fbpx

Menyokong Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut Dong Jiao Zong Menyeru Ketua Pendakwa Raya Hentikan Pendakwaan

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong 

24 Februari 2021

Menyokong Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut

Dong Jiao Zong Menyeru Ketua Pendakwa Raya Hentikan Pendakwaan

 

  1. Dong Jiao Zong menyatakan sokongan padu kepada Jawatankuasa Pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kawasan Jerantut dan merayu ketua pendakwa raya menghentikan pendakwaan terhadap lapan orang ahli Jawatankuasa tersebut yang didakwa terlibat dalam perhimpunan haram.
  1. Jawatankuasa tersebut bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan Cina di Daerah Jerantut mengadakan perhimpunan tersebut di hadapan SJK(C) Sungai Jan pada 20 Ogos 2019 bagi menyuarakan pendirian membantah pelaksanaan unit tulisan Jawi dan seni khat di SJKC. Lapan ahli Jawatankuasa tersebut didakwa mengikut Seksyen 142 Kanun Keseksaan, iaitu menjadi ahli perhimpunan haram.
  1. Masyarakat Cina di seluruh negara merupakan pihak berkepentingan dalam isu Pendidikan Cina. Kami berpendapat jawatankuasa tersebut mengadakan perhimpunan aman untuk menyuarakan suara hati mereka adalah melaksanakan hak-hak di bawah perkara 10 Perlembagaan Malaysia dan perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia. Kerajaan seharusnya mendengar suara hati mereka dan bukan sebaliknya mendakwa mereka.
  1. Pengerusi Jawatankuasa tersebut, En Goh Say Aik mengatakan dengan jelas bahawa mereka bukan anti-kerajaan dan juga bukan rasis. Tindakan mereka adalah untuk kebaikan pendidikan. Dong Jiao Zong berpendapat isu Pendidikan Cina merupakan isu umum yang berkait rapat dengan kepentingan orang ramai. Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut hanya semata-mata menyatakan pendiriannya dalam isu pendidikan dan langsung tidak menyebarkan kenyataan berbaur hasutan, penghinaan atau kebencian.
  1. Ekonomi negara kita telah terjejas teruk dan menghadapi cabaran besar akibat pandemik Covid-19. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja tiada dasar menyeluruh untuk memulihkan ekonomi negara, tetapi sebaliknya mengambil tindakan pendakwaan terhadap 8 orang ahli Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut yang mengutarakan suara hati rakyat secara aman pada tahun 2019. Ini menunjukkan urusan pentadbiran kerajaan PN berada dalam keadaan kucar-kacir.
  1. Kami menyeru kerajaan PN mengambil serius tentang ruang demokrasi rakyat, menghormati hak kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bersuara. Kami juga menyeru pihak polis dan pejabat pendakwa raya menghormati hak-hak 8 orang ahli tersebut yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan menghentikan segala pendakwaan yang tidak munasabah. Kami juga memohon ketua pendakwa raya menggunakan kuasanya di bawah perkara 145(3) Perlembagaan Malayisa supaya segera menghentikan pendakwaan terhadap 8 orang ahli Jawatankuasa Pembangunan SJKC Kawasan Jerantut yang berkenaan.