Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

 4 Disember 2021

Berkenaan penambahan semula aksara Cina pada papan tanda 2 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Pekan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Dong Zong dan Jiao Zong mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

  1. Jabatan Pendidikan Pahang membekalkan papan tanda mengandungi nama sekolah SJK(C) dalam Bahasa Melayu dan tulisan Jawi, tetapi tidak dalam aksara Cina. Timbalan Pendidikan Dato’ Dr Mah Hang Soon telah segera menguruskan perkara tersebut selepas dibantah oleh pelbagai pihak. Kini, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang telah menambah aksara Cina nama sekolah pada papan tanda tambahan nama sekolah dan siap dipasang di sekolah-sekolah berkenaan. Dong Jiao Zong mengalu-alukan pembetulan tersebut.
  1. Susunan bahasa pada papan tanda tambahan nama sekolah yang baharu itu dimula dengan tulisan Jawi dan disusuli dengan aksara Cina dan bahasa Melayu. Dong Jiao Zong berpendapat, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi manakala bahasa Cina ialah bahasa pengantar bagi SJKC, maka papan tanda tambahan nama sekolah yang dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang seharusnya menitikberatkan bahasa Melayu atau bahasa Cina. Nama sekolah mengandungi tulisan Jawi kerana Dewan Undangan Negeri Pahang telah meluluskan keputusan untuk menetapkan semua papan nama perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan dikehendaki mengandungi tulisan Jawi, manakala tokong, kuil dan gereja dikecualikan. Ini merupakan satu dasar yang baharu dan khusus di negeri Pahang, maka tulisan Jawi pada papan tanda nama sekolah haruslah disusun pada barisan ketiga, barulah ini menepati keadaan sebenar. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru pihak Jabatan Pendidikan membuat pembetulan agar kejadian itu dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
  1. Dong Jiao Zong mengambil berat tentang perkembangan lanjut isu papan tanda tambahan nama sekolah dan menegaskan bahawa segala langkah yang diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang hendaklah tidak mengubah ciri-ciri khas setiap aliran sekolah untuk mengekalkan keunikan kepelbagaian bahasa dan budaya yang ada pada semua aliran sekolah.

Mengecam Buli Siber dan Penghinaan Terhadap Wanita Kerajaan Digesa Gubal Undang-undang Untuk Menjamin Kesaksamaan Gender

Mengecam Buli Siber dan Penghinaan Terhadap Wanita Kerajaan Digesa Gubal Undang-undang Untuk Menjamin Kesaksamaan Gender

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

8 Oktober 2021

Mengecam Buli Siber dan Penghinaan Terhadap Wanita

Kerajaan Digesa Gubal Undang-undang Untuk Menjamin Kesaksamaan Gender

 

Pada April lalu Ain Husniza mendedahkan berkenaan tindakan seorang guru lelaki yang didakwa melakukan jenaka mengenai rogol semasa subjek pendidikan jasmani dan kesihatan. Baru-baru ini, video Ain Husniza disalahgunakan dan disunting oleh pengguna internet untuk menghasilkan dan menyebarkan gambar-gambar lucah dan video pendek di media sosial. Dong Jiao Zong mengecam keras perbuatan buli siber yang menghina wanita dan menyeru semua pihak bersolidariti dengan Ain Husniza. Kami juga meminta kerajaan memberi perlindungan dan bantuan kepada mangsa terlibat dan membentangkan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual di Parlimen secepat mungkin.

 

Ini bukan kali pertama Ain Husniza dikenakan buli siber. Kejadian ini menunjukkan masyarakat kita kurang sedar terhadap kesaksamaan gender dan tidak mengambil perhatian terhadap pemberi maklumat (whistleblower) yang diserang dengan video pornografi. Kami menyokong pihak mangsa mengambil tindakan undang-undang untuk membendung perbuatan tersebut. Tingkah laku kurang sopan terhadap wanita tidak diterima dalam masyarakat yang bertamadun dan harus dikutuk dengan sekeras-kerasnya. Wanita sering menghadapi ancaman buli dan gangguan seksual. Tidak kurang juga mangsa-mangsa dari kampus sekolah, sektor sukan hingga ke tempat kerja, berani tampil ke hadapan untuk mendedahkan kejadian buli dan gangguan seksual. Namun, pihak berkuasa adakalanya memandang ringan perkara tersebut dan tidak mengambil tindakan terhadap pihak pelaku. Sebaliknya, pihak pelaku mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut ganti rugi daripada pihak mangsa atau memberi tekanan dan amaran kepada mangsa supaya berdiam diri.

