fbpx

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

7 Ogos 2022

 

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengemukakan cadangan untuk menggabungkan sekolah kurang murid (SKM) dan telah mengedarkan borang soal selidik kepada para ibu bapa berkenaan mengikut senarai sekolah kurang murid bagi setiap aliran sekolah kebangsaan. Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) memandang serius tentang perkara ini dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

 

  1. Dong Jiao Zong berkata mengikut pemahamannya, KPM mengambil tiga formula untuk melaksanakan penggabungan SKM iaitu: (1) Penggabungan sekolah secara fizikal bagi sekolah yang kurang daripada 150 orang murid; (2) Penggabungan sekolah secara bukan fizikal bagi sekolah yang kurang daripada 10 orang murid; (3) Penamatan operasi sekolah kurang murid secara beransur-ansur dengan menghentikan pengambilan murid baru mulai Tahun 1. Pada hakikatnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kurang murid telah menerima cadangan penggabungan sekolah daripada KPM, tetapi ditolak segera oleh lembaga pengelola SJKC berkenaan. Setakat ini, tidak ada SJKC kurang murid yang terlibat dalam rancangan penggabungan SKM.

 

  1. Dong Jiao Zong berkata, penggabungan SJKC kurang murid memberi impak yang mendalam kepada SJKC, terutamanya sama ada sijil pendaftaran SJKC yang terlibat dalam penggabungan sekolah itu dikekalkan atau dibatalkan. Ini adalah sesuatu perkara yang mesti diberi perhatian oleh semua pihak, terutamanya di bawah sistem pendidikan yang mengutamakan satu aliran sekolah, SJKC selama ini turut menghadapi banyak cabaran, termasuk tiada sistem penubuhan SJKC, maka sudah pasti penggabungan SJKC kurang murid bererti bilangan SJKC akan semakin berkurangan dan penubuhan SJKC baharu amatlah sukar. Sehubungan itu, Dong Jiao Zong menyeru pihak lembaga pengelola SJKC kurang murid yang menerima cadangan penggabungan sekolah daripada pihak berkuasa berkenaan hendaklah menolak cadangan tersebut. Pada masa yang sama, tindakan KPM tidak berunding dengan lembaga pengegola, tetapi sebaliknya terus mengedarkan borang soal selidik penggabungan sekolah kepada ibu bapa murid berkenaan merupakan satu tindakan yang meminggirkan dan tidak menghormati hak dan kuasa lembaga pengelola SJKC, maka Dong Jiao Zong berasa sangat tidak berpuas hati dengan kejadian itu.

 

  1. Dong Jiao Zong berkata, walaupun KPM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah menyenaraikan pemindahan SKM sebagai salah satu cadangan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh SKM, namun sehingga kini KPM masih belum menggubal mekanisme pemindahan SKM, termasuk peruntukan tanah dan wang untuk membolehkan SKM yang ingin berpindah mengemukakan permohonan. Ini menyebabkan SJKC kurang murid terpaksa menyelesaikan sendiri masalah tanah dan dana pembinaan sekolah, kejadian ini menyebabkan mereka tidak dapat berpindah secara lancar. Bagi menunjukkan kesungguhan KPM untuk menyelesaikan masalah SKM, Dong Jiao Zong menyeru KPM menggubal dan mengumumkan satu mekanisme pemindahan sekolah yang sempurna dan telus bagi memastikan kelancaran pelaksanaan rancangan pemindahan sekolah kurang murid.

 

  1. Dong Jiao Zong berpendirian tegas bahawa tiada sebuah SJKC pun boleh dikurangkan dan menyeru KPM segera menghentikan pengedaran borang soal selidik penggabungan SKM kepada ibu bapa murid berkenaan. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong amat mengambil berat terhadap langkah-langkah penggabungan SJKC kurang murid dan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan dan merangka pembangunan SJKC kurang murid agar dapat memastikan pembangunan mampan pendidikan Cina.