fbpx

Menyeru Kerajaan dan Pembangkang Memaparkan Keazaman Politik Untuk Menyelesaikan Kontroversi Tulisan Jawi  

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

15 April 2021

Menyeru Kerajaan dan Pembangkang Memaparkan Keazaman Politik Untuk Menyelesaikan Kontroversi Tulisan Jawi

Dong Jiao Zong menyeru ahli-ahli politik parti kerajaan dan pembangkang memaparkan keberanian dan keazaman politik untuk menyelesaikan kontroversi pengajaran tulisan Jawi daripada saling menuding jari dan mengkritik antara satu sama lain. Lebih kurang 98% daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina tidak bersetuju dengan pengajaran tulisan Jawi, kehendak dan pandangan para ibu bapa/penjaga murid amat jelas. Maka, kementerian pendidikan seharusnya menghormati kehendak mereka dan mengetepikan pengajaran tersebut. Lebih-lebih lagi, para ahli politik daripada parti-parti kerajaan dan pembangkang berkewajipan untuk mendesak pihak berkuasa menghentikan pengajaran tersebut yang bertentangan dengan pendapat umum.

Kebelakangan ini, ada pihak mengkritik pendirian Dong Jiao Zong tidak konsisten dalam isu tulisan Jawi. Kami berpendapat hujah tersebut adalah tidak adil, tidak menepati fakta sebenar dan memberi gambaran yang salah. Sebenarnya, pendirian Dong Jiao Zong mengenai isu tulisan Jawi adalah konsisten. Kami tidak pernah membantah tulisan Jawi, tetapi kami tidak bersetuju dengan kaedah pengajaran yang dilaksanakan oleh kementerian pendidikan kerana ianya bertentangan dengan norma masyarakat yang berbilang budaya.

Sebaliknya, kementerian pendidikan sepatutnya merujuk kepada kaedah pengajaran yang digunakan dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan yang dilaksanakan pada tahun 2015 dengan memperkenalkan tulisan kaligrafi pelbagai kelompok etnik seperti tulisan kaligrafi Cina, Tamil dan Jawi serta tulisan kaligrafi daripada masyarakat Sabah dan Sarawak. Cadangan kaedah pengajaran ini juga dipersetujui oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Senator Dato' Dr. Mah Hang Soon. Pada masa yang sama, kami bertegas agar lembaga pengelola sekolah terlibat dalam proses membuat keputusan. Oleh itu, kami meminta kementerian pendidikan mengetepikan pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi dan harus mengadakan perbincangan dengan pertubuhan-pertubuhan pendidikan dan budaya daripada masyarakat Cina dan India serta masyarakat Sabah dan Sarawak.

Tidak kira sama ada dalam tempoh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan atau kerajaan Perikatan Nasional, pendirian Dong Jiao Zong tetap sama seperti di atas dan sentiasa berusaha memantau tadbir urus pendidikan. Menteri Kanan Pendidikan YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi berkata kementerian pendidikan akan memperhalusi semula isu tersebut secara menyeluruh dan holistik ketika memberi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada bulan Julai tahun lepas.

Akan tetapi, kami tidak nampak sebarang tindakan susulan dibuat oleh kementerian tersebut selepas enam bulan kemudian. Sebaliknya, kementerian pendidikan meneruskan pengedaran borang soal selidik pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi kepada para ibu bapa murid SJKC dan SJKT pada awal tahun ini dengan mengabaikan suara masyarakat Cina dan India untuk mengetepikan pengajaran tulisan Jawi. Ini sekali lagi menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat.

Berhubung dengan sikap kementerian pendidikan yang hanya pandai bercakap saja tetapi tiada tindakan diambil, kami menyeru para ahli politik parti-parti kerajaan dan pembangkang agar berani memikul tanggungjawab dan berbalik kepada profesionalisme pendidikan untuk bersama-sama menyelesaikan kontroversi pengajaran tulisan Jawi. Kami akan terus memantau tadbir urus pendidikan kerajaan dan mengalu-alukan cadangan dan ulasan daripada semua lapisan masyarakat.