengiktirafan UEC”, “Dong Zong tidak berganjak dalam isu pemindaan kurikulum SMPC” dan sebagainya.

3.Dong Jiao Zong ingin menegaskan bahawa UEC bukan sahaja diiktiraf banyak universiti utama dan terunggul di dunia, malah SMPC telah melahirkan ramai bakat yang memberi sumbangan kepada negara. Di dalam negara, andainya benar apa yang diperkatakan oleh Muhyiddin berhubung silibus UEC, iaitu bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan, mengapa pula beliau membenarkan lepasan SMPC untuk melanjutkan pengajian di maktab perguruan tempatan ketika beliau menerajui KPM, sebagaimana yang ditekankan dalam wawancara? Jelas, kenyataan Muhyiddin yang berdolak-dalik menunjukkan bahawa keengganan kerajaan mengiktiraf UEC tiada kaitan dengan penolakan Dong Jiao Zong untuk meminda silibus SMPC, atau silibus UEC bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan. Dong Jiao Zong menyeru agar semua pihak menilai dari perspektif pendidikan dan akademik, dan bukan sudut politik ketika membincangkan isu pengiktirafan UEC.

4.Dong Jiao Zong menegaskan bahawa usaha untuk memperjuangkan pengiktirafan UEC adalah hasrat masyarakat Cina sekian lama, agar bakat terus dipupuk dan mereka yang berbakat tidak meninggalkan tanahair, lantas menyumbang kepada kemajuan, kemakmuran negara dan perpaduan. Kami akan terus bersikap sederhana untuk memperjuangkan pengiktirafan UEC dengan fakta. Kami tidak akan berganjak semata-mata untuk pengiktirafan UEC, sehingga tidak lagi berpegang kepada pendirian untuk mempertahankan pendidikan bahasa ibunda.

5.Dong Jiao Zong menyeru agar parti pemerintah dan pembangkang memahami hasrat masyarakat Cina memperjuangkan pengiktirafan UEC sekian lama, dan berdialog dengan Dong Jiao Zong dengan keikhlasan, agar isu pendidikan ini boleh diselesaikan dengan cepat. Langkah PRU semakin dekat, parti pemerintah dan pembangkang seharusnya membina satu suasana pendidikan yang demokrasi, terbuka, sama rata dan menghormati kepelbagaian. Malah dalam PRU akan datang, parti pemerintah dan pembangkang seharusnya menyatakan dengan jelas dalam manifesto mereka sama ada mereka menyokong pengiktirafan UEC. 

Kenyataan media Dong Zong berhubung peruntukan pendidikan dalam Belanjawan 2017

Kenyataan media Dong Zong berhubung peruntukan pendidikan dalam Belanjawan 2017


Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Dato Seri Najib Razak telah membentangkan peruntukan pendidikan dalam Belanjawan 2017 di Dewan Rakyat. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-

1. Belanjawan 2017 memperuntukkan RM600 juta kepada Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan 8 jenis Sekolah. Antaranya, sekolah kebangsaan diperuntukkan RM250 juta, dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah mubaligh, sekolah berasrama penuh, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah pondok yang berdaftar dan Maktab Rendah Sains MARA diperuntukkan RM50 juta masing-masing.

  1. SJKC diperuntukkan RM100 juta masing-masing dalam Belanjawan 2012 dan Belanjawan 2013, tetapi dikurangkan kepada RM50 juta selepas itu. Dong Zong menegaskan bahawa peruntukan kerajaan untuk pembangunan SJKC selama ini adalah tidak mencukupi, dan tidak adil. Sejak beberapa tahun kebelakangan, peruntukan kepada SJKC dikurangkan, tatkala harga barangan melonjak. Peruntukan yang sedikit ini semakin gagal memenuhi keperluan pembangunan SJKC.

    3. Dalam Belanjawan 2015 dan Belanjawan 2016, kerajaan memperuntukkan dana khas kepada sekolah conforming (sekolah menengah jenis kebangsaan). Namun tiada lagi dana diperuntukkan kepada sekolah conforming dalam Belanjawan 2017. Selain itu, kerajaan tidak pernah memperuntukkan dana kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) selama ini. Dong Zong telah menyerah memorandum kepada MCA pada Julai tahun ini, menggesa agar kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada sekolah conforming (SMJK), dan memperuntukkan sekurang-kurang RM80 juta kepada 60 buah SMPC di seluruh negara, berdasarkan perhitungan subsidi RM1000 untuk setiap pelajar.

    4. Dong Zong menekankan bahawa semua jenis sekolah di Malaysia adalah aset negara yang bernilai, melahirkan insan yang berbakat, dan menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan negara. Kami menyeru agar kerajaan memperbetulkan peruntukan pendidikan, mengagihkan peruntukan secara adil dan wajar kepada SJKC, SMPC, SMJK dan sebagainya.