 

Setelah mendedahkan jenaka seksual yang dilakukan oleh guru lelaki di dalam kelas, Ain Husniza sebaliknya menghadapi serangan daripada sebilangan netizen. Guru terlibat pula menuntut ganti rugi daripada beliau, malah seorang rakan sekelas yang mengancam untuk merogolnya. Pihak polis telah menyerahkan laporan penyiasatan kepada Jabatan Peguam Negara, tetapi pihak Jabatan Peguam Negara pada 8 Jun memutuskan tidak akan mengambil tindakan pendakwaan terhadap guru tersebut. Walaupun Kementerian Pendidikan pada 28 April tahun ini berjanji menyiasat kejadian gangguan seksual tersebut, namun setelah hampir setengah tahun masih tiada kelihatan sebarang perkembangan terbaru. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga tidak proaktif dalam pembentangan rang undang-undang kesaksamaan gender. Pihak polis, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus mengabaikan hak-hak Ain Husniza yang terjejas dan semua pihak berkenaan sukar untuk dimaafkan.

 

Sehubungan dengan itu, kami menyeru kerajaan mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap buli dan gangguan seksual, dan membentangkan rang undang-undang gangguan seksual dan rang undang-undang kesaksamaan gender di Parlimen untuk menjamin hak-hak wanita dan mengelakkan penindasan gender. Dengan adanya penggubalan undang-undang yang berkesan, penguatkuasaan undang-undang secara ketat dan pembentukan mekanisme anti-seksual di semua lapisan masyarakat, barulah negara kita dapat memastikan lebih ramai wanita dan kanak-kanak akan bebas daripada ancaman keganasan seksual dan seterusnya menikmati kehidupan yang bermaruah dan kesaksamaan.

Teks Ucapan Pengerusi Dong Zong Encik Tan Tai Kim bagi Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021

Teks Ucapan Pengerusi Dong Zong Encik Tan Tai Kim bagi Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021

Tarikh: 25 September 2021 (Sabtu)

Masa  : 10.00 a.m

 

Terima kasih saudara/saudari Pengerusi Majlis

Salam sejahtera kepada

 

Yang Berhormat Tuan Hee Loy Sian(ADUN KAJANG)

Para sidang media,

Para staf-staf Dong Zong

Dan para hadirin sekalian.

 

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih atas kedatangan tuan-tuan dan puan-puan. Dong Zong telah mengadakan aktiviti-aktiviti seperti pertandingan menulis esei, pertandingan fotografi, Projek Sahabat Pena, teater atas talian dengan perbincangan dan forum anak muda bagi Sambutan Hari Malaysia 2021 dengan temanya “Covid-19 : Menyanjung Kepelbagaian ”. Kita berharap mengadakan aktiviti-aktiviti tersebut dapat menonjolkan kepelbagaian budaya di negara kita, ia juga memberi iktibar kepada masyarakat bagi kepentingan melindungi nilai kepelbagaian dan mengenali perbezaan budaya antara satu sama secara toleransi.

Para hadirin yang dihormati,

Kepelbagaian etnik, bahasa dan budaya merupakan kekuatan dan khazanah negara kita, ia meningkatkan tahap kebudayaan negara dalam membina kepelbagaian masyarakat. Unsur kepelbagaian budaya menggalakkan hidup makmur bersama, menegaskan berkomunikasi antara satu sama lain, bekerjasama dengan situasi menang-menang bagi mencapai perkembangan bersama. Setiap kebudayaan kaum harus diberikan kehormatan dan layanan yang adil. Dengan ini, negara kita perlu menolak budaya homogen dan berusaha bagi mencapai kepelbagaian masyarakat yang hidup harmoni dan saling memahami antara satu sama lain.

