fbpx

Pelan Perpaduan Harus Memaparkan Kepelbagaian Dalam Negara Galakkan Interaksi Antara Etnik, Gugurkan Pemikiran Monisme

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

8 Mac 2021

Pelan Perpaduan Harus Memaparkan Kepelbagaian Dalam Negara

Galakkan Interaksi Antara Etnik, Gugurkan Pemikiran Monisme

Kerajaan Periktan Nasional (PN) telah melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 pada 15 Februari 2021 dengan menggariskan 3 aspirasi, 12 strategi dan 41 anjakan strategi untuk mencapai perpaduan negara.

Dasar dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara dirangka berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Dong Jiao Zong bersetuju dengan itu kerana Perlembagaan Persekutuan merupakan asas demokrasi berperlembagaan dan perpaduan rakyat yang melindungi hak-hak kebebasan beragama, mempelajari dan mengguna bahasa ibunda.

Rukun Negara pula ialah nilai teras untuk mencapai perpaduan rakyat dan mencipta satu masyarakat yang adil dan liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak daripada semua kumpulan etnik di negara ini.

Maka, kerajaan harus berpendirian dan berpegang teguh kepada kepelbagaian masyarakat negara kita dalam pengendalian isu-isu perpaduan dan memastikan dasar dan pelaksanaannya memenuhi semangat dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Muka surat 6 dalam Dasar Perpaduan Negara menyatakan bahawa “Perpaduan secara umumnya ditakrifkan sebagai kesamaan dan kesatuan dalam membentuk identiti nasional seperti satu bangsa dan satu bahasa” dan “Mengambil kira konteks negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, bahasa, agama dan budaya maka konsep perpaduan yang dicadangkan ialah ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’”. Dong Jiao Zong berpendapat sekiranya “identiti nasional” dipandang sebagai identiti satu budaya sahaja (monocultural), itu adalah pandangan yang sangat sempit, tidak memenuhi keadaan masyarakat majmuk di negara kita dan tidak membantu dalam memupuk perpaduan rakyat dan keharmonian masyarakat. Sehubungan itu, kerajaan menggunakan “perpaduan dalam kepelbagaian” sebagai konsep perpaduan negara kita merupakan satu arah yang betul tetapi konsep itu hendaklah dicerminkan sepenuhnya dalam dasar dan pelaksanaannya dan bukan hanya sekadar dalam retorik yang indah.

Pada masa yang sama, muka surat 27 dalam Dasar Perpaduan Negara pula menyentuh perkara “negara bangsa”. Dalam isu memupuk perpaduan rakyat, konsep negara bangsa yang berfikiran monisme adalah tidak menepati keadaan kepelbagaian negara kita, model urus tadbir negara sedemikian akan mengakibatkan ketidakadilan dan bertentangan dengan “perpaduan dalam kepelbagaian” yang dititikberatkan dalam dokumen tersebut. Negara kita ialah sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, maka konsep negara kepelbagaian budaya menepati keadaan sebenar negara kita dan menjamin kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira kumpulan etnik dan agama serta memastikan semua rakyat menikmati hasil-hasil kemakmuran dan kemajuan negara kita. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru kerajaan memberi penjelasan terhadap perkara ini dan berbincang dengan pertubuhan-pertubuhan semua kumpulan etnik supaya percambahan fikiran sedemikian mendatangkan manfaat dan memastikan konsep “perpaduan dalam kepelbagaian” benar-benar dapat dilaksanakan.

Kepelbagaian dan perpaduan boleh wujud dan berjalan bersama-sama. Dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, keharmonian antara kumpulan etnik dan perpaduan rakyat merupakan syarat-syarat asas kepada pembangunan negara yang stabil. Semua ini hendaklah dibina atas dasar yang adil, jika tidak, asas pembentukan negara akan terjejas. 

Sebenarnya, sejak merdeka hingga kini, semua kumpulan etnik telah lama berpegang kepada semangat perpaduan yang mencari titik persamaan dan menghormati perbezaan untuk bersama-sama membangunkan negara kita. Akan tetapi, pihak pemerintah tidak melaksanakan tadbir urus yang adil dalam bidang pendidikan, ekonomi, budaya dan sosial. Selain itu, beberapa parti politik, pertubuhan dan individu juga sengaja memutarbelitkan fakta dan mengeluarkan kenyataan perkauman dan keagamaan yang ekstrem. Semua faktor ini telah menghalang perpaduan rakyat.

Oleh itu, Dong Jiao Zong berpendapat sekiranya ingin mencapai perpaduan rakyat yang sebenar, kerajaan hendaklah melayan semua kumpulan etnik dengan adil. Mana-mana pihak yang memprovokasikan sensitiviti etnik, contohnya penutupan mana-mana aliran sekolah, maka kerajaan hendaklah dengan pantasnya berdiri di hadapan untuk mempertahankan sistem pelbagai aliran sekolah dan bukannya membiarkan dan secara senyap-senyap membenarkan provokasi tersebut berterusan kerana kejadian sedemikian adalah tidak kondusif kepada pembangunan negara. 

Sekolah-sekolah yang berlainan aliran telah wujud dan membangun di negara ini lebih daripada 200 tahun. Mereka ialah aset dan daya saing negara. Ia juga memperkayakan ciri-ciri istimewa masyarakat majmuk di negara kita. 

