fbpx

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong

 

9 Januari 2020

 

Dong Jiao Zong menyambut baik usaha proaktif Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Waytha Moorthy Ponnusamy yang mengadakan sesi dialog yang dijalankan pada 7hb Januari bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan demi mencari jalan penyelesaian isu pengenalan tulisan Jawi.

 

  1. Pada 1 Januari tahun ini, pengerusi Dong Zong dan setiausaha agung Jiao Zong menerima mesej daripada pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Eddie Heng Hong Chai untuk bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Waytha Moorthy Ponnusamy untuk membincangkan isu pengenalan tulisan Jawi. Oleh kerana mesej tersebut tidak menyatakan dengan spesifik bahawa perjumpaan tersebut adalah atas inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan lain, maka Dong Jiao Zong menganggapkan mesyuarat itu adalah salah satu tindakan susulan Kongres Jawi Kebangsaan anjuran Majlis Bahasa Cina Malaysia dan SEKAT (Seni Khat Action Team) yang diadakan pada 29 Disember 2019. Pada masa itu Dong Jiao Zong sedang menguruskan kerja-kerja susulan ekoran daripada larangan penganjuran Persidangan Persatuan-persatuan Cina yang dijadualkan pada 28 Disember 2019, antaranya termasuk mengatur dialog dengan pucuk pimpinan parti-parti pemerintah dan pembangkang. Memandangkan kedua-dua pihak mempunyai arah tuju yang sama, maka kami berpendapat bahawa adalah baiknya masing-masing berusaha melalui pelbagai saluran demi mencapai hasil yang maksimal. Lantaran itu, Dong Jiao Zong tidak menghadiri aktiviti susulan Majlis Bahasa Cina Malaysia dan SEKAT tersebut.

 

  1. Dong Jiao Zong hanya menerima surat jemputan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri melalui emel pada pagi hari perjumpaan tersebut, didapati hanya nama 12 buah pertubuhan yang dijemput manakala Jiao Zong dan nama pertubuhan-pertubuhan Melayu tidak berada dalam senarai jemputan. Selain daripada itu, pada hari yang sama, Dong Jiao Zong akan mengadakan satu pertemuan dengan pertubuhan Muslim, maka kerana kesuntukan masa dan sebab-sebab yang tersebut, kami tidak sempat menghadiri pertemuan dengan YB Menteri dan ini amat dikesali.

 

  1. Walau bagaimanapun, seperti yang dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam sidang media, iaitu pelbagai usaha akan dijalankan untuk mencari formula penyelesaian kepada isu tulisan Jawi, maka kami berharap pihak kerajaan dapat meneruskan perbincangan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan membina kepercayaan bersama supaya mewujudkan suasana yang kondusif kepada perbincangan dasar-dasar kerajaan. Kami mengalu-alukan segala peluang   untuk bertukar pandangan dan bermuzakarah dengan semua pertubuhan yang berkaitan, termasuk pertubuhan-pertubuhan yang berlainan pandangan untuk mencari formula penyelesaian yang rasional.

 

  1. Sejak Dong Jiao Zong mengemukakan Kenyataan Bersama Pertubuhan-Pertubuhan Cina kepada Kementerian Pendidikan pada 2 Januari 2020, pihak Dong Jiao Zong telah mengambil pelbagai inisiatif, termasuk menghubungi parti-parti pemerintah dan pembangkang serta Kementerian Pendidikan untuk mengadakan dialog, moga-moga dapat mencari jalan penyelesaian kepada isu pengenalan tulisan Jawi.