Negara kita merdeka melebihi 60 tahun, sistem sekolah pelbagai aliran telah dijamin oleh perlembagaan sejak dari awal lagi. Ahli politik seharusnya tidak menggunakan kata-kata seperti “ sistem sekolah vernakular merupakan batu penghalang bagi perpaduan rakyat” demi kepentingan sendiri, sebagai masyarakat sivil kita perlulah menghalang tindakan politik yang tidak matang ini. Ahli politik  perlu menjaga tatasusila dan kelakuannya, elakkan pemikiran stereotaip dan diskriminasi berdasarkan kaum, mengaplikasikan semangat kepelbagaian dalam pentadbiran negara dan mencadangkan dasar kerajaan yang lebih terbuka terutamanya kepentingan rakyat harus didahulukan.

 

Melindungi dan mewarisi unsur kepelbagaian tidak bercanggah dengan pembentukan identiti nasional. Kita perlu sentiasa ingat kepelbagaian dalam Malaysia merupakan  khazanah negara dan bukan sesuatu beban. Seperti mana Cikgu Lim Lian Geok pernah berkata:“ Hidup berbilang, Makmur Bersama.” Kerajaan perlu mengambil inisiatif mementingkan pembelajaran kepelbagaian, salah satu cara yang dapat membuktikan kepelbagaian masyarakat iaitu menerima dan menggalakkan kepelbagaian dalam pembelajaran.  Ia bukanlah untuk memastikan semua etnik di dalam aliran sekolah yang sama, tapi memasuki unsur-unsur kepelbagaian dalam kurikulum dan kokurikulum di semua aliran sekolah. Dasar kepelbagaian pendidikan perlu menerima kepelbagaian, menghormati perbezaan, menegaskan persefahaman dan kesamarataan sebagai syaratnya. Kita tidak akan berjaya jika kita masih kekal dalam pemikiran diskriminasi dan menolak nilai kepelbagaian dalam masyarakat.

 

Untuk melindungi akar-umbi kepelbagaian masyarakat dan menegakkan semangat inklusif, Projek Kepelbagaian Kaum dan Budaya (PKKB) yang dilancarkan oleh Dong Zong telah mengadakan  aktiviti-aktiviti interaksi pelbagai kaum seperti Sambutan Tahun Baru Cina dengan Sekolah Menengah Persendirian Cina(SMPC), Projek Interaksi Kepelbagaian Etnik dan Budaya Penjelajahan Kuala Lumpur Lama, Kem Muhibah dan lain-lain supaya pelajar lain boleh berinteraksi dengan pelajar berasal dari sekolah pelbagai aliran dan memahami kepelbagaian melalui  aktiviti-aktiviti tersebut.

 

Penularan pandemik Covid-19 menyebabkan aktiviti fizikal tidak dapat dijalankan, namun ia bukan alasan bagi kami berhenti. Hari ini Dong Zong mengambil peluang untuk melancarkan laman sesawang Sambutan Hari Malaysia. Tujuan membina laman sesawang ini menyebarkan keputusan aktiviti-aktiviti telah yang dijalankan bagi sepanjang sambutan Hari Malaysia dan menunjukkan keindahan budaya kepelbagaian di kalangan orang ramai. Saya harap bidang institusi pendidikan yang lain seperti Sekolah Menengah Persendirian Cina dan lain-lain mengambil inisiatif daripada laman sesawangnya dan sama-sama melindungi budaya kepelbagaian.

 

Selain itu, kita akan menjalankan penyampaian hadiah bagi pertandingan menulis esei dan fotografi sebentar nanti.  Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada peserta-peserta yang dapat anugerah. Saya juga ingin berterima kasih kepada semua peserta bagi setiap penyertaan dan berusaha pada tahun depan.

 

Sambutan Hari Malaysia bagi tahun 2021 sampai ke penghujungnya. Sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua. Aktiviti-aktiviti Sambutan Hari Malaysia 2021 dapat dijalankan dengan sempurna dan lancar kerana penyertaan anda semua.  Kita akan bertemu pada tahun depan lagi!

