fbpx

Pembinaan SJKC Too Joon Hing Munasabah. Mengecam Ketua UMNO Bahagian Subang Memecah-belahkan Masyarakat Majmuk  

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

19 April 2021

Pembinaan SJKC Too Joon Hing Munasabah. Mengecam Ketua UMNO Bahagian Subang Memecah-belahkan Masyarakat Majmuk

Dong Jiao Zong berasa kesal dan mengecam tindakan ketua UMNO Bahagian Subang Armand Azha Abu Hanifah mengadakan bantahan pembinaan SJKC Too Joon Hing di Kinrara.

Bandar Kinrara adalah kawasan kediaman dengan penduduk Cina yang ramai tetapi kawasan tersebut tidak mempunyai SJKC, sekolah berdekatan sedia ada mengalami masalah kepadatan pelajar. Maka, pembinaan SJKC Too Joon Hing adalah amat diperlukan, untuk memenuhi keperluan pendidikan penduduk setempat. Dong Jiao Zong berpandangan, setiap aliran sekolah merupakan arus pendidikan negara kita. Kepelbagaian aliran sekolah merupakan kelebihan negara kita dan termaktub dan seterusnya dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, manakala akta pendidikan memperuntukkan pembinaan SJKC. Oleh itu, pembinaan SJKC adalah munasabah dan sah di sisi undang-undang.

Bantahan terhadap pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing oleh UMNO Bahagian Subang telah mewujudkan perpecahan antara rakyat pelbagai etnik dan mencetuskan sentimen rasa benci. Perbuatan tersebut harus dikutuk oleh pelbagai pihak.

Dong Jiao Zong menyatakan bahawa sejak beberapa tahun ini, ekstremisme perkauman semakin memuncak, semakin banyak ahli politik dan pertubuhan yang tidak bertanggungjawab telah melakukan perkara yang merosakkan keharmonian dan perpaduan negara.

Antaranya adalah hujah-hujah menutup sekolah pelbagai aliran, mengambil tindakan mahkamah untuk mencabar kedudukan SJKC dan SJKT, membantah pembinaan SJKC dan sebagainya. Perbuatan sedemikian semakin buruk sehingga memberi kesan negatif yang besar terhadap pembangunan negara.

Kerajaan Perikatan Nasional menekankan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai asas untuk memupuk perpaduan rakyat, maka Dong Jiao Zong berpendapat kerajaan sepatutnya mengambil tindakan ke atas mereka yang merosakkan perpaduan rakyat dan bukannya hanya mengulas mengenainya secara bertulis. Kerajaan patut segera mempertahankan sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran pada masa yang sama menghentikan semua tindakan dan perbincangan yang menjejaskan sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran di negara ini, bagi mencegah dari berlakunya perpecahan di masyarakat majmuk.

Menurut Dong Jiao Zong, walaupun bahasa Cina digunakan sebagai bahasa pengantar di SJKC, namum ia terbuka kepada kanak-kanak semua kelompok etnik. Pencapaian pendidikan SJKC mendapat pengiktirafan daripada ibu bapa dan penjaga bukan Cina. Oleh itu, semakin ramai ibu bapa bukan Cina menghantar anak-anak mereka ke SJKC sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Menurut perangkaan kementerian pendidikan, sehingga kini bilangan murid bukan Cina mencecah hampir 20% daripada jumlah murid di SJKC dan merupakan peratusan murid berlainan etnik yang paling tinggi di antara semua aliran sekolah rendah. Ini membuktikan SJKC ialah sekolah yang mempunyai murid yang berbilang etnik dan belajar dengan gembira serta memupuk persefahaman di antara etnik.

Kewujudan dan perkembangan sekolah pelbagai aliran di negara kita sudah melebihi 200 tahun. Ini bukan sahaja telah memperkayakan ciri-ciri masyarakat majmuk negara kita, bahkan juga membuktikan sekolah pelbagai aliran bukanlah batu penghalang kepada perpaduan rakyat. Oleh itu, Dong Jiao Zong menyeru semua pihak, khususnya ahli-ahli politik menyedari hakikat masyarakat majmuk negara kita, manakala kewujudan dan perkembangan sekolah pelbagai aliran memenuhi keperluan sebenar masyarakat majmuk kita, dan hentikanlah mempermainkan sekolah pelbagai aliran untuk kepentingan politik peribadi sehingga merosakkan perpaduan rakyat.