Lebih-lebih lagi, kewujudan dan pembangunan pelbagai aliran sekolah selama ini telah membuktikan sekolah-sekolah ini bukanlah batu penghalang kepada perpaduan rakyat. Mereka mengguna pakai kurikulum kementerian pendidikan untuk mempelajari nilai-nilai yang sama. 

Yang kesalnya, Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara tidak mengesahkan sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah secara jelas. Sebaliknya, ia berkata kononnya Sekolah Wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan mempercepat integrasi nasional (Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, muka surat 40). 

Dong Jiao Zong tidak menyetujui hujah yang sedemikian rupa dan ingin menegaskan pendiriannya yang membantah sekolah wawasan yang matlamat akhirnya adalah untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang seragam bagi semua jenis sekolah, dan ini mengubah ciri-ciri SJKC dan SJKT yang mengguna bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar. 

Beberapa kajian telah membuktikan sekolah wawasan tidak membawa kesan yang baik. Walaupun sekolah-sekolah di dalam sekolah wawasan berkongsi kemudahan, tetapi ia tidak dapat mengimbangi halangan yang didatangkan oleh pelbagai faktor sosial luaran sejak sekian lama. Gabungan sedemikian tidak mendorong komunikasi dan integrasi yang berkesan. 

Memaksa semua aliran sekolah diletakkan di bawah satu bumbung atau tapak yang sama bukanlah satu strategi yang baik. Sebaliknya, hubungan dan kerjasama antara aliran sekolah harus diperkukuhkan, interaksi dan komunikasi pelajar dari semua etnik harus dipupuk, barulah ini merupakan pendekatan yang sesuai untuk menggalakkan persefahaman antara etnik dan integrasi nasional (Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, muka surat 39). 

Kami bersetuju dengan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara yang ingin mengukuhkan hubungan dan interaksi pelajar dari semua aliran sekolah untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan. 

Sebenarnya, pelajar-pelajar daripada pelbagai aliran sekolah rendah telah menyertai aktiviti-aktiviti seperti sukan dan budaya di bawah Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) untuk memupuk interaksi di kalangan murid-murid daripada pelbagai kumpulan etnik. Usaha ini telah membuahkan hasil. 

Selain itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) juga mengeratkan interaksi dengan aliran sekolah menengah yang lain seperti sekolah-sekolah agama swasta melalui aktiviti-aktiviti yang melintasi sempadan etnik. 

Dong Jiao Zong sentiasa menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan berusaha meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar SJKC dan SMPC. 

Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong juga menyeru kerajaan kerap mengadakan sesi pertukaran pendapat dan perbincangan dengan para guru sekolah Cina dan pertubuhan-pertubuhan pendidikan yang berkaitan. 

Untuk membolehkan pelajar yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu dapat menguasai bahasa Melayu dengan berkesan, maka pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang digubal hendaklah mengikuti prinsip-prinsip pendidikan untuk memenuhi keperluan pelajar tersebut. Barulah ini dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar tersebut. 

Selain itu, kerajaan harus juga merangka rancangan yang konkrit untuk menggalakkan murid-murid daripada semua aliran sekolah mempelajari pelbagai bahasa dan budaya supaya mereka saling memahami dan bersatu padu. 

Kami mengakui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat seperti yang ditekankan oleh Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara dalam usaha menggalakkan penggunaan bahasa Melayu. Namun, kami juga berpendapat kerajaan hendaklah memberi layanan adil kepada pembangunan pendidikan bahasa ibunda semua kumpulan etnik dan tidak boleh meminggirkan pendidikan bahasa ibunda yang bukan bahasa Melayu. 

Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara turut ingin meningkatkan pemahaman dan penghayatan sejarah negara kita untuk memupuk perpaduan rakyat.  

Namun, buku teks sejarah semasa untuk sekolah rendah dan menengah tidak mencerminkan keadaan pelbagai etnik, budaya dan agama di negara kita secara benar dan menyeluruh. Kerajaan hendaklah membetulkan perkara ini, jika tidak, ini akan menyebabkan generasi baharu tidak memahami sejarah negara kita yang sebenarnya dan secara menyeluruh, malah boleh mengelirukan mereka. 

Dong Jiao Zong menegaskan bahawa buku teks sejarah hendaklah digubal berdasarkan fakta sejarah dan keadaan kepelbagaian negara kita, termasuklah mengakui sumbangan rakyat semua etnik dalam penubuhan dan pembangunan negara kita. Ini boleh memupuk semangat saling memahami, menghormati, bekerjasama dan bersahabat di kalangan generasi baharu semua etnik untuk mengukuhkan integrasi rakyat dan perpaduan negara. 

Dong Jiao Zong berpendapat sekiranya kerajaan PN ingin mempromosikan perpaduan rakyat, ia harus bermula dengan menerima genetik sejarah negara kita yang bermasyarakat majmuk dan berunsur kepelbagaian, dan mengambil langkah untuk menggugurkan model tadbir urus negara yang bersifat monisme dan membetulkan tadbir urus yang menjejaskan perpaduan rakyat. 

Kerajaan hendaklah mengadakan undang-undang untuk membanteras tingkah laku dan kenyataan perkauman dan keagamaan yang ekstrem agar dapat memperbaiki ekologi politik negara kita dan seterusnya menyatupadukan hati rakyat untuk sama-sama berusaha membawa sinar harapan kepada negara kita.