Peruntukan Tabung Khas Pendidikan dalam Belanjawan 2012 hingga 2017 (RM)

Tahun SK SJKC SJKT SMJK Nota
2012 500 j 100 j 100 j Tiada peruntukan  
2013 400 j 100 j 100 j Tiada peruntukan  
2014 100 j 50 j 50 j Tiada peruntukan  
2015 450 j 50 j 50 j 25 j  
2016 Tiada butiran pengagihan peruntukan Jumlah 500 j untuk 9 jenis sekolah
2017 250 j 50 j 50 j Tiada peruntukan Jumlah 600 j untuk 8 jenis sekolah

 

 

Dong Zong menggesa agar Chong Sin Woon berhujah berdasarkan fakta

Dong Zong menggesa agar Chong Sin Woon berhujah berdasarkan fakta


Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata “Tiada dasar daripada kerajaan untuk menghalang pembinaan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC).” Dong Zong menganggap kenyataan ini sekadar menipu diri sendiri ketika kita berdepan dengan masalah pembinaan SJKC. Dong Zong menggesa agar Chong Sin Woon mengumumkan secara hitam putih prosedur bagaimana SJKC ditambah bina secara sistematik, untuk membuktikan kesahihan kenyataannya. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:-

1. Kami menegaskan bahawa Dong Zong bersama pertubuhan Cina yang lain sering menyerahkan memorandum kepada kerajaan, memohon agar kerajaan menambah bina SJKC mengikut populasi komuniti dan keperluan pendidikan. Selain itu, suara rakyat yang memohon agar kerajaan menambah bina SJKC, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan, juga rintangan yang dihadapi, telah diberi liputan yang meluas oleh media. Namun demikian, seringkali kerajaan meluluskan pembinaan atau perpindahan SJKC ketika pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, malah tidak menanggung sepenuhnya kos dan tanah sekolah yang diperlukan, dan projek ini siap setelah sekian lama tergendala. Hakikatnya, kerajaan tidak mempunyai dasar yang menyeluruh untuk membina SJKC secara sistematik, sebaliknya pembinaan SJKC diganti dengan “perpindahan sekolah kurang murid”. Kenyataan Chong Sin Woon memperlihatkan kejahilannya dalam isu “masalah yang didepani SJKC”, pada masa yang sama telah memutar belitkan fakta. Dengan kata lain, Timbalan Menteri Pendidikan ini tidak berhujah berdasarkan fakta.

2. Menurut hujah Chong Sin Woon, kononnya “Tiada dasar daripada kerajaan untuk menghalang pembinaan SJKC”, mengapa banyak “SJKC kurang murid” yang dipindahkan ke kawasan yang padat populasinya, dan berlakunya perjuangan SJK(C) Damansara (untuk mengekalkan sekolah mereka) selama 8 tahun?

3. Lantaran daripada dasar mono-lingualisme-kulturalisme kerajaan dalam pendidikan, pembinaan SJKC berdepan dengan pelbagai rintangan, sehingga munculnya laungan slogan berbunyi, “Jangan lagi SJKC dikurangkan walaupun sebuah”. Komuniti Cina, LPS, PIBG, alumni SJKC bermatian-matian mempertahankan kewujudan “SJKC kurang murid”, agar diri mereka tidak dilihat sebagai “pengkhianat bangsa” andainya sekolahnya terpaksa ditutup. Ini kerana seandainya mana-mana SJKC ditutup, ia bermakna hilangnya permit pendaftaran sebuah SJKC, yang mengakibatkan pengurangan bilangan SJKC.

4. Memandangkan kenyataan “Tiada dasar menghalang pembinaan SJKC daripada kerajaan” ini terkeluar dari bibir Chong Sin Woon, maka beliau bertanggungjawab untuk membuktikan kesahihan kenyataannya. Kami menyeru agar timbalan menteri pendidikan ini mengumumkan secara bertulis, tentang mekanisme dasar dan prosedur pembinaan SJKC secara bersistematik, termasuk bagaimana tanah rizab untuk sekolah, peruntukan pembinaan sekolah diagihkan kepada SJKC, juga bagaimana SJKC dimasukkan dalam Rancangan Malaysia setiap lima tahun, belanjawan tahunan, Pelan Pembangunan Pendidikan, projek pembinaan sekolah dan panduan perancangan sekolah.

Dong Zong: Kaji selidik KPM tidak objektif

Dong Zong: Kaji selidik KPM tidak objektif



Kaji Selidik Perancangan Hala Tuju 5 Tahun yang dijalankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), telah merangkumi soalan sensitif yang mencungkil perhatian pendidik bahasa Cina. Dong Zong berpandangan bahawa soal selidik tersebut kurang profesional dan boleh mengelirukan. Yang berikut adalah kenyataan media Dong Zong:

1.Dasar perpaduan yang memberi kesan jangka panjang harus digubal dengan melibatkan perbincangan badan bukan kerajaan (NGO) dan pemegang taruh, seperti Dong Jiao Zong, pertubuhan alumni dan sebagainya. Pandangan mereka harus diambil kira. Pendekatan soal selidik dengan mengumpul pandangan awam tidak sesuai, kerana pandangan kaum minoriti akan diabaikan.

  1. Agak sukar untuk soal selidik dalam talian berakhir dengan keputusan yang objektif dan jitu. Ia tidak boleh digunakan sebagai piawaian asas untuk penggubalan dasar atau rancangan yang penting.

    3. Jikapun pendekatan soal selidik dalam talian digunapakai, kami berpandangan bahawa tempoh publisiti diperlukan sebelum soal selidik ini dijalankan, agar NGO, pertubuhan sosial, pemegang taruh, orang awam termasuk ibu bapa boleh menyuarakan pandangan dan cadangan masing-masing. Ia tidak boleh dijalankan hanya dengan dimuat naik ke dalam talian dan dilepaskan tangan begitu sahaja.
  2. Lebih-lebih lagi, soalan yang dirangka dalam kaji selidik ini tidak objektif, memperlihatkan kepincangan, boleh mengelirukan dan ia gagal menjurus kepada penilaian yang adil.

    5. Justeru itu, Dong Zong menyeru agar KPM mengundang NGO dan pertubuhan berkenaan untuk terlibat dalam kajian dasar perpaduan. Dasar yang mustahak tidak harus digubal dengan semberono.