 

Memeluk budaya kepelbagaian, Malaysia barulah mempunyai masa depan yang cerah.

 

Akhir sekali, semoga anda semua berbadan sihat dan dirahmati oleh Tuhan.

 

Inilah ucapan daripada saya, Sekian terima kasih!

Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021

Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021

Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021

Siaran Akhbar Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021

 

Sempena menyambut Hari Malaysia, Dong Zong telah menganjurkan siri aktiviti yang bertema “COVID-19: Menyanjung Kepelbagaian”, dengan harapan dapat menonjolkan kepelbagaian kaum dan budaya dalam negara melalui aktiviti-aktiviti, dan juga memberi iktibar kepada masyarakat bagi kepentingan melindungi nilai kepelbagaian dan mengenali perbezaan budaya antara satu sama secara toleransi.

 

2.   Oleh kerana pandemik COVID-19, Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021 diadakan di platform Zoom pada 10am, 25hb September 2021 (Sabtu). Program ucapan tetamu, pelancaran Laman Web Festival Hari Malaysia, penyampaian hadiah pertandingan menulis esei dan fotografi, dan persembahan multimedia akan diadakan.

 

Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021

Tema: COVID-19: Menyanjung Kepelbagaian

Tarikh: 25/09/2021 (Sabtu)

Masa: 10.00am

Bentuk: Zoom

Bahasa Pengantar: Bahasa Melayu dan Bahasa Cina

Pendaftaran: https://bit.ly/3gC12QT, atau imbas kod QR

Pertanyaan: Bahagian Hal Ehwal Organisasi, Dong Zong ([email protected])

3.   Sila membuat pendaftaran di https://bit.ly/3gC12QT. Untuk maklumat lanjut, sila menghubungi Bahagian Hal Ehwal Organisasi, Dong Zong ([email protected]) atau melayari laman sesawang dan Facebook Dong Zong (https://www.dongzong.myhttps://www.facebook.com/dongzong).

Menyeru KPM Mengkaji dan Memperbaiki Persediaan Yang Tidak Teliti Dalam Pembukaan Semula Sekolah

Menyeru KPM Mengkaji dan Memperbaiki Persediaan Yang Tidak Teliti Dalam Pembukaan Semula Sekolah

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

12 Ogos 2021

 

Menyeru KPM Mengkaji dan Memperbaiki Persediaan Yang Tidak Teliti Dalam Pembukaan Semula Sekolah

 

Dong Jiao Zong berpendapat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kekurangan perancangan dan persiapan yang baik dalam proses pembukaan semula sekolah pada 1 September dan meminta KPM menyemak dan memperbaikinya secepat mungkin.

Menteri Kanan Pendidikan pernah mengumumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September ini pada pertengahan bulan Julai tahun ini. Memandangkan tarikh pembukaan sekolah semakin hampir, maka para guru dan ibu bapa pelajar berharap mendapat penerangan yang terperinci daripada KPM. Keadaan pandemik semakin serius dan peningkatan  kes baharu jangkitan Covid-19, namun masih tidak ada pegawai KPM memberi penerangan mengenai langkah-langkah dan perancangan yang dilakukan untuk pembukaan semula sekolah.

Sejak Menteri Kanan Pendidikan membuat pengumuman mengenai pembukaan semula sekolah, wujudnya banyak keraguan di kalangan masyarakat kita. Namun, KPM tidak mengambil inisiatif proaktif mengumumkan apa-apa rancangan atau langkah-langkah yang diambil kepada rakyat memahami bagaimana KPM dapat membantu anggota barisan hadapan pendidikan membuat persediaan menyeluruh untuk pembukaan semula sekolah secara selamat. Sebaliknya, KPM hanya meminta pegawai-pegawai setiap negeri menjalankan tinjauan rambang terhadap segelintir ibu bapa pelajar darjah enam, tingkatan tiga, tingkatan lima dan tingkatan enam di seluruh negara pada beberapa hari yang lalu untuk mengumpul pendapat mereka terhadap pembukaan semula sekolah pada bulan September. Ini jelas menunjukkan sejak pengumuman pembukaan semula sekolah pada bulan Julai, KPM tidak mengambil inisiatif proaktif untuk memulakan kerja-kerja lanjutan, tidak berkomunikasi dengan pihak-pihak yang berkaitan secara aktif atau tidak mendapatkan pandangan daripada wakil-wakil pertubuhan pendidikan untuk menyediakan satu formula pembukaan semula sekolah yang dapat menjamin keselamatan guru dan pelajar serta kelancaran pengajaran dan pembelajaran.

Sebenarnya, ini bukan pertama kalinya KPM lembap bertindak dan kekurangan daya pelaksanaan pendidikan di bawah pandemik Covid-19. Umpamanya, kerajaan berjanji mengedarkan 150 ribu buah komputer riba secara percuma kepada para pelajar keluarga B40 pada tahun lepas, tetapi dikritik orang ramai kerana proses pengagihan yang amat lambat. Di samping itu, ramai pakar pendidikan  memberi amaran tentang “lost generation” atau generasi hilang dalam kalangan murid yang keciciran pelajaran. Tempoh penutupan sekolah yang berpanjangan akan membawa kesan buruk terhadap kemajuan dan keberkesanan pembelajaran pelajar, terutamanya mereka yang datang dari keluarga berkedudukan sosio-ekonomi yang rendah. Kumpulan ini perlu diberi sumber dan bantuan pelajaran yang lebih banyak. Selain itu, adalah tidak baik untuk kesihatan fizikal dan mental para pelajar kerana telah lama berada di rumah dan kurang menyertai aktiviti-aktiviti sosial, rekreasi dan sukan. Namun, kita belum melihat KPM mengambil langkah-langkah pemulihan yang proaktif untuk menangani masalah ini.

Kami berpendapat KPM perlu mengubah sikap pasif dan subjektif dalam soal membuat keputusan. Dalam proses membuat keputusan dan merangka formula pembukaan semula sekolah, KPM perlu bertindak secara proaktif untuk berunding dengan masyarakat terlebih dahulu, mendengar dan menerima pandangan pelbagai pihak serta memberi penerangan yang jelas dan terperinci kepada masyarakat mengenai dasar dan langkah-langkah pelaksanaan pembukaan semula sekolah.

Kegagalan menangani pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi, penangguhan Parlimen dan ketidakstabilan politik menjadikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berfungsi. Parti-parti pemerintah dan pembangkang hanya giat dalam perebutan kuasa dan kekurangan rancangan tadbir urus negara. Akibatnya, rakyat hidup dalam kesusahan dan sektor pendidikan menjadi mangsa. Kami menyeru para pegawai kanan KPM menjalankan tanggungjawab mereka dan menunjukkan daya kepimpinan dalam pengurusan krisis, dan bukannya bersikap sambil lewa dan membuat keputusan yang tidak teliti.

Dong Jiao Zong Menyeru KPM Memandang Serius Terhadap Buli Dan  Gangguan Seksual Di Sekolah, Kerajaan Harus Melindungi Wanita Dan Kanak-Kanak Berdasarkan Konvensyen Antarabangsa  

Dong Jiao Zong Menyeru KPM Memandang Serius Terhadap Buli Dan  Gangguan Seksual Di Sekolah, Kerajaan Harus Melindungi Wanita Dan Kanak-Kanak Berdasarkan Konvensyen Antarabangsa

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

6 Ogos 2021

Dong Jiao Zong Menyeru KPM Memandang Serius Terhadap Buli Dan  Gangguan Seksual Di Sekolah, Kerajaan Harus Melindungi Wanita Dan Kanak-Kanak Berdasarkan Konvensyen Antarabangsa

 

Dong Jiao Zong meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan segera memaklumkan status terkini berkaitan hasil siasatan terhadap insiden buli dan gangguan seksual di sekolah. Dong Jiao Zong juga menyeru guru yang terlibat dalam insiden berkenaan tampil ke depan untuk menghadapi siasatan dan menggugurkan saman fitnah terhadap Ain Husniza Saiful Nizam, seorang pelajar yang bertindak selaku pemberi maklumat (whistleblower). Memandangkan Malaysia sebagai sebuah negara yang meratifikasi dan menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita, maka kerajaan harus mengkaji undang-undang yang sedia ada supaya pembelaan dan perlindungan hak kanak-kanak dan wanita di negara kita selaras dengan piawaian antarabangsa.

 

Kami menyeru guru yang terlibat dalam insiden berkenaan seharusnya menonjolkan nilai etika dan profesionalisme sebagai seorang pendidik, bukan sahaja menggugurkan saman fitnah, malah harus mengakui kesilapan mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar di dalam bilik darjah, serta memohon maaf kepada Ain Husniza Saiful Nizam. Selain itu, KPM harus memandang serius terhadap insiden tersebut kerana ini hanyalah satu daripada banyak lagi kejadian buli dan gangguan seksual di sekolah, keadaan ini mencerminkan ketidaksetaraan gender dalam pendidikan. KPM seharusnya secara proaktif mengambil langkah pencegahan, serta memberi kesedaran yang lebih meluas mengenai kesetaraan gender di sekolah, supaya mewujudkan suatu persekitaran pembelajaran yang selamat dan sihat kepada para pelajar, dan seterusnya  mengelakkan kejadian seumpamanya berulang pada masa akan datang.

 

Pada 28 April 2021, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan bahawa KPM akan melaksanakan siasatan dalaman dan mengambil tindakan tegas terhadap aduan mengenai seorang guru mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Namum sehingga hari ini, KPM masih belum mengumumkan laporan siasatan, mahupun mengemukakan langkah-langkah untuk memperbaiki ketidaksetaraan gender dalam pendidikan, dan seterusnya membanteras kejadian buli dan gangguan seksual di sekolah.

 

Pada halnya,  Persatuan Tindakan Semua Wanita Malaysia (AWAM) telah menerima aduan daripada 275 orang mangsa buli dan gangguan seksual di sekolah setelah berlakunya insiden Ain Husniza. Ini menunjukkan ketidaksetaraan gender yang amat membimbangkan di alam persekolahan. Kami berpendapat KPM harus memandang serius terhadap perkara ini,  dan menubuhkan satu jawatankuasa penyiasatan bebas untuk menyiasat kejadian buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan, supaya menangani isu ini dengan sempurna.

 

Perlindungan terhadap hak kanak-kanak merupakan amalan sedunia, maka,  seseorang pendidik bukan sahaja harus mempunyai profesionalisme keguruan, malah juga harus mempunyai perspektif yang betul untuk menjamin hak asasi manusia. Para pendidik harus memahami semangat prinsip-prinsip yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita. Kami mencadangkan KPM merujuk kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Pusat Sumber dan Penyelidikan Asia Pasifik untuk Wanita (Arrow) dalam laporan mengenai kesetaraan gender di Malaysia pada tahun 2021. Berdasarkan laporan tersebut,  pendidikan gender di sekolah dalam negara kita harus dipertingkatkan dengan segera, antaranya termasuk aspek pemahaman kesetaraan gender di kalangan guru,  pembelajaran mengenai konsep hak asasi manusia dan kesetaraan gender di sekolah, serta kualiti dan mekanisme perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah. Kesemua aspek ini amat perlu dikaji semula.

 

Hanya kerajaan yang prihatin terhadap penderitaan wanita dan kanak-kanak, serta komited untuk memikul tanggungjawab  dapat  membela dan melindungi golongan wanita dan kanak-kanak. Malaysia merupakan antara negara yang meratifikasi dan menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita, maka kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjamin, serta melindungi hak kesetaraan gender dan hak asasi kanak-kanak. Insiden yang dialami oleh Ain Husniza Saiful Nizam serta lain-lain kejadian buli dan gangguan seksual di sekolah tidak seharusnya berlaku kerana ini bertentangan dengan prinsip-prinsip konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan melindungi perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak, serta menjamin kesetaraan gender. Selain itu, Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak juga menjamin hak kebebasan bersuara seseorang kanak-kanak, maka pihak sekolah tidak seharusnya mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang mengutarakan hak dan kepentingan untuk